Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

Penunggang mati rempuh lori

BANGI: Seorang lelaki maut manakala rakannya koma selepas motosikal ditunggangi mereka merempuh belakang sebuah lori dua tan yang berhenti di Kilometer 291.9 Lebuh raya Utara Selatan berhampiran susur ke Bukit Mahkota di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal melambung ke atas jalan raya sebelum seorang daripada mereka maut akibat parah di kepala manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban.
Sumber polis berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke arah Seremban.

Menurutnya, berdasarkan siasatan, mangsa tidak sempat menghentikan motosikalnya sebelum merempuh belakang lori yang membawa penuh peralatan dapur dari arah Balakong, Selangor menuju ke Tampin, Negeri Sembilan.

“Beberapa minit sebelum kejadian, pemandu lori terbabit mendakwa mengalami masalah pada bahagian gear sebelum dia berhenti di bahu lebuh raya. Namun, pemandu terbabit yang masih berada di dalam lori terkejut apabila terdengar bunyi hentakan pada belakang lori sebelum melihat dua lelaki tercampak ke atas jalan.

“Muhammad Azrul Yusor, 21, maut di lokasi kejadian manakala rakannya, Amirul Azhar Abd Rahim, 20, cedera parah dan kini tidak sedarkan diri,” katanya.

Tiga ambulans dari Hospital Serdang, Seremban dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) bergegas ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan kecemasan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Hospital Serdang manakala rakannya yang cedera parah dihantar ke HTJ. “Setakat ini, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal turut maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil berhampiran kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Beranang, Lebuh raya Kajang Seremban (LEKAS), pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an dirempuh kereta berkenaan yang dipercayai dipandu laju menuju ke arah Kajang.

No comments:

Post a Comment