Search This Blog

Sunday, July 18, 2010

Operasi di hotel murah

KUALA LUMPUR: Nak cantik, tidak perlu bersusah payah. Dalam hanya 15 minit, kulit yang kendur boleh menegang. Itulah masa diambil seorang wanita yang mendakwa dirinya doktor pakar untuk mengubah wajah pelanggannya supaya lebih cantik dan menawan menggunakan suntikan botox dalam operasi di sebuah bilik hotel tiga bintang di Lembah Klang.

DEMI CANTIK... wanita berusia dalam lingkungan 30-an (baring) membiarkan Lim menyuntik wajahnya dengan botox.
DEMI CANTIK... wanita berusia dalam lingkungan 30-an (baring) membiarkan Lim menyuntik wajahnya dengan botox.
Ia bermula dengan memicit kawasan yang ingin disuntik bagi menentukan bilangan suntikan sebelum ia dibuat atas persetujuan pelanggan.

Berusia 40-an dan memperkenalkan dirinya sebagai Lim, dia mendakwa berpengalaman lebih lima tahun dan berani memberi jaminan suntikan itu berkesan dalam membuatkan seseorang itu lebih cantik dan menawan.

Wartawan Metro Ahad menemui Lim menerusi seorang lelaki lembut yang sudah lama menjadi pelanggan biarpun mulanya tidak mendapat layanan ketika mahu membuat temujanji kerana mendakwa terlalu sibuk.

Bagi meyakinkan Lim, seorang wartawan lelaki dan wanita menyamar sebagai kekasih yang ingin mencantikkan wajah, terutama bahagian hidung.

Bagaimanapun, Lim masih enggan melayani permintaan wartawan sehingga mereka menyebut nombor telefonnya diberi oleh lelaki lembut itu.
Lim yang bermastautin di Johor kemudian memaklumkan, dia akan berada di hotel itu pada hari tertentu bagi memenuhi temujanji beberapa pelanggan yang memerlukan suntikan botox.

Bagi menjamin keselamatannya, Lim meminta pasangan wartawan itu menghubungi semula sebelum jam 3.30 petang sebelum masuk ke bilik untuk pengesahan.
“Bila sampai nanti... sebelum you (kamu) nak masuk bilik, hubungi saya dulu,” kata Lim.

Sebaik saja kedua-dua wartawan memasuki bilik terbabit yang mempunyai dua katil, Lim yang memakai penutup hidung dan mulut kelihatan sibuk memberi suntikan botox di dagu dan hidung seorang pelanggan wanita berusia 30-an di atas katil.

Dengan berdebar-debar, wartawan melihat dagu dan hidung wanita terbabit disuntik dengan beberapa suntikan manakala lemak di bawah lengannya disedut dengan jarum.

Darah yang keluar disapu dengan kapas manakala wanita itu tidak menunjukkan rasa sakit, malah membiarkan Lim terus melakukan tugasnya dengan dibantu seorang pembantu wanita berusia 40-an.

Proses melakukan suntikan mudah kerana Lim hanya menyapu krim sebelum menyuntik bahagian yang perlu ditegangkan. Semuanya selesai dalam tempoh 15 minit.

Di bilik berkenaan, wartawan melihat beberapa bekas ubat-ubatan, botol cecair botox serta satu bekas jarum suntikan diletakkan pada meja solek.

Jarum suntikan botox yang sudah digunakan berselerak di tepi katil sebelum pembantu wanita yang mendakwa doktor itu mengambilnya untuk dibuang sementara di bilik air.

Selepas tugasnya selesai, Lim bertanya pasangan wartawan berkenaan mengenai kedatangan mereka.

LIM (L): You mahu buat apa?
WARTAWAN LELAKI (WL): Saya punya girlfriend mahu cantikkan muka.

L: Saya nampak you (wartawan wanita) punya hidung rendah. Boleh kasi tinggi, tiga atau empat suntikan. Nak panjang dagu pun boleh.

Seorang pondan yang turut berada di bilik itu tiba-tiba menyapa sambil memberitahu, dia membuat suntikan botox di hidung dan dagu.

“Saya buat suntikan di hidung dan dagu. Kamu tidak perlu risau, tak sakit pun. Nak cantik tak perlu takut,” katanya.

WL: Berapa harga ini suntikan?

L: Saya ada dua pakej dengan harga murah dan mahal. Murah untuk suntikan jarum pendek manakala yang mahal suntikan jarum panjang.

Lim kemudian memicit beberapa bahagian wajah wartawan wanita dan mencadangkan supaya disuntik pada dagu dan hidung.

“You panjangkan sedikit dagu, selepas itu saya akan suntik pada hidung. You perlukan lapan hingga 10 suntikan.

“Semua kos lebih kurang RM800. I bagi suntikan jarum panjang sebab boleh tahan lama. Kalau hendak murah, I bagi jarum pendek, hanya RM60 satu suntikan tetapi tidak kekal,” katanya.

Selepas mendengar penjelasan Lim, kedua-dua wartawan mulai resah berikutan terperangkap dalam bilik dan kemungkinan penyamaran mereka terbongkar.

Dalam pada itu, Lim ditanya bahan yang digunakan untuk suntikan botox, namun dia yang kelihatan terkejut hanya memberitahu supaya tidak perlu bimbang.

Lim turut memberitahu, dia menyediakan khidmat menyedut lemak.

Menakutkan apabila rawatan menyedut lemak itu dilakukan semudah kiraan satu, dua, tiga.

Boleh dilihat dengan jelas Lim membius lengan pelanggannya sebelum menyedut lemak menggunakan jarum suntikan.

Jelas kelihatan lemak seperti minyak bercampur darah dalam bekas khas yang disambung dengan jarum suntikan terbabit.

Bagi mengelak dikenakan suntikan botox, pasangan wartawan itu terpaksa memberi pelbagai alasan kepada Lim, termasuk mahu berfikir terlebih dulu kerana kos tinggi dan belum mengisi perut.

Kebetulan pula, Lim menasihatkan wartawan wanita itu mengambil sedikit makanan bagi mengelak perkara tidak diingini ketika suntikan dilakukan dan ini memberi peluang kepada wartawan untuk meninggalkan tempat itu.

Walaupun Lim ada menghubungi wartawan lelaki, namun dia dimaklumkan 'kekasihnya' takut jarum.

No comments:

Post a Comment