Search This Blog

Sunday, August 15, 2010

Buka pintu rumah jiran jumpa mayat

SHAH ALAM: “Saya buka pintu untuk mengesahkan ada mayat. Lepas saya betul-betul lihat ada orang mati baru saya telefon polis,” kata guru tabika, Siti Aisyah Abdullah, 50, yang menemui mayat seorang lelaki warga Myanmar di sebuah rumah di Seksyen 25, Sri Muda, di sini, semalam.
Mayat lelaki yang belum dikenal pasti identiti itu ditemui terbaring kira-kira jam 12.15 tengah hari, di ruang tamu rumah teres tiga tingkat dengan kesan kecederaan di belakang kepala dipercayai dihentak dengan benda tumpul dipercayai batang besi yang turut ditemui di situ.
Siti Aisyah berkata, sebaik pulang dari mengajar kira-kira jam 12 tengah hari, dia diberitahu jiran bersebelahan rumah itu yang curiga dengan penghuni rumah terbabit yang sunyi sepi sebelum dia memberanikan diri ke rumah berkenaan.

“Sebaik membuka pintu rumah yang tak dikunci, saya lihat seorang lelaki dengan kesan darah terbaring di ruang tamu.

“Manakala semua penghuni di rumah itu sudah tiada. Sebelum subuh tadi (semalam) saya terdengar bunyi pergaduhan di rumah ini bagaimanapun kami tak berani keluar,” katanya.

Siti Aisyah mendakwa rumah itu sebelum ini disewa warga Myanmar sejak awal tahun lalu, sebelum ini ia disewa warga Indonesia.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata hasil siasatan polis turut menemui sebatang besi sepanjang 30 sentimeter disyaki digunakan untuk memukul mangsa.

“Mayat mangsa yang berpakaian lengkap ditemui terbaring di ruang tamu dengan belakang kepalanya terdapat kesan darah mengalir.

“Berdasarkan keadaan mayat, mangsa berusia lewat 20-an dipercayai meninggal dunia kurang 24 jam lalu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu.

Noor Azam berkata, rumah itu dihuni antara 10 hingga 12 warga asing, bagaimanapun selepas kejadian semua mereka menghilangkan diri.

No comments:

Post a Comment