Search This Blog

Wednesday, July 28, 2010

Pemuda maut ditetak empat lelaki


SHAH ALAM – Seorang pemuda maut selepas diserang dan ditetak seluruh badan oleh empat lelaki bersenjatakan parang yang memakai topeng ski dalam kejadian di Batu 3, Kampung Teluk Menegun, Seksyen 36, di sini, semalam. 

Sebelum kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, mangsa, V Vitirajan, 36, bersama rakannya difahamkan pergi ke sebuah bengkel kereta di kawasan terbabit dan sedang menunggu kenderaannya diservis. 

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, ketika mangsa bersiap menaiki keretanya, tiba-tiba muncul empat suspek meluru ke arah mangsa dan menetaknya bertubi-tubi. 

“Mangsa yang hampir putus tangan kirinya melarikan diri kira-kira 80 meter dari bengkel itu ke sebuah klinik desa terletak bersebelahan premis terbabit. 

“Mangsa cuba masuk ke dalam klinik tetapi berkunci dan dia berlari ke belakang premis, namun sempat dipintas tiga lelaki masing-masing memegang parang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam. 

Menurutnya, ketiga-tiga suspek itu terus menetak mangsa sehingga cedera parah di bahagian muka, tangan dan seluruh badannya. 

“Ketiga-tiga lelaki itu kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton Iswara berwarna hitam dengan nombor pendaftaran WGX 6879 yang sudah siap sedia menunggu mereka,” katanya. 

Beliau berkata, beberapa rakan kemudiannya membawa mangsa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk mendapatkan rawatan, namun mangsa disahkan mati sebaik tiba di hospital. 

Noor Azam berkata, polis hanya dimaklumkan berhubung kejadian selepas itu. Siasatan awal tidak menemui sebarang senjata yang digunakan untuk membunuh mangsa dan polis percaya serangan terbabit adalah bermotifkan dendam. 

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati mangsa baru dibebaskan dari Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor, kira-kira sebulan lalu. Semakan awal turut menunjukkan nombor pendaftaran kereta yang digunakan empat penjenayah yang menyerang mangsa, mungkin nombor plat palsu. 

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke mana-mana balai polis berdekatan atau terus menghubungi 03-55102222 bagi membantu siasatan. 

Sementara itu, seorang petugas klinik desa di kawasan itu yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian dia bersama tiga lagi rakannya berada di premis dan ada dua pesakit sedang menerima rawatan. 

“Saya dan tiga lagi kakitangan di sini, terdengar bunyi bising dari arah bengkel itu dan yakin ada sesuatu yang tidak kena kerana semua orang lari bertempiaran menyembunyikan diri sebelum keadaan tiba-tiba sunyi sepi. 

“Saya terus mengunci pintu klinik dan pada masa yang sama melihat mangsa yang cedera parah berlari ke arah klinik. Terdapat tiga lelaki mengejarnya sebelum mangsa dapat ditangkap dan ditetak seluruh badan sehingga mukanya jatuh ke dada,” katanya.

No comments:

Post a Comment