Search This Blog

Tuesday, August 31, 2010

3 maut, 3 parah dalam nahas motosikal





2010/08/31

BESUT: Dua penunggang dan seorang pembonceng motosikal maut manakala tiga yang lain cedera parah dalam kemalangan berasingan, semuanya membabitkan motosikal di daerah ini, awal pagi ini. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, DSP Noor Zainy Mohd Noor, berkata dalam kejadian 12.15 pagi tadi, dua penunggang motosikal yang dikatakan memandu laju bersama empat penunggang lain, maut setelah bertembung dengan sebuah motosikal dari arah bertentangan di KM4, Jalan Jerteh-Kampung Raja dekat Kampung Alor Lintah di sini.
Katanya, kedua-dua penunggang yang meninggal dunia di tempat kejadian ialah Mohd Zailani Mustaffa, penganggur berasal dari Kampung Gong Tok Tor, Nyiur Tujuh dan Muhamad Saifullah Jusoh, 17, pelajar Tingkatan Lima, SMK Permaisuri Nur Zahirah di sini, dan berasal dari Kampung Seberang Kastam, Kampung Raja.
Sementara itu, seorang lagi penunggang motosikal, Mohamad Khairul Azmi, 24, yang berasal dari Kampung Geliga Kemaman dan pembonceng Mohd Habibillah Hassan, 19, dari Kampung Pulau Melati, Tok Raja cedera parah. 

Katanya, Mohamad Khairul dan Mohd Habibillah pada mulanya dirawat di Hospital Daerah Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Baharu. 

Sementara itu, dua beradik yang bermotosikal untuk membeli juadah berbuka puasa dilanggar sebuah kereta di Kampung Baharu, dekat sini, kira-kira 4 petang semalam menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia. 

Amira Dunia, 20, berasal dari Semerak, Pasir Putih, Kelantan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Daerah Besut manakala adiknya, Azizul, 17, yang menunggang motosikal itu mengalami cedera parah dan kini dirawat di HUSM. 
Noor Zainy berkata, polis mengklasifikasikan kemalangan itu sebagai langgar lari dan meminta orang ramai yang melihat kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Besut, Insp Faizal Idrus di talian 09-6972700 atau 09-6956222. - BERNAMA

Mangsa samun koma dikelar di leher





2010/08/31

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang dipercayai mangsa samun ditemui dalam keadaan cedera parah akibat dikelar di leher menggunakan objek tajam di Jalan Bunga Tanjung 9 di Taman Muda, Ampang, di sini malam tadi. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Supt Amiruddin Jamaluddin, berkata lelaki berumur 18 tahun itu ditemui terbaring oleh orang awam pada 8.30 malam sebelum menghubungi polis.
"Lelaki itu kini koma dan dirawat di Hospital Ampang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Amiruddin berkata, identiti suspek sukar dikesan akibat ketiadaan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan. 

Justeru, katanya, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi polis bagi membantu siasatan. 

"Berdasarkan kesan kecederaan pada mangsa, kami percaya lebih dari seorang suspek terbabit menyamun dan mencederakan mangsa," katanya. - BERNAMA

Pesara ditipu syarikat gores dan menang rugi RM30,000





2010/08/31

KUALA TERENGGANU: Kerana terlalu ghairah untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa peti sejuk melalui peraduan gores dan menang, seorang pesara kerugian lebih RM30,000, selepas diperdaya dua lelaki yang melarikan barang kemas ketika mangsa mengisi borang peraduan di rumahnya di Kampung Hiliran Masjid, di sini, kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Azmi Adam, berkata dalam kejadian pada jam 11 pagi itu, mangsa didatangi dua lelaki berusia 20-an.
Beliau berkata, suspek kemudian memberitahu mangsa dan isterinya, mereka memenangi satu peti sejuk dan perlu mengisi satu borang serta perlu menyertakan nombor siri barangan kemas untuk menebus hadiah.
“Kerana terlalu teruja untuk mendapatkan hadiah cabutan bertuah itu, mangsa tidak berfikir panjang lalu terus ke dalam rumah mengambil seutas rantai emas, tali gelang dan dua utas gelang ,” katanya.

Bapa gadis mangsa rogol, bunuh pula meninggal





2010/08/31

Mohd Kahirilzul (dicari polis)
Mohd Kahirilzul (dicari polis)
KOTA BHARU: Ketika perogol dan pembunuh Norilia Nabila Rosnata, 19, hingga kini masih bebas, keluarga gadis malang itu terus menempuh dugaan hidup apabila bapanya meninggal dunia Sabtu lalu akibat barah tekak. 

Hingga akhir hayatnya, Rosnata Yusuf, 48, tidak berpeluang menatap wajah anaknya itu kerana ketika jenazah Norilia Nabila disemadikan selepas ditemui pada 20 Julai lalu, beliau dalam rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Ibu mangsa, Sharibanu Ab Hamid, 45, berkata beliau pasrah terhadap kejadian malang yang menimpa anaknya dan kini disusuli dengan kematian suaminya.
“Saya pasrah terhadap dugaan hidup yang dihadapi ini. Suami baru saja meninggal dunia kerana barah tekak, selepas kira-kira 40 hari anak kami (Norilia Nabila) ditemui mati akibat dibunuh. 

“Setiap kali memandang kubur mereka yang terletak di seberang jalan dari rumah, perasaan saya menjadi sayu dan sebak sehingga menitiskan air mata me-ngenangkan keletah masing-masing ketika hayat mereka. 

“Dua kejadian malang ini menyebabkan saya tidak bersemangat untuk menempuh Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Tunjong di sini, semalam. 

Pada 20 Julai lalu, mayat Norilia Nabila ditemui terikat pada sebatang pokok di tebing sungai Estet Sungai Bagan dekat Machang oleh seorang penoreh yang ke sungai itu untuk menangkap ikan. 
Mangsa yang dilaporkan hilang dari rumahnya pada 16 Julai, turut dirogol sebelum dibunuh penyerang yang dipercayai dikenalinya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malek Bedot, berkata susulan pembunuhan kejam itu, pihaknya sedang memburu seorang pemuda, Mohd Khairilzul Izwady Mat Nor, 26, yang turut ada rekod jenayah, kerana disyaki dapat membantu menyelesaikan kes berkenaan. 

Orang ramai yang mengetahui kedudukan Mohd Khairilzul Izwady diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Machang, Asisten Superitendan Kamal Azural Muhammad, menerusi telefon 09-975 1222 dengan segera atau mana-mana balai polis berdekatan.

Warga emas maut kereta masuk terusan di Yan



31/08/2010 1:17pm

YAN 31 Ogos — Seorang lelaki maut apabila keretanya terhumban ke dalam terusan di Kilometer 29.8, Batu 18, Jalan Sungai Petani-Alor Setar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, Eoi Ah Ba @ Ooi Ming Yor, 64, yang tinggal Simpang Empat, Alor Setar dalam perjalanan dari arah Guar Chempedak untuk pulang ke rumahnya di Alor Setar.
Ketua Trafik Yan, Insp. Ahmad Salimi Md Ali berkata, siasatan awal polis mendapati kenderaan jenis Proton Persona yang dipandu lelaki itu hilang kawalan lalu merempuh papan tanda sebelum terhumban ke dalam terusan Wan Mat Saman yang dipenuhi air.
"Ketika pasukan Bomba dan Penyelamat tiba mangsa masih dalam kereta di tempat duduk pemandu sebelum mayatnya dikeluarkan anggota Bomba 20 minit selepas kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mayat Eoi dihantar ke Hospital Yan untuk bedah siasat.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Yan di talian 04-4655222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

19 motosikal hangus dalam kebakaran



31/08/2010 4:21pm

NIBONG TEBAL — Sembilan belas buah motosikal hangus dalam kebakaran di sebuah syarikat jual beli kenderaan di Kampung Kepala Gajah, Simpang Ampat dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supt. Shafien Mamat berkata kejadian pada pukul 7.05 pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis kancil terbakar.
"Seorang saksi menghubungi bomba memaklumkan kebakaran berkenaan dan menurut lelaki itu kejadian bermula daripada sebuah motosikal sebelum merebak ke motosikal lain yang ditempatkan di kawasan letak kereta syarikat berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata anggota bomba dan penyelamat mengambil masa setengah jam untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.
Siasatan awal mendapati kesemua motosikal yang terbakar itu adalah cagaran dari pelanggan sewa kereta di syarikat berkenaan yang turut menawarkan perkhidmatan sewa kenderaan, katanya.
Shafien berkata siasatan juga mendapati kawasan kebakaran itu berpagar dan berkunci, bagaimanapun tiada pengawal keselamatan ditempatkan di situ.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. — Bernama

Operasi “Ops Sayang": 22 pasangan dicekup JAIS



31/08/2010 4:49pm

SHAH ALAM— Seramai 22 pasangan kekasih warganegara tempatan yang dipercayai berkhalwat ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam “Operasi Sayang” sempena sambutan ambang Merdeka ke-53 malam tadi dan awal pagi ini.
Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan JAIS, Nurhamizah Othman berkata, kesemua pasangan itu ditahan di beberapa hotel bajet sekitar Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya sepanjang operasi yang bermula pada pukul 11 malam semalam sehingga 4 pagi ini.
Beliau berkata pelbagai taktik licik dikesan cuba digunakan pasangan kekasih bagi mengelakkan mereka daripada ditangkap seperti mendaftar masuk ke hotel atas nama masing-masing tetapi hanya menggunakan sebuah bilik.
"Curiga dengan tindakan itu, pihak kami pada mulanya pergi ke sebuah bilik yang didaftar namun tiada orang di dalamnya sebelum menyerbu ke sebuah bilik lagi.
"Di bilik itu, anggota JAIS yang terpaksa memecah masuk setelah pintu tidak dibuka mendapati ada seorang lelaki dan wanita yang bukan muhrim berada di dalamnya,” kata beliau ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Selain pasangan itu, Nurhamizah berkata terdapat seorang wanita yang disyaki berkhalwat dengan lelaki bukan Islam menggunakan nama kekasihnya dalam buku pendaftaran bilik sewa hotel bagi mengaburi pihak Jais.
Nurhamizah berkata kesemua pasangan yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun itu dibawa ke ibu pejabat Jais di sini untuk diambil keterangan dan diikat jamin sebelum dibebaskan.
Beliau berkata pasangan yang disyaki berkhalwat itu akan didakwa mengikut Seksyen 29, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, katanya lelaki bukan Islam itu tidak akan didakwa oleh Jais. — Bernama

Ibu cari anak terpisah lebih 20 tahun



31/08/2010 4:53pm

KUALA TERENGGANU — Seorang ibu dari Kampung Gong Badak di sini ingin mencari anak lelakinya yang terpisah dengannya sejak 25 tahun lalu.
Hamidah Sayuthi, 48, ingin menemui semula Suhaimi Sulaiman, 28, yang dibawa suaminya Sulaiman Ali, 60, setelah mereka bercerai.
Anaknya itu ketika itu berumur 2 tahun dan dibawa bapanya ke Johor.
"Sudah lama saya menjejak Suhaimi, tetapi masih belum bertemu. Saya sangat rindukannya, tiada apa yang lebih menggembirakan saya hari raya ini melainkan dapat bertemu Suhaimi semula.
"Suhaimi khabarnya telah berkahwin dan kini dipercayai berada di Johor,” katanya yang sudah berkahwin dan mempunyai lima orang anak,” kepada Bernama.
“Saya sangat rindukan anak-anak yang telah lama berpisah dengan saya, sebab itu saya ingin mencari mereka semula,” katanya yang semasa berpisah dengan anak-anaknya tinggal di Kampung Rhu Sepuluh.
Hamidah baru-baru ini berjaya menjejaki semula dua anak perempuannya yang diserahkan kepada keluarga angkat ekoran kesempitan hidup akibat penceraian tersebut.
Anak perempuannya itu ialah Norbayah, 30, yang tinggal di Singapura dan Noorizan 27, yang kini tinggal bersama keluarga angkat di Terengganu.
"Saya telah berhubung dengn Norbayah dan Noorizan yang masing- masing sudah berumah tangga.
"Noorizan sudah berjanji akan datang beraya bersama nanti, manakala Norbayah akan datang selepas raya kerana kini dia sedang sarat mengandung,” katanya. — Bernama

Awang Hitam cetak wang palsu




SEBAHAGIAN wang palsu dan alatan seks yang dirampas daripada beberapa suspek pada sidang akhbar di Kajang semalam.


KAJANG – Sepasukan polis tidak menduga kedatangan mereka ke sebuah rumah di Bandar Sungai Long di sini untuk meleraikan satu kes pergaduhan rupa-rupanya membongkar tembelang tiga pelajar warga Nigeria termasuk seorang wanita yang mencetak 100,000 mata wang dolar Amerika Syarikat (AS$) palsu.
Kegiatan yang dilakukan sejak dua bulan lalu itu terbongkar pukul 10 malam Khamis lalu sebaik polis menerima satu panggilan dari seorang wanita Nigeria berusia 23 tahun mengatakan terdapat pergaduhan bermotifkan cemburu antara dua lelaki di rumah tersebut.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Shakaruddin Che Mood berkata, polis kemudian telah meleraikan pergaduhan antara kedua-dua lelaki itu.
Katanya, polis yang curiga kemudian telah melakukan pemeriksaan dan menemui sebuah beg berisi 10 bungkus mata wang AS$ yang setiap satunya mengandungi 10,000 keping kertas yang telah dan belum dicetak disembunyikan di sebuah bilik.

Kena tahan dalam bas ekspres




MARIAPPA (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam bas ekspres di tol Sungai Dua sambil diperhatikan Ayub (tiga dari kanan) pada sidang akhbar di IPK, George Town semalam.


GEORGE TOWN - Usaha seorang warga Nigeria membawa dua beg berisi dadah bernilai RM100,000 di dalam bas ekspres menuju ke Selatan tidak kesampaian apabila dia ditahan di kawasan tol, Sungai Dua, Seberang Perai di sini kelmarin.
Tangkapan dilakukan kira-kira pukul 10.45 malam oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) bersama Kastam negeri.
Ketua Polis negeri, Datuk Ayub Yaakob berkata, hasil pemeriksaan mendapati, dadah jenis ganja seberat 28 kilogram dijumpai di bawah tempat simpanan barang bas terbabit termasuk di dalam beg silang suspek berusia lingkungan 30-an itu.
Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan suspek yang datang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sedang menuju ke Alor Setar itu terlibat dalam sindiket penjualan dan pengedaran dadah di negara ini sejak beberapa bulan lalu.

Parang Karat tumpas




MOKHTAR (kiri) menunjukkan sebilah parang yang dirampas daripada empat lelaki pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Kerakusan sekumpulan empat lelaki bergelar Geng Parang Karat melakukan rompakan terhadap tiga buah kedai serbaneka 24 jam walaupun baru ditubuhkan awal bulan ini tidak ke mana apabila kesemua mereka ditahan dalam serbuan di sekitar Batu Pahat dekat sini Sabtu lalu.
Kesemua suspek berusia di antara 20 dan 38 tahun tersebut ditahan secara berasingan di beberapa lokasi kira-kira 45 minit selepas melakukan rompakan ke atas sebuah kedai serbaneka di Batu Pahat pada pukul 12.15 pagi.
Difahamkan, selain memakai topeng, suspek yang berpengalaman dalam dunia jenayah dan baru bekerjasama menubuhkan kumpulan tersebut juga turut menggunakan parang yang berkarat ketika melakukan rompakan.
Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, dalam kejadian itu, tiga suspek cuba melarikan diri dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu seorang lagi rakan mereka selepas merampas wang daripada kaunter premis.
Katanya, polis yang menerima maklumat kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan hasil risikan, pihaknya dapat menahan kesemua suspek di sekitar Batu Pahat 45 minit kemudian.

Sindiket tepuk bahu curi duit



KUALA TERENGGANU – Kekerapan orang ramai berkunjung ke bank untuk mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menjelang Aidilfitri memberi peluang kepada sindiket tepuk bahu membuat jenayah.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supritendan Azmi Adam berkata, minggu lalu sebanyak tiga kes membabitkan kes tipu dengan modus operandi ahli sindiket tepuk bahu dilaporkan.
Sebelum ini, beberapa kes sama turut dilaporkan dan pihaknya percaya kejadian itu dilakukan oleh kumpulan sama yang mungkin terdiri daripada tiga atau empat suspek.
“Modus operandi sama iaitu selepas tepuk bahu mangsa yang berurusan di mesin ATM dan beritahu wang mangsa tercicir,” kata beliau di sini semalam.
Menurut beliau, beberapa suspek yang berada di tempat kejadian akan menunjukkan lokasi wang yang didakwa terjatuh sebelum seorang lagi suspek bertindak menukarkan kad ATM mangsa dan mengambil duit dari ATM yang dikeluarkan.
“Kejadian terbaru berlaku semalam ketika mangsa berada di sebuah bank di Jalan Sulaimani, Kemaman dan membuat transaksi pada pukul 9.51 pagi,” kata beliau.
Azmi berkata, ketika urusan itu bahu mangsa yang merupakan seorang kerani yang berusia 35 tahun ditepuk dari belakang sebelum mangsa toleh dan ada seorang lelaki memaklumkan ada wang mangsa jatuh. Namun mangsa tidak mengambil wang itu kerana ia bukan miliknya.
Dalam masa itu, ahli sindiket itu mengambil kad ATM dan wang RM1,500 yang dikeluarkan oleh mangsa sebelum suspek-suspek meninggalkan bank tersebut.

CTV rakam identiti lelaki letak kotak misteri



KUALA LUMPUR - Polis percaya dapat mengenal pasti suspek yang meletakkan kotak berisi bom buatan sendiri yang meletup sehingga mengorbankan seorang wanita di tingkat 12, Apartmen Desa Tun Razak di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abdul Rahim Hamzah Othman berkata, identiti suspek dikesan hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat pada lif di bangunan itu.
"Melalui rakaman CCTV tersebut, kita kesan seorang suspek yang dipercayai bertanggungjawab meletakkan kotak tersebut," katanya di sini semalam.
Akhbar Kosmo! semalam melaporkan, seorang daripada dua pekerja sebuah kafe siber maut apabila sebuah kotak misteri yang di atasnya terdapat dua biji limau bali meletup menyebabkan mereka melecur hampir 90 peratus di badan.
Kedua-duanya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Cheras sebelum mangsa, Ng Siew Hong, 51, disahkan mati pada pukul 5.10 petang kelmarin.
Seorang lagi mangsa, S.K Lim masih berada dalam keadaan kritikal di PPUKM.

Helah elak ternoda


Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/08/31

AMPANG: Bagi mengelak sekumpulan Mat Bangla merogolnya, seorang wanita mengancam mahu membunuh diri sebelum dia akhirnya berjaya meloloskan diri keluar dari sebuah rumah di Pandan Mewah, kelmarin.
Dalam kejadian jam 7 malam, mangsa pada berjalan berseorangan berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Indah berjumpa dengan dua lelaki warga Bangladesh.
Mangsa yang berusia 18 tahun itu kemudian cuba bertanyakan alamat rakannya kepada dua lelaki itu sebelum kedua-duanya mengaku mengetahui lokasi berkenaan dan meminta gadis itu mengikut mereka.

Menurut sumber polis, mangsa yang tidak mengetahui niat buruk lelaki terbabit mengekori mereka berikutan dia terdesak mencari rumah rakannya. “Mangsa dibawa ke sebuah rumah di Pandan Mewah dan di situ, ada empat lagi rakan lelaki Bangladesh itu sedang menunggu.

“Gadis terbabit yang tidak mengetahui perangkap itu mengekori mereka dan sebaik masuk ke rumah, semua lelaki Bangladesh berkenaan cuba menghalangnya keluar,” katanya.

Menurutnya, mereka cuba mengambil kesempatan merogol gadis itu dan seorang daripada mereka menarik kain mangsa sebelum menciumnya.

“Mangsa meronta dan akhirnya dapat melepaskan diri sejurus menendang lelaki yang mahu mengambil kesempatan ke atasnya.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menuju ke dapur sebelum mencapai sebilah pisau dan kemudian mengugut mahu menikam diri sendiri,” katanya.

Sumber berkata, ugutan itu menimbulkan kebimbangan kepada semua lelaki berkenaan yang risau jika dia benar-benar menikam dirinya sendiri.

“Mereka cuba memujuk mangsa supaya tidak meneruskan niat mencederakan diri sendiri dan berjanji tidak akan mengganggunya.

“Mangsa mengambil peluang melepaskan diri sebelum diselamatkan seorang lelaki yang kemudian membawanya ke balai polis,” katanya.

Remaja ditahan rogol teman wanita




2010/08/31
AMPANG: Tidur nyenyak seorang pelajar terganggu seketika apabila rumahnya di Pangsapuri Sri Intan, di sini diserbu sepasukan polis, semalam selepas dia dikatakan terbabit dalam satu kes rogol yang dilaporkan teman wanitanya sendiri.
Malah, pelajar tingkatan empat sebuah sekolah di Ampang itu dikatakan turut ponteng ketika ditahan dan hanya terpinga-pinga sejurus anggota polis memperkenalkan diri.
Difahamkan, bapa remaja itu membuka pintu dan selepas dimaklumkan anggota polis tujuan kehadiran mereka, lelaki itu membawa ke bilik anaknya yang ketika itu sedang tidur.

Remaja itu tidak melawan dan hanya menyerah diri sebelum dibawa ke balai polis. Difahamkan, remaja lelaki itu bersama teman wanitanya berusia 14 tahun sudah menjalinkan hubungan cinta sejak setahun lalu dan sudah beberapa kali terlanjur.

Remaja itu dikatakan bijak menabur janji akan mengahwini mangsa selepas tamat persekolahan namun kata-kata manis itu hanya umpan untuk menjerat teman wanitanya.

Mangsa mula menyedari dia hanya dijadikan pemuas nafsu apabila setiap panggilan yang dibuat tidak dijawab.

Menurut sumber polis, dalam laporan mangsa mendakwa dia pertama kali melakukan hubungan seks bersama teman lelakinya pada Disember tahun lalu.

“Ketika itu, kejadian berlaku di rumah kakak mangsa di sebuah flet dan dia bersama teman lelakinya mengambil kesempatan kerana kakaknya tiada di rumah,” katanya.

Menurutnya, mereka sekali lagi terlanjur di lokasi sama April lalu dan kejadian terakhir Mei lalu ketika cuti sekolah.

Dua beranak jual alat seks


Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/08/31

KAJANG: Dua beranak yang sedang menjalankan perniagaan menjual peralatan seks terus ke rumah pelanggan sebaik menerima tempahan menerusi poster yang ditampal di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, ditahan di sini, Jumaat lalu.
Kedua-dua beranak berusia 17 dan 52 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Long, jam 5.30 petang.
Hasilnya, polis merampas pelbagai alat mainan seks bernilai RM8,000. Mereka dipercayai aktif menjalankan perniagaan itu sejak tiga bulan lalu. Turut ditahan ialah seorang lelaki berusia 21 tahun. Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakaruddin Che Mood berkata, semua peralatan seks yang ditemui dipercayai diimport dari negara jiran. Menurutnya, perniagaan itu cukup mudah iaitu mereka hanya perlu menunggu pelanggan membuat panggilan berdasarkan nombor telefon tertera pada poster yang ditampal di tempat tumpuan orang ramai di Lembah Klang sebelum membuat penghantaran terus ke rumah bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa. Katanya, suspek mengakui jualannya mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Sakaruddin berkata, ketiga-tiga mereka disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan kini direman.

Dalam kes berasingan, dua wanita warga Indonesia ditahan mengikut Akta Pemerdagangan Manusia (ATIP) selepas dipercayai menyembunyikan 12 wanita negara itu berusia 14 hingga 42 tahun sebagai pembantu rumah tanpa sebarang upah sejak empat bulan lalu.

Anak ghaib bersama kereta


Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/08/31

KUANTAN: Kehilangan seorang lelaki bersama Proton Waja berwarna perak dipandunya menimbulkan persoalan selepas lelaki itu dikatakan ‘ghaib’ tanpa meninggalkan kesan.
Lelaki terbabit, Mohd Fazwan Azmi, 21, dari Jaya Gading, di sini, yang bekerja di Kuala Lumpur sehingga kini gagal dikesan termasuk kereta dipandunya bernombor pendaftaran MBC8272.
Ibunya, Sarimah Abdullah, 44, berkata sebelum itu, anaknya menghubungi dan memaklumkan dia mahu ke Kampung Kor Beta, Kota Bharu dari Kuala Lumpur kerana mahu melihat keadaan rumah selepas berpindah ke Kuantan.

“Mohd Fazwan memberitahu selepas menziarahi rumah lama, dia akan bertolak ke Kuantan pada 9 Ogos lalu.

“Bagaimanapun, sehingga kini Mohd Fazwan belum tiba di Kuantan menyebabkan kami sekeluarga resah selain memikirkan keselamatannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jaya Gading, di sini, semalam.

Menurutnya, dia cuba menghubungi rakan anaknya, namun panggilannya tiada jawapan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Kuantan, kelmarin.

Katanya, dia turut membuat pemeriksaan di Balai Trafik Kuantan sama ada anaknya terbabit dalam kemalangan, namun selepas pemeriksaan dijalankan ke atas nombor pendaftaran kereta mendapati kenderaan itu gagal dikesan.

Sarimah berkata, dia buntu serta tidak tahu bagaimana hendak mencari anaknya selain mengharapkan bantuan ahli keluarga terdekat termasuk terus mencuba menghubungi nombor telefon anaknya.

“Saya yakin Mohd Fazwan masih hidup tetapi tidak tahu dia berada di mana. Saya tidak akan berhenti mencarinya setiap hari walaupun sibuk dengan perniagaan.

“Saya berharap pencarian saya sejak hari kehilangannya akan berhasil dan dapat bertemu dengannya semula sebelum Aidilfitri,” katanya sedih.

Menurutnya, majikan anaknya di Kuala Lumpur menghubungi serta memberitahu anaknya sudah tiga hari tidak datang kerja sejak tarikh kehilangannya.

Jaga cedera disimbah racun




2010/08/31

SUNGAI PETANI: Gara-gara menegur sekumpulan lelaki penagih di dusunnya, seorang pengawal keselamatan berusia 49 tahun cedera apabila diserang kumpulan lelaki terbabit dengan menyimbah cecair dipercayai racun ke badan mangsa di Kampung Bukit, Sungai Pasir, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa, Mohd Rodhi Md Noor dari Taman Semarak dikatakan pergi ke dusunnya sebaik dimaklumkan kegiatan penagih yang menjadikan kawasan itu markas melepas gian.
Difahamkan, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan separuh sedar oleh seorang lelaki kebetulan melalui tempat kejadian sebelum meminta bantuan penduduk kampung yang kemudian membawa mangsa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, untuk rawatan kecemasan.

Mohd Rodhi ketika ditemui berkata, sebaik tiba di dusunnya, dia melihat sekumpulan lima lelaki berkeliaran di dusunnya lalu pergi menemui mereka bertanyakan tujuan berada di kawasan itu.

“Saya tidak mengenali kumpulan berkenaan. Saya menegur perbuatan mereka kerana menjadikan dusun saya markas melepas gian dan mengarahkan mereka keluar dari kawasan itu.

“Pada mulanya saya melihat mereka beredar keluar dari dusun tetapi terkejut mendapati terdapat satu lagi kumpulan 20 orang turut berada di kawasan itu sebelum mereka bergerak menuju ke arah saya.

“Seorang menolak saya hingga terjatuh. Ketika mahu menelefon isteri, seorang lagi ahli kumpulan itu menghentak tangan kiri saya dengan seketul batu hingga cedera,” katanya yang ditemui di HSAH, semalam.

Menurutnya, tidak lama kemudian, dia berasa seluruh badan dan mukanya basah disimbah cecair dipercayai racun di dusun berkenaan.

“Selepas itu saya pening dan badan pedih serta panas manakala mata hanya nampak bayang-bayang.

“Mereka memegang mulut dan memasukkan cecair itu dalam mulut saya hingga tekak berasa sakit dan mulut berbuih,” katanya.

Pengarah urusan rugi RM200,000


Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/08/31

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah urusan sebuah syarikat telekomunikasi kerugian lebih RM200,000 selepas diperdaya sebuah syarikat terkemuka di Taiwan yang berjanji melantik syarikat mangsa sebagai pengedar utama produk sistem satelit navigasi (GPS) keluarannya sedangkan pengedar barangan berkenaan sudah dilantik di negara ini.
Ini menyebabkan produk GPS sebanyak 3,000 unit dibekalkan kepada syarikat mangsa tidak dapat dijual.
Malah, paling perit apabila mangsa dituduh sengaja memalsukan produk dan turut diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana menjual barangan itu tanpa lesen.

Mangsa, Lee Tong Kheng, 33, mendakwa mengenali syarikat terkemuka itu melalui laman web dan berminat menjadi pengedar utama kepada produk yang dikeluarkan kerana mengetahui GPS mendapat permintaan tinggi di kalangan pengguna kini.

Menceritakan kejadian itu, mangsa mendakwa berminat menjadi pengedar tunggal produk yang dikeluarkan syarikat itu kerana yakin akan mendapat keuntungan, hingga tidak menyedari produk berkenaan sebenarnya sudah mempunyai pengedar di negara ini yang beroperasi di Petaling Jaya.

“Kali pertama saya melihat produk itu melalui laman web, saya segera menyatakan hasrat mahu menjadi pengedar utama dengan menghantar emel kepada syarikat berkenaan pada Oktober tahun lalu.

“Syarikat berkenaan juga bersetuju melantik syarikat saya sebagai pengedar utama sebelum meminta saya menghantarkan RM50,000 sebagai wang pendahuluan,” katanya ketika sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Menurutnya, dia menaiki penerbangan ke Taiwan pada 21 Oktober tahun lalu untuk menghantar wang itu sebelum menerima perisian GPS berkenaan.

“Tiga hari kemudian, saya diminta mengirim baki wang berkenaan dan syarikat itu menyerahkan tambahan peta negara Thailand kepada syarikat saya.

“Selepas itu, saya menerima 3,000 unit GPS beserta dengan pelekat dan nombor siri kononnya sebagai lesen untuk menjual GPS itu di negara ini,” katanya.

Lee berkata, beberapa hari kemudian, dia terkejut apabila menerima surat pembatalan perjanjian daripada syarikat berkenaan yang memaklumkan sudah terdapat pengedar tunggal GPS jenama itu di negara ini dan berjanji akan menggantikan dengan perisian peta Thailand pula.

Ditimbus bukit sampah 20m


Oleh Zulkifle Che Abdullah
am@hmetro.com.my
2010/08/31

TANAH MERAH: “Saya terdengar bunyi dentuman dari atas bukit dan sekelip mata saja saya tertimbus hingga paras dada, manakala rakan saya tertimbus bersama kereta,” kata Rustam Osman, 29, menceritakan pengalamannya tertimbus di bawah runtuhan tanah bukit di tapak pelupusan sampah dekat Becah Laut, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Rustam ditimbus runtuhan sampah setinggi 20 meter sebelum diselamatkan beberapa pencari bahan kitar semula yang berada di kawasan terbabit.
Rakannya, Muhamad Sobaruddin, 16, yang berada dalam kereta itu, tertimbus bersama kenderaan terbabit sebelum diselamatkan sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat Tanah Merah selepas setengah jam berdepan azab akibat ditimbus.

Menurut Rustam, dia dan rakannya berada di kawasan itu kerana ingin menemui seorang rakan yang mencari bahan kitar semula.

Katanya, mereka menunggu rakan berkenaan sehingga dia selesai mencari bahan kitar semula di tepi sebuah bukit yang sebahagiannya sudah disodok bagi kerja pengambilan tanah.

“Saya berdiri di luar kereta menunggu rakan itu kerana dia berada agak jauh dari kami manakala Muhamad pula dalam kereta. Tiba-tiba saya terdengar dentuman dari atas bukit sebelum kami tertimbus,” katanya ketika ditemui di Hospital Tanah Merah.

Katanya, dia bernasib baik kerana tiga pencari bahan kitar semula termasuk dua wanita yang berada di tapak pelupusan yang menyedari kejadian itu, bergegas menyelamatkannya.

“Selepas berjaya diselamatkan, kami segera berusaha menyelamatkan seorang lagi rakan yang tertimbus bersama kereta sementara menunggu bantuan bomba. “Mujurlah bomba tiba dengan cepat, kalau tidak tentu kawan saya mati kelemasan dalam kereta yang tertimbus. Saya tidak menyangka kunjungan pertama ke tapak itu hampir meragut nyawa kami berdua,” katanya.

Kejadian menyebabkan Rustam mengalami kecederaan pada kaki kirinya, manakala Muhamad turut cedera pada kaki kirinya kerana tersepit dalam kereta yang remuk ketika dirempuh tanah.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Ridzuan Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.48 petang sebelum bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera dan empat anggota.

4 penyamun ala ninja ditahan




2010/08/31

JOHOR BAHRU: Mereka amat digeruni mangsa berikutan kerap mengenakan penutup muka ala ninja dan bersenjata parang panjang setiap kali melakukan rompakan terutama pada awal pagi membabitkan rangkaian kedai serbaneka 24 jam di sekitar Batu Pahat di sini.
Sekian lama mengganas, kumpulan terbabit akhirnya tumpas apabila empat anggotanya ditahan polis hanya selepas 45 minit menjadikan sebuah premis sebagai mangsa samun terbaru mereka.
Dipercayai, suspek kerap menjadikan kedai serbaneka 24 jam di lokasi agak sunyi sebagai sasaran, ditambah jumlah pekerja yang sedikit dan ketiadaan pelanggan dalam premis itu sekali gus memberi peluang kepada mereka melakukan samun.

Terdahulu, empat suspek terbabit yang bersenjatakan parang panjang menyamun kedai serbaneka 24 jam di Yong Peng di sini, jam 12.15 tengah malam Sabtu lalu.

Penjenayah terbabit hanya mampu melarikan wang tunai RM179 daripada mesin juruwang kaunter premis berkenaan.

Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan jenis Toyota Unser sebelum menghilangkan diri. Mangsa kemudian menghubungi talian kecemasan melaporkan kejadian.

Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata susulan laporan, Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat segera memaklumkan semua unit untuk tindakan lanjut.

Hasilnya, hanya dalam tempoh 45 minit, kenderaan dinaiki empat suspek dikesan sebelum dipintas untuk pemeriksaan lanjut.

Lakaran suspek culik kanak-kanak diedar




2010/08/31

TELUK INTAN: Polis mengedarkan lakaran wajah suspek dipercayai terbabit dalam dua kes cubaan menculik dua kanak-kanak Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di sini, serta satu kes rogol membabitkan pelajar perempuan 15 tahun pada 20 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, lakaran wajah itu diperoleh selepas mendapat maklumat daripada kedua-dua mangsa.
Beliau berkata, kedua-dua suspek kes cubaan culik dan rogol itu membabitkan individu sama selepas dibuat pengecaman mangsa.

“Selepas siasatan dilakukan ke atas kedua-dua laporan itu, kami mendapati kedua-dua kejadian itu dilakukan suspek sama berdasarkan lakaran wajah (fotofit). “Siasatan mendapati kereta digunakan suspek dalam kedua-dua kejadian itu kereta sama, Naza Citra,” katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta digunakan suspek itu milik seorang anggota polis di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Batu Gajah.

Paris bimbang dipenjara semula




2010/08/31

HOLLYWOOD: Paris Hilton dicekup kerana membawa beg tangan yang mengandungi sebungkus kokain, malam kelmarin.
PARIS bersama teman lelakinya, Cy Waits. (Gambar kanan) Paris sebelum menjalani hukuman penjara tiga tahun lalu.
PARIS bersama teman lelakinya, Cy Waits. (Gambar kanan) Paris sebelum menjalani hukuman penjara tiga tahun lalu.
Bagaimanapun, Paris mendakwa beg tangan itu bukan miliknya kerana beg berkenaan adalah murah dan tidak berjenama. Pewaris kepada jutawan rangkaian hotel itu menaiki kereta teman lelakinya ketika ditahan. Anggota polis yang curiga melihat kepulan asap keluar daripada kereta Cadillac hitam pasangan berkenaan mengesyaki pasangan itu melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Paris dan teman lelakinya, Cy Waits, 34, kemudian ditahan kerana memiliki dadah. Bagaimanapun, Paris dibebaskan atas ikat jamin.

Menurut satu sumber, Paris mengupah seorang peguam ternama untuk membelanya. “Beg tangan yang mengandungi dadah itu adalah barangan murah yang dijual di jalanan dan tidak menepati standard fesyen saya,” kata Paris.

“Paris berharap pihak berkuasa percaya dengan alasan diberikan dan melepaskannya.

“Dia amat bimbang jika kejadian itu akan menyebabkannya dipenjarakan,” kata sumber itu lagi.

Ini adalah kali ketiga Paris ditahan pada musim panas ini. Sebelum ini polis Afrika Selatan menggugurkan tuduhan ke atas Paris yang didakwa memiliki dadah ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Dunia.

Dua minggu kemudian, Paris ditahan kerana membawa ganja dalam beg tangannya di Corsica. Namun, dia tidak tidak didakwa kerana ganja yang dibawanya kurang daripada satu gram.

Paris yang melihat teman lelakinya ditahan polis Las Vegas kerana memandu di bawah pengaruh dadah meminta anggota polis supaya tidak menggeledah kereta mereka.

Selebriti itu benar-benar bimbang dengan kejadian yang menimpanya.

Peguam Paris, David Chernoff berkata: “Saya menasihati supaya orang ramai tidak membuat kesimpulan sebelum perkara ini dibawa ke mahkamah untuk pengadilan.” - Agensi

'Spiderman’ ditahan lagi




2010/08/31

SYDNEY: Pendaki bangunan pencakar langit warga Perancis atau ‘Spiderman’ ditahan selepas memanjat bangunan 57 tingkat di Sydney, semalam.
Alain Robert yang sudah memanjat beberapa bangunan tertinggi dunia tanpa kelengkapan pendakian ataupun tali ditahan di tingkat atas bangunan Lumiere.
Orang ramai mula berkumpul di bawah bangunan Lumiere ketika Robert memanjat bangunan itu selama 20 minit. “Saya sedih Robert ditangkap, namun saya harap dia akan dibebaskan segera supaya kami dapat minum champagne bersama-sama,” kata ejen Robert, Max Markson.

Bagaimanapun, Robert belum lagi didakwa. Robert didenda 750 dolar Australia (RM2,109) kerana memanjat bangunan 41 tingkat Bank Diraja Scotland di Sydney pada tahun lalu.

Sebelum ini, Robert sering ditahan dan didenda kerana memanjat beberapa bangunan tertinggi dunia. Robert, 48, sudah memanjat lebih 70 bangunan pencakar langit di seluruh dunia termasuk bangunan Empire State di New York, Menara Sears dan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur. - Agensi

Halau bapa untuk rampas perniagaan




2010/08/31

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki tergamak menghalau bapanya dengan niat mahu membolot semua harta hasil titik peluh orang tuanya itu.
Difahamkan, anak lelaki yang berusia 40 tahun itu sengaja menukar semua mangga kunci dan alat keselamatan pada kedai alat ganti kenderaan milik bapanya untuk merampas kedai berkenaan.
Namun, lelaki terbabit meringkuk dalam lokap selepas ditahan polis yang menerima laporan mangsa yang mendakwa teraniaya akibat perbuatan anak kandungnya itu.

Sumber polis berkata, kejadian itu hanya disedari mangsa yang berusia 70 tahun selepas datang ke kedai itu di Jalan San Peng, di sini, kira-kira jam 6.30 pagi semalam.

Menurutnya, mangsa menyedari sesuatu tidak kena apabila gagal membuka pintu kedainya ketika mahu memulakan perniagaan.

“Mangsa mendapati semua kunci keselamatan yang dipasang pada pintu hadapan kedainya dipecahkan dan digantikan kunci mangga baru.

“Mangsa tidak dapat masuk ke dalam kedainya dan pergi ke balai polis berhampiran membuat laporan kerana mengesyaki ia perbuatan anaknya,” katanya.

Susulan itu, polis menjalankan siasatan di tempat kejadian bagi membantu mangsa membuka pintu kedainya yang dikunci bagi memulakan perniagaan.

“Polis memburu suspek sebelum lelaki berusia 40-an terbabit dikesan dan ditahan di Jalan Petaling, di sini. Suspek dibawa ke Balai Polis Dang Wangi sebelum direman empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan,” katanya.

Cemburu bongkar kegiatan Black Money

2010/08/31


KAJANG: Pergaduhan dua pelajar warga Nigeria kerana cemburu selepas rakan wanita mereka bercinta dengan seorang daripada mereka membawa kepada pembongkaran kegiatan Black Money yang dijalankan mereka di sebuah rumah di Bandar Sungai Long, di sini, Khamis lalu.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu bermula apabila pelajar lelaki terbabit bergaduh hingga memaksa rakan wanita mereka menghubungi polis.


Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Sakaruddin Che Mood, berkata polis yang tiba di rumah terbabit melakukan pemeriksaan sebelum menemui sebuah bilik yang dipenuhi peralatan memproses wang palsu iaitu alat pengimbas, mesin pencetak, dan cecair pencuci. “Polis turut menemui 100,000 not dolar Amerika palsu bernilai RM1 juta di dalam dua beg dalam bilik itu. Ketiga-tiga mereka pelajar sebuah kolej swasta di negeri ini dan aktif menjalankan kegiatan terbabit lebih dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, semalam. Beliau berkata, suspek turut memperdayakan pelanggan mereka untuk membeli satu botol cecair pencuci yang dijual dengan harga ribuan ringgit kononnya boleh mencuci tanda atas wang terbabit supaya kelihatan seperti wang tulen.


“Hasil soal siasat ke atas suspek, mereka mendakwa memperdayakan pelanggan dengan cara membungkus not kepingan wang itu dengan meletakkan imej di depan dan belakang, tetapi ditengah-tengah wang itu diletakkan kertas kosong. Menurutnya, penahanan semua suspek yang berusia 20-an itu yang pertama di daerah ini membabitkan pemprosesan wang palsu. Ketiga-tiga mereka akan disiasat mengikut Seksyen 49(c) Kanun Keseksaan dan direman sehingga esok (hari ini) untuk siasatan lanjut.

Bom angkara hutang judi




2010/08/31

KUALA LUMPUR: Hutang judi kira-kira RM20,000 selain unsur dendam dipercayai menjadi punca kematian ngeri seorang wanita selepas terkena bom buatan sendiri yang diisi dalam satu kotak, pagi kelmarin.
Dalam kejadian di Pangsapuri Desa Tun Razak itu, mereka yang melakukan perbuatan itu dipercayai berniat membunuh mangsa dengan bom buatan sendiri yang diadun menggunakan mercun bola, minyak dan pelbagai bahan kimia mudah bakar. Suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Kang, 54, berkata, dia percaya punca kematian isterinya, Ng Siew Hong, 51, ada kaitan dengan tindakan seorang lelaki tempatan yang pernah menghamburkan kata-kata ugutan kepada isterinya itu, baru-baru ini.

Budak parah dibaham Rottweiler




2010/08/31

LONDON: Seorang kanak-kanak, Rhianna Kidd sedang bermain basikal berhampiran rumah neneknya di Dundee ketika diserang beberapa anjing Rottweiler, semalam.
Kumpulan anjing berkenaan menggigit lengan dan kaki Rhianna berulang kali sehingga dia tidak dapat bangun untuk melarikan diri.
Rhianna mengalami kecederaan di seluruh badan dan patah tulang rahang. Dia dikejarkan ke Hospital Ninewells oleh ambulans dan terpaksa menjalani pembedahan plastik.
Ketika kejadian berlaku, nenek Rhianna, Irene Grady menemani cucunya bermain basikal sebelum dia dikerumuni sekumpulan anjing Rottweiler.

“Saya menjerit kepada Rhianna menyuruhnya terus mengayuh apabila kumpulan anjing Rottweiler menghampirinya tetapi seekor anjing itu menerkamnya sehingga dia terjatuh dari basikal. Anjing itu terus menggigit lengannya manakala yang lain menggigit kakinya pula,” kata Irene.

“Walaupun ada pemandu kereta membunyikan hon anjing berkenaan tidak pergi dari situ,” tambah Irene lagi.

Irene terpaksa memujuk kumpulan Rottweiler itu supaya berkelakuan baik dan akhirnya mereka melepaskan cucunya.

Irene kemudian membawa Rhianna ke dalam rumah sebelum memanggil ambulans.

Pemilik anjing berkenaan kemudian membawa haiwan itu pulang dengan menaiki teksi. - Agensi

Angkara kuda: Dua wanita cedera kereta kena hempap


Oleh Zulkifle Che Abdullah
am@hmetro.com.my
KOTA BHARU: Dua gadis nyaris maut selepas kereta dinaiki merempuh kuda yang terlepas dalam kejadian dekat Baung, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Siti Mastura Mat Husin, 22, dan sepupunya, Rosliza Ibrahim, 23, yang memandu kereta terbabit gagal mengelak apabila kuda itu meluru ke arah kenderaannya.
Akibat perlanggaran itu, kereta Perodua ViVa dinaiki dua gadis itu remuk teruk di bahagian depan termasuk sebahagian bumbung ranap dihempap kuda seberat kira-kira 200 kilogram (kg) itu yang mati di tempat kejadian akibat cedera parah di dada.

Siti Mastura berkata, ketika kejadian, beliau bersama sepupunya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Tebing Tinggi dekat Sabak, selepas keluar membeli barang di Kota Bharu.

“Ketika melalui tempat kejadian, secara tiba-tiba seekor kuda meluru dan merempuh kereta yang kami naiki hingga menyebabkan remukan teruk pada bahagian depan.

“Akibatnya, saya cedera pada dahi kanan, manakala Siti Mastura cedera di kepala dan trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, semalam.

Seorang saksi, Nik Adib Nik Pa, 12, berkata, sebelum kemalangan, dia melihat empat kuda di seberang jalan berhampiran stesen minyak berdekatan.

“Ketika dalam perjalanan ke kedai, saya nampak seorang lelaki cuba mengawal empat kuda di seberang jalan, sebelum tiba-tiba seekor daripadanya melompat dari tepi jalan dan dirempuh Perodua ViVa dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Chepa,” katanya.

Sejurus kemalangan berlaku, orang ramai tampil membantu mengalihkan bangkai kuda yang merempuh kereta terbabit ke tepi jalan dan kejadian menyebabkan kesesakan teruk di laluan berkenaan.

Polis Hong Kong siasat bas rampasan

MANILA 30 Ogos - Pakar forensik Hong Kong hari ini memeriksa bas yang dipenuhi kesan peluru di mana seorang perampas membunuh lapan pelancong di Manila minggu lalu, tatkala Filipina cuba menenangkan kemarahan China terhadap kejadian itu.
Penduduk Hong Kong melahirkan kemarahan sejak insiden 23 Ogos lalu yang menyaksikan bekas pegawai polis Filipina merampas bas yang dipenuhi pelancong Hong Kong dalam usaha mendapatkan balik kerjanya.
Hong Kong tidak puas hati terhadap operasi menyelamat dan rundingan yang gagal yang menyebabkan perampas itu menembak tawanannya, sebelum ditumpaskan oleh penembak tepat polis.
Presiden Benigno Aquino III telah mengarahkan siasatan menyeluruh ke dalam krisis itu dan tindak balas polis, dan hari ini, kerajaannya membenarkan pakar forensik Hong Kong untuk menjalankan siasatan mereka sendiri.
"Kami mahu menenangkan mereka dan menunjukkan kami tidak menyembunyikan apa-apa. Ini adalah ketelusan,'' kata jurucakap Polis Nasional Filipina, Agrimero Cruz.
Dibantu oleh penyiasat Filipina, pasukan Hong Kong menggunakan lampu suluh semasa memeriksa bahagian penumpang, mengambil gambar kesan tembakan dan tingkap yang berkecai. Seorang lagi memeriksa tayar yang ditembak polis bagi mengelakkan perampas menggunakan bas keluar dari kepungan polis.
Pasukan forensik itu enggan menjawab sebarang soalan daripada wartawan Filipina dan China.
Setiausaha Keadilan, Leila de Lima bertemu pegawai-pegawai Hong Kong hari ini. Penyiasat Filipina merancang untuk menyoal Datuk Bandar Manila, Alfredo Lim yang memantau rundingan tawanan dan juga wartawan yang menemubual perampas, Rolando Mendoza menerusi telefon pada hari kejadian. Mereka juga akan pergi ke Hong Kong untuk bercakap dengan mangsa-mangsa yang terselamat.
Tidak dapat dipastikan jika ia memadai untuk mengekang kemarahan di Hong Kong, yang telah melarang penduduknya daripada mengunjungi Filipina. Kira-kira 140,000 pelancong Hong Kong melawat Filipina setiap tahun dan beratus-ratus sudah membatalkan lawatan mereka selepas kejadian itu.
Kebimbangan juga ditimbulkan terhadap kemungkinan tindak balas ke atas lebih 100,000 warga Filipina yang bekerja di Hong Kong, kebanyakannya sebagai pembantu rumah. - AP

JKM lantik pegawai akhlak bantu dua beradik mangsa rogol



KOTA BHARU 30 Ogos - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri melantik pegawai akhlak untuk membantu dua beradik di Bachok yang mendakwa menjadi mangsa rogol abang kandung mereka.
Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik berkata, ia untuk memastikan keselamatan dan keselesaan kedua-dua beradik berusia 14 dan 16 tahun itu.
Menurutnya, JKM juga terlebih dahulu memeriksa latar belakang dan persekitaran tempat tinggal baru kedua-dua remaja itu yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret Pasir Puteh semalam supaya diserahkan kepada ibu saudara mereka buat sementara waktu.
"Pegawai kaunselor JKM akan melihat kesesuaian sama ada remaja itu akan dipindahkan ke sekolah berdekatan dengan tempat tinggal sekarang supaya persekolahan mereka dapat diteruskan tanpa mengalami tekanan perasaan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mahkamah Majistret Pasir Puteh semalam memerintahkan kedua-dua remaja terbabit diasingkan daripada jagaan kedua-dua orang tua mereka berkuat kuasa serta-merta.
Majistret Nurul Fitriza Abd. Latif memutuskan supaya kedua-dua remaja berkenaan yang mendakwa dirogol oleh abang kandung mereka, diletakkan di bawah jagaan ibu saudara untuk sementara waktu dan dipantau oleh JKM.
Md. Noor berkata, JKM sedar bahawa pengasingan kedua-dua beradik itu adalah suatu tempoh peralihan yang mungkin akan mempunyai kesan pro dan kontra antara mereka dengan saudara terbabit.
Justeru, katanya, JKM akan meneliti semua aspek termasuk kemungkinan memberikan bantuan bulanan kepada ibu saudara remaja terbabit untuk meringankan bebannya.
"Sekiranya masih timbul masalah untuk mewujudkan keserasian atau masalah lain pula yang timbul, langkah terakhir remaja terbabit akan dibawa ke rumah perlindungan," katanya.
Beliau memberitahu, prosedur yang dijalankan oleh JKM berkaitan kes seumpama itu adalah dengan menempatkan dahulu mangsa di rumah saudara terdekat, tetapi pada masa sama mengambil kira kepentingan masyarakat setempat.
"Jika dikenal pasti saudara tersebut masih bermasalah untuk menjaganya, kerajaan akan mengambil alih tanggungjawab tersebut," jelasnya.
Ditanya sama ada JKM akan memberi bantuan kepada keluarga remaja berkenaan, Md. Noor berkata, tidak semua kes seperti itu mendapat bantuan secara automatik disebabkan ada syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi.
"JKM mempunyai kumpulan sasar yang ramai dan tanpa had, antaranya orang miskin yang tidak mempunyai sumber pendapatan atau ibu tunggal yang kematian suami atau bercerai.
"Dalam kes ini, kita dapati kedua-dua ibu bapa kanak-kanak terbabit sihat tubuh badan dan mempunyai sumber pendapatan. Sekiranya mereka mahu memohon, borang akan diproses seperti biasa dan JKM akan meneliti ruang yang dapat dibantu," katanya.

Curi senduk: Dipenjara sehari, denda RM500



KUALA LUMPUR 30 Ogos - Gara-gara mencuri sembilan batang senduk hampir dua minggu lalu, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara sehari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
K. Selvarajoo, 49, dijatuhi hukuman tersebut selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Azali Ibrahim.
Tertuduh juga boleh dihukum penjara tiga hari jika gagal membayar denda.
Lelaki itu mengaku mencuri sembilan batang senduk buatan Jepun bernilai RM128.20 di tingkat dua, Pasar Raya Jusco, MidValley, Brickfields di sini pada pukul 2.50 petang, 19 Ogos lalu.
Perbuatan tersebut menyebabkan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa mengambil barang tersebut dan terus meluru keluar ke pintu utama. Bagaimanapun kejadian tersebut disedari oleh pekerja pasar raya tersebut.
Lelaki tersebut kemudian ditahan oleh pekerja berkenaan dan diminta untuk menunjukkan resit bayaran tetapi tertuduh gagal untuk berbuat demikian.
Selepas siasatan, tertuduh diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Zamran manakala tertuduh diwakili peguam bela K.Kalavani.

Tiga warga Bangladesh melecur, tong gas masak meletup



Habibur Rahman dibawa ke unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang selepas muka dan anggota badannya melecur teruk akibat daripada letupan gas di Taman Iping Batu Maung, Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 30 Ogos – Hasrat tiga rakyat Bangladesh untuk memasak juadah berbuka puasa tidak kesampaian apabila tong gas yang digunakan tiba-tiba meletup di rumah sewa mereka di Taman Iping, Batu Maung, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, semua mereka yang merupakan pekerja sebuah kilang di sini cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Kesemua mangsa yang melecur hampir seluruh badan itu dikenali sebagai Alim, 23, Rafiqul, 24, dan Habibur Rahman. Habibur paling serius kerana berada hampir dengan tong gas terbabit.
Menurut rakan mangsa, Mohamad Anwar Abdul Rahman, 31, kejadian berlaku ketika ketiga-tiga mereka sibuk menyediakan juadah berbuka puasa.
“Ketika sibuk memasak secara tiba-tiba gas meletup lalu menyambar ketiga-tiga mereka dan apabila menyedari kejadian itu saya terus meminta pertolongan jiran.
“Ketiga-tiganya kemudian dibawa ke HPP dengan ambulans dan semasa dihantar mereka berada dalam keadaan sedar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Kecemasan HPP di sini malam tadi.
Mohamad Anwar berkata, ketiga-tiga mangsa kini ditahan untuk rawatan lanjut kerana kecederaan parah.
Dia bagaimanapun bersyukur kerana doktor memaklumkan keadaan mereka tidak serius tetapi mengambil sedikit masa untuk sembuh.