Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Wang percutian RM250,000 lesap

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan air liur, seorang lelaki bertindak licik apabila mendakwa memiliki agensi pelancongan untuk memperdayakan 678 mangsa dengan melarikan wang percutian mereka ke Bandung, Indonesia dan Kota Kinabalu, Sabah bernilai lebih RM250,000.
Menawarkan pakej percutian serendah RM350, lelaki terbabit menjadikan kakitangan beberapa klinik kesihatan sebagai orang tengah bagi mempromosikan pakej terbabit.

Namun, sebaik saja jumlah keseluruhan pembayaran berkenaan dibuat, lelaki terbabit mereka pelbagai alasan untuk membatalkan percutian itu kononnya mengalami masalah teknikal sebelum ghaib hingga gagal dihubungi.

Menurut wanita dikenali sebagai Rohaya, 33, dia bersama 94 mangsa buntu apabila diberitahu percutian mereka ke Kota Kinabalu, Sabah yang dijadualkan Jumaat ini dibatalkan tanpa alasan munasabah.

“Ia bermula apabila rakan sekerja, Azhan mendakwa menerima panggilan daripada wakil agensi pelancongan dikenali sebagai Imran, 40 yang mendakwa beralamat di Pandamaran, Klang yang ingin menawarkan pakej pelancongan ke beberapa destinasi dalam dan luar negara.

“Memandangkan pakej ditawarkan agak munasabah dan murah, saya membantu mempromosikan kepada jiran dan rakan sekerja pada April lalu dan mendapat sambutan kerana mereka terlalu teruja untuk melancong,” katanya yang mengumpul kira-kira RM24,500 bagi 94 peserta termasuk dewasa dan kanak-kanak.

Menurut Rohaya, setiap kali menerima bayaran peserta rombongan itu, dia akan menyerahkan kepada Azhan yang akan membayarnya kepada suspek.

Namun, kegembiraan mereka untuk melancong ke negeri bawah bayu selama tiga hari tidak lama apabila dimaklumkan Azhan, suspek membatalkan percutian itu kerana agensinya mengalami masalah dalaman.

“Berita mengejutkan itu diterima pada Khamis lalu sedangkan rombongan tiga hari dua malam yang dirancangkan sejak tiga bulan lalu sepatutnya bertolak pada Jumaat ini. Saya cuba meminta penjelasan, namun dimaklumkan suspek enggan menjawab panggilan telefon.

“Saya meminta Azhan mencari lelaki terbabit untuk memulangkan wang itu, namun suspek memberi pelbagai alasan serta berjanji akan menggantikan dengan percutian lain,” katanya ketika ditemui semalam.

Episod penipuan itu bertambah malang apabila Azhan mendakwa dia menganjurkan sembilan lagi rombongan percutian termasuk satu ke Bandung, Indonesia membabitkan peserta yang juga kakitangan klinik kesihatan di Lembah Klang membabitkan wang RM206,909.
Rohaya berkata, dia cuba memberi penjelasan kepada rakan serta jiran tetangga yang menjadi mangsa, namun diserang hingga menimbulkan kekecohan di kawasan rumahnya di Pantai Dalam di sini.

“Saya bukan saja mengalami kerugian dan malu, malah turut menerima ancaman jiran tetangga yang mendakwa saya melarikan wang itu. Kini mereka menuntut saya membayar hutang terbabit yang di luar kemampuan saya. “Selain menerima cacian dan hinaan kami juga menerima ugutan untuk membakar rumah serta mencederakan keluarga dan anak-anak menyebabkan mereka enggan ke sekolah. Kerana tidak mahu dicederakan, saya kini meminta bantuan saudara-mara untuk meminjam wang untuk dipulangkan kepada mereka semua,” katanya yang membuat tiga laporan polis berhubung kes itu.

Sementara itu, bekas presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (Bumitra), Datuk Syed Mohd. Razif Syed Yasin menasihati orang ramai supaya berurusan dengan ejen pelancongan yang mempunyai lesen daripada Kementerian Pelancongan.

“Sesiapa yang ingin membeli pakej percutian dinasihatkan membeli daripada syarikat berlesen kerana perlu mematuhi syarat ditetapkan selain mesti berurusan di pejabat agensi pelancongan berkenaan bagi mengelakkan sebarang penipuan,” katanya.

No comments:

Post a Comment