Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

Angkara kuda: Dua wanita cedera kereta kena hempap


Oleh Zulkifle Che Abdullah
am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Dua gadis nyaris maut selepas kereta dinaiki merempuh kuda yang terlepas dalam kejadian dekat Baung, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Mastura Mat Husin, 22, dan sepupunya, Rosliza Ibrahim, 23, yang memandu kereta terbabit gagal mengelak apabila kuda itu meluru ke arah kenderaannya.
Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua ViVa dinaiki dua gadis itu remuk teruk di bahagian depan termasuk sebahagian bumbung ranap dihempap kuda seberat kira-kira 200 kilogram (kg) itu yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada.

Siti Mastura berkata, ketika kejadian, beliau bersama sepupunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tebing Tinggi dekat Sabak, selepas keluar membeli barang di Kota Bharu.

“Ketika melalui tempat kejadian, secara tiba-tiba seekor kuda meluru dan merempuh kereta yang kami naiki hingga menyebabkan remukan teruk pada bahagian depan.

“Akibatnya, saya cedera pada dahi kanan, manakala Siti Mastura cedera di kepala dan trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, semalam.

Seorang saksi, Nik Adib Nik Pa, 12, berkata, sebelum kemalangan, dia melihat empat kuda di seberang jalan berhampiran stesen minyak berdekatan.

“Ketika dalam perjalanan ke kedai, saya nampak seorang lelaki cuba mengawal empat kuda di seberang jalan, sebelum tiba-tiba seekor daripadanya melompat dari tepi jalan dan dirempuh Perodua ViVa dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Chepa,” katanya.

Sejurus kemalangan berlaku, orang ramai tampil membantu mengalihkan bangkai kuda yang merempuh kereta terbabit ke tepi jalan dan kejadian menyebabkan kesesakan teruk di laluan berkenaan.

No comments:

Post a Comment