Search This Blog

Sunday, July 18, 2010

Pelacur maut dipanah

“I am the crossbow cannibal (saya adalah kanibal pemanah).” Itu jawapan bersahaja Stephen Griffiths, 40, apabila Mahkamah Majistret Bradford, England, meminta pengesahan namanya ketika dia menghadapi perbicaraan terhadap tuduhan kes membunuh.
Griffiths yang juga pelajar Doktor Falsafah dalam pengajian krimonologi dan jenayah di Univeristi Bradford dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan melakukan pembunuhan bersiri ke atas tiga wanita yang juga pekerja seks, Suzanne Blamires, 36, Susan Rushworth, 43, dan Shelley Armitage, 31.

Suspek dipercayai membunuh mangsa pertamanya, Blamires antara 20 Mei dan 25 Mei 2009; manakala Rushworth sekitar 22 Jun 2009 dan Armitage pada 25 April dan Mei tahun ini.

Mangsa terakhirnya, Armitage yang ditemui Griffiths di Rebecca Street , Bradford City, dibunuh berhampiran koridor kediamannya.

Griffiths mulanya bercumbu dengan pelacur berkenaan di koridor berkenaan sebelum membiarkan wanita berkenaan jalan mendahuluinya.

Dari belakang, Griffiths menyentap tengkuk Armitage sehingga sesak nafas. Ketika wanita terbabit terkulai dan tidak sedarkan diri, Griffiths masuk ke kediamannya mengambil penembak panah dan seterusnya memanah mangsa tepat di kepala.

Jenayah kejam Griffiths terbongkar berikutan penemuan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan pangsapuri kediamannya.

Daripada rakaman CCTV itu juga, rakaman pembunuhan Blamires turut ditemui dengan kaedah pembunuhan sama dan ia berlaku hampir setahun lalu.

Sumber Polis Bradford menjelaskan, Griffiths pernah mengalami masalah mental dan terlalu obses dengan penyelidikan terhadap kes pembunuhan bersiri.

“Bahan bukti menunjukkan Griffiths banyak menyimpan koleksi berkaitan pembunuhan bersiri dan dia menggemari pembunuh bersiri, Jack The Ripper.

“Dia (Griffiths) bijak, tetapi terpengaruh dengan apa yang dipelajarinya. Dia membunuh dengan cara konsisten dan itu satu daripada ciri pembunuh bersiri,” katanya kepada akhbar Daily Mail di England.

Selepas penangkapan Griffiths, Mei lalu, polis akhirnya menemui semula rangka mayat Blamires di Sungai Aire, Shipley berhampiran Bradford. Blamires dikenal pasti melalui ujian DNA.

Dua mayat mangsa lagi belum ditemui kerana Griffiths enggan bekerjasama dengan polis dan pegawai penyiasat.

Bukti rakaman CCTV sebenarnya cukup kuat untuk mengaitkan Griffiths dengan pembunuhan pelik dan kejam ini, namun polis masih melanjutkan siasatan untuk mencari kaitan kes membabitkan mangsa hilang dan pembunuhan pelacur yang belum dapat diselesaikan.

Polis turut percaya Griffiths tidak hanya melakukan jenayah di sekitar Bradford, malah berkemungkinan terbabit dengan serangan seksual dan pembunuhan pelacur di Sheffield, Leeds dan Manchester, England.

Setakat ini kes Griffiths masih dalam perbicaraan di mahkamah dengan tuduhan bunuh terhadap tiga mangsa yang dikenal pasti iaitu Blamires, Rushworth dan Armitage.

DATA
SUSPEK: Stephen Griffiths
UMUR: 40 tahun
STATUS: Bujang
MANGSA: Suzanne Blamires, 36; Susan Rushworth, 43; dan Shelley Armitage, 31
FAKTA JENAYAH: Griffiths yang menggelar dirinya ‘crossbow cannibal’ adalah pembunuh bersiri yang terbabit dengan pembunuhan Blamires, Rushworth dan Armitage. Dia hanya membunuh pelacur dan mangsanya dibunuh menggunakan penembak panah FAKTA KES: Mahkamah Majistret Bradford mendakwa Griffth atas tiga tuduhan membunuh. Polis turut mencari kemungkinan suspek terbabit dengan serangan seksual dan pembunuhan pelacur di Sheffield, Leeds dan Manchester, England

No comments:

Post a Comment