Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Pasar borong kartun



BANDAR TUN ABDUL RAZAK JENGKA – Kecewa, hanya itu dapat digambarkan lebih 30 peniaga di Pasar Borong Tun Abdul Razak Jengka yang baru tiga hari berpindah ke tapak pasar baru yang sempit, tidak selesa dan ibarat menutup periuk nasi mereka. 

Para peniaga menyuarakan kekecewaan apabila pendapatan diperoleh semakin berkurangan malah peraih dan pelanggan turut merungut tidak selesa menjalankan urusan perniagaan di kawasan tapak baru itu. 

Wakil peniaga ikan, Zakaria Yahya, 53, berkata, pelanggan merungut keadaan ruang sempit membuatkan mereka sukar untuk bergerak dan membuat pilihan ketika urusan jual-beli. 

“Mereka datang sekitar jam 4 pagi dan ketika itu, para pekerja menurunkan ikan dari lori. Keadaan sempit menyebabkan tidak semua barang boleh diangkat, hanya tiga ke empat tong ikan sahaja boleh dimuatkan dalam lot itu. 

“Selebihnya, kita terpaksa letakkan di dalam lori. Perkara ini menjadi masalah apabila pembeli ramai selain melambatkan urusan jual-beli. Ada pembeli lari kerana tidak mahu menunggu lama,” katanya. 

“Beban kerja juga semakin bertambah apabila setiap masa perlu mengangkut barang dari atas lori untuk memenuhkan lot perniagaan. Ruang sempit menyukarkan pekerja dan pembeli untuk bergerak serta melakukan urusan jual beli. 

“Laluan muat untuk jalan satu hala sahaja dan ia menimbulkan masalah apabila masing-masing ingin mengangkut barangan dari atas lori ke lot perniagaan,” katanya. 

Zakaria berkata, pekerja terpaksa menanggung beban kerja lebih kerana perlu mengangkut tong ikan dua hingga tiga kali yang jaraknya beberapa meter dari lot perniagaan dengan beban sehingga 120 kilogram untuk setiap tong. 

No comments:

Post a Comment