Search This Blog

Thursday, August 19, 2010

Cubaan seludup benih kerang di Lumut tumpas

LUMUT: Pasukan Gerakan Marin (PGM) Perak menumpaskan satu lagi cubaan menyeludup keluar benih kerang apabila merampas 100 guni benih kerang seberat kira-kira 40,000 kilogram dalam satu operasi di sini.
Pegawai Pemerintahan Markas Operasi PGM, Deputi Superitnendan Shaari Ariffin berkata, dua lelaki berusia dalam 20-an iaitu pemandu dan kelindan sebuah lori turut diberkas dalam operasi berkenaan yang dijalankan di kawasan Sungai Tinggi dekat sini kira-kira 5 petang semalam.
Beliau berkata, operasi itu hasil maklumat orang awam dan sepasukan anggota PGM menjalankan pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah lori yang mencurigakan di kawasan berkenaan.

Katanya, lori berkenaan kemudian ditahan untuk pemeriksaan dan tindakan terus diambil setelah pemandu dan kelindan gagal menunjukkan permit membawa benih kerang.

"Nilai keseluruhan rampasan benih kerang dan termasuk lori tiga tan itu berjumlah RM90,000 dan ia merupakan rampasan benih kerang kedua terbesar sepanjang tahun ini," katanya.

Shaari berkata, rampasan dibuat mengikut Akta Perikanan Peraturan-peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kaltura Kerang) 2002.

Katanya, siasatan mendapati benih kerang itu dibawa dari Selangor untuk diseludup ke Thailand.

Kes berkenaan adalah rampasan yang kelima di Perak tahun ini melibatkan cubaan menyeludup keluar benih kerang yang diberi nama jolokan "permata hitam" kerana mendapat permintaan tinggi dan harga yang mahal di Thailand.

-Bernama

No comments:

Post a Comment