Search This Blog

Sunday, July 18, 2010

Rugi RM350,000 ditipu 2 wanita

KLANG: Seorang peniaga busana muslimah mendakwa kerugian RM350,000 apabila diperdaya dua wanita pemilik syarikat pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan melalui skim pelaburan mata wang asing termasuk dolar Amerika Syarikat.
Kedua-dua wanita yang berasal dari Sabah itu dipercayai sudah menipu lebih RM1.5 juta wang pelaburnya di sekitar Lembah Klang.
Mangsa, Mohamad Nor Mohamad Ali, 50, berkata beliau tertarik dengan skim terbabit selepas diperkenalkan oleh seorang rakan sebelum berjumpa sendiri dua wanita itu.

“Saya mula melabur pada akhir Februari lalu dan hanya mendapat pulangannya sekali saja iaitu pada April sebanyak RM2,500.

“Selepas itu, saya langsung tak pernah dapat balik pulangan seperti yang dijanjikannya iaitu 25 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah pelaburan pada setiap bulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Mohamad Nor yang berasal dari Kapar, di sini berkata, selepas tidak menerima sebarang pulangan pelaburan itu, dia menghubungi wanita terbabit untuk mendapatkan maklum balas, namun pelbagai alasan diberikan sebelum dia langsung gagal dihubungi.

Berikutan itu, Mohamad Nor membuat satu laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam, 5 Julai lalu.

Katanya, wanita pertama yang menipunya berusia 34 tahun dan menggunakan beberapa nama samaran seperti Vivi, Erlina dan Hawa untuk memerangkap mangsanya.

“Melihat kepada perwatakan lemah-lembut, bersopan santun dan kerap bercakap soal agama, tak sangka dia seorang penipu licik.

“Wanita kedua yang dikenali sebagai Pat pula berpenampilan ala ‘tomboi’ dan mereka sering bersama,” katanya menambah kedua-dua wanita terbabit mempunyai dua syarikat di Putra Height dan di Puchong Perdana, dekat sini, tetapi ia sudah ditutup.

No comments:

Post a Comment