Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

19 motosikal hangus dalam kebakaran



31/08/2010 4:21pm

NIBONG TEBAL — Sembilan belas buah motosikal hangus dalam kebakaran di sebuah syarikat jual beli kenderaan di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt. Shafien Mamat berkata kejadian pada pukul 7.05 pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis kancil terbakar.
"Seorang saksi menghubungi bomba memaklumkan kebakaran berkenaan dan menurut lelaki itu kejadian bermula daripada sebuah motosikal sebelum merebak ke motosikal lain yang ditempatkan di kawasan letak kereta syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Siasatan awal mendapati kesemua motosikal yang terbakar itu adalah cagaran dari pelanggan sewa kereta di syarikat berkenaan yang turut menawarkan perkhidmatan sewa kenderaan, katanya.
Shafien berkata siasatan juga mendapati kawasan kebakaran itu berpagar dan berkunci, bagaimanapun tiada pengawal keselamatan ditempatkan di situ.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

No comments:

Post a Comment