Search This Blog

Wednesday, July 28, 2010

Pencuci kereta dipenjara 7 tahun, 10 sebatan miliki heroin


SHAH ALAM - Seorang pencuci kereta dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis heroin dan Monoacetylmorphines seberat 93.21 gram, dua tahun lepas.

Tertuduh, Baharudeen a/l Abdul Hamid, 24, didakwa melakukan kesalahan itu di rumah lot 266A, Kampung Baru Batu 11, Cheras, Hulu Langat, kira-kira pukul 4 petang, 18 Nov 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39 A (2) Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan minimum 10 kali sebatan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Siti Khadijah Sheikh Hassan Badjenid juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun selepas dia mengaku bersalah memiliki racun jenis Caffeine di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Baharudeen didakwa mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada hari kejadian.

Terdahulu, peguam Rajpal Singh yang mewakili Baharudeen memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya yang mempunyai seorang anak lelaki berumur 4 tahun menghidap penyakit jantung berlubang sejak lahir.

Timbalan Pendakwa Raya, Isa Hassim yang mengendalikan pendakwaan pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira bahawa kesalahan berkaitan dadah adalah serius dan sering berlaku pada masa ini.-Bernama


No comments:

Post a Comment