Search This Blog

Thursday, July 22, 2010

Kes positif H1N1 turun 29.7 peratus


22/07/2010 3:23pm


KUALA LUMPUR 22 Julai - Jumlah kes positif infulenza A (H1N1) turun 29.7 peratus kepada 52 kes bagi tempoh dari 11 hingga 17 Julai lepas berbanding 74 kes pada minggu sebelum itu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan berkata ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif H1N1 kini 15,380, dengan jumlah kematian kekal 91 orang.
Beliau berkata, bagi tempoh yang sama dari 11 hingga 17 Julai, enam kejadian kluster Penyakit Serupa Influenza (ILI) yang baru dilaporkan di Kedah, Melaka, Selangor dan Perak.
Katanya, jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan simptom ILI juga turun 9.2 peratus iaitu 516 orang berbanding 568 pesakit pada minggu sebelumnya, manakala baki kes ILI yang masih dirawat di seluruh negara setakat 17 Julai ialah 375 kes di 64 hospital termasuk di 10 hospital swasta.
"Daripada jumlah itu, hanya 37 pesakit atau 9.9 peratus merupakan kes influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal. Juga terdapat lima kes H1N1 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko,” katanya.
Dr. Mohd Ismail berkata sehingga 16 Julai, 97.54 peratus vaksin H1N1 sudah digunakan melibatkan 369,225 penerima. - Bernama

No comments:

Post a Comment