Search This Blog

Wednesday, July 28, 2010

Keputusan 46 pengikut Ayah Pin 19 September



KUALA TERENGGANU – Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam menetapkan 19 September ini sebagai tarikh bagi mendengar keputusan sama ada wujud atau tidak kes prima facie terhadap 46 pengikut kumpulan ajaran sesat Ayah Pin. 

Sehingga menunggu tarikh itu, semua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 (EKJST) dibebaskan sementara dan mahkamah mengekalkan ikat jamin sedia ada. 

Hakim syarie, Rosdi Harun turut membenarkan peguam yang mewakili tertuduh, Saadiah Din mengemukakan jawapan balas bertulis terhadap hujah pihak pendakwa raya selewat-lewatnya 4 Ogos ini dan dibalas pendakwa raya pada 18 Ogos. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Esah Mohamad bersama 45 tertuduh yang lain didapati berada dalam kawasan kediaman Ayah Pin di Kampung Batu 13 Mukim Tenang Hulu Besut, Besut pada 20 Julai 2005 kira-kira jam 10.30 pagi. 

Dengan itu, mereka menghina pihak berkuasa agama kerana mengingkari fatwa iaitu ajaran dan pegangan Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah. 

Dalam prosiding semalam, pendakwa raya dalam hujahnya menegaskan bahawa melalui 25 saksi yang dipanggil memberi keterangan sebelum ini, semua tertuduh dibuktikan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10 EKJST. 

Dengan mengemukakan empat fakta utama, Mustafar Hamzah selaku Ketua Pendakwa Syarie menyatakan semua tertuduh ditangkap ketika berada dalam kawasan kediaman di mana Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Mohamad tinggal. 

Katanya, kawasan kediaman berpagar itu adalah tempat Ayah Pin menjalankan aktiviti ajarannya dan terdapat perintah daripada pihak berkuasa agama melalui fatwa yang mengehendaki orang ramai menghindari daripada terbabit dengan ajaran Ayah Pin.

No comments:

Post a Comment