Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

Kucing ‘menangis’

JERANTUT: “Awal pagi semalam (kelmarin), kucing peliharaan anak saya yang diberi nama Oren menunjukkan kelakuan ganjil apabila mengiau tidak henti-henti dan gelagatnya seolah-olah sedang menangis seperti ia tahu tuannya ditimpa kesusahan,” kata ibu pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Kelantan, yang dikhuatiri lemas ketika berenang di Lubuk Simpon, Sungai Tahan di Kuala Tahan di sini, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pelajar tahun akhir bidang Kejuruteraan Bangunan, Alif Asraf Hashim, 22, dari Cheras, Selangor, dihanyut arus deras ketika menjalankan aktiviti pengukuran sungai dan batu-batan di sekitar tempat kejadian dalam satu rangka kerja Eksplorasi Geologi Tanah anjuran fakultinya.
Difahamkan, mangsa bersama 37 pelajar dan tujuh pensyarah tiba di Kuala Tahan untuk melaksanakan aktiviti itu sejak Ahad lalu dan mereka dijangka menamatkan tugasan Jumaat ini.

Menurut ibu mangsa, Hamidah Ibrahim, 49, dia sekeluarga bagaimanapun, tidak mengendahkan gelagat kucing berkenaan kerana menyangka haiwan itu mungkin sakit sehinggalah dimaklumkan berita buruk mengenai anak sulung daripada tiga beradik itu.

“Kali terakhir kami berbual pada petang Isnin lalu apabila dia menghubungi saya. Namun, dalam perbualan Alif tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik dan dia hanya bercerita mengenai kegiatannya sepanjang berada di Kuala Tahan.

“Malah, Ahad lalu dia juga sempat berpesan pada ayahnya supaya memasukkan sedikit duit kerana mahu membeli barangan untuk kegunaan sepanjang program berkenaan,” katanya.

Hamidah berkata, mangsa juga sempat berpesan kepada adiknya, Alia Ashamimi, 16, supaya menjaga dengan baik beg sandang kesayangannya seolah-olah beg itu bakal menjadi tanda akhir untuk ingatan keluarga.

“Alif rapat dengan adik bongsunya dan sebelum dia kembali semula ke kolej sebaik menamatkan cuti semester baru-baru ini, dia menasihati adiknya itu supaya belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Bapa mangsa, Hashim Baharom, 50, berkata dia juga amat rapat dengan anak lelaki tunggalnya itu dan kerap keluar minum bersama apabila Alif pulang bercuti semester.

“Malam sebelum kejadian, entah kenapa saya tidak lelap tidur seperti ada yang mengganggu fikiran.

“Perasaan resah saya menjadi kenyataan apabila menerima panggilan telefon memaklumkan anak saya hilang dalam sungai kira-kira jam 5 petang semalam,” katanya yang bergegas ke Kuala Tahan dan tiba kira-kira jam 1 pagi semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Yahaya Hanapi, berkata seramai 100 anggota dari pelbagai agensi termasuk penduduk kampung menjalankan operasi mencari mangsa sejurus menerima laporan kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dijalankan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian seawal jam 8 pagi dan dihentikan seketika kerana hari semakin gelap.

“Operasi akan disambung semula esok (hari ini) dan kawasan pencarian akan diperluaskan sehingga Lubuk Yong kira-kira tiga kilometer dari tempat kejadian.

“Selain menggunakan kira-kira 20 bot bomba, penduduk juga meminjamkan bot mereka dalam usaha mencari mangsa dan pasukan penyelamat menempuh sedikit kesukaran berikutan arus sungai yang agak deras,” katanya.

No comments:

Post a Comment