Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Polis bongkar aktiviti jual dadah di sebalik perniagaan keranda


KLANG - Taktik seorang lelaki yang menggunakan perniagaan keranda bagi melindungi aktiviti menjual dadah terbongkar apabila sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan menyerbu premis itu di sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Mohamad Mat Yusop berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 6.39 kilogram dadah jenis ganja bernilai RM21,000 yang disembunyikan di dalam kotak colok dan satu uncang kain di sebuah bilik premis berkenaan.

"Polis turut menahan pemilik kedai itu yang berusia 38 tahun dan pekerjanya yang berusia 44 tahun dipercayai suspek kes berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad berkata, pemilik kedai terbabit mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kegiatan menjual ganja di kedai itu dipercayai mula aktif sejak tiga minggu lepas dan dijual dalam paket sekilogram, 41 gram dan 5 gram masing-masing dengan harga RM2,800, RM300 dan RM50.

Mohamad berkata, suspek dipercayai mendapat bekalan dadah itu dari negara jiran untuk dijual di pasaran sekitar Klang.

No comments:

Post a Comment