Search This Blog

Friday, July 23, 2010

Pengarah bergelar Datuk tak mengaku ambil wang


KUALA LUMPUR 22 Julai - Seorang pengarah syarikat pelaburan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan secara tidak jujur mengambil wang syarikat sebanyak RM1.3 juta untuk faedah sebuah syarikatnya yang lain, tiga tahun lalu.
Datuk Ab. Malik Ab. Rahim, 48, yang merupakan pengarah syarikat Dalamasa Sdn. Bhd. (Dalamasa) memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamed.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bertindak dengan tidak jujur dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pengarah Dalamasa seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 kerana mengambil wang syarikat berjumlah RM1.3 juta untuk faedah syarikat pelaburannya yang lain, Ambridge Logistic Sdn. Bhd.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat Dalamasa di B-5-6, Tingkat Lima, Blok B, Megan Avenue II, 12, Jalan Yap Kwan Seng di sini di antara 4 April 2007 dan 17 Mei 2007.
Tertuduh yang menyerah diri di Balai Polis Brickfields pada pukul 9.45 pagi ini didakwa di bawah Seksyen 132(1) Akta Syarikat 1965 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 132(3)(b) akta tersebut.
Di bawah seksyen tersebut, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM30,000 jika sabit kesalahan.
Pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Mohd. Zulkhairi Kamaruzaman menawarkan jaminan RM30,000 terhadap Ab. Malik dengan seorang penjamin.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela pula memohon agar mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM5,000 sahaja memandangkan dia kini telah diisytiharkan muflis.
Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan mengarahkan pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Isteri tertuduh yang hadir selaku penjaminnya membayar wang jaminan tersebut.
Sebutan kes ditetapkan pada 25 Ogos ini.

No comments:

Post a Comment