Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

Enam ditahan proses air ketum di Jerlun

JERLUN: Enam lelaki berumur antara 20 dan 65 tahun ditahan ketika sedang memproses, menjual dan membeli air ketum dalam serbuan di dua rumah di Kampung Tanduk Kedabu di sini hari ini.
Serbuan oleh Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu adalah kali keempat dilakukan di kedua-dua rumah yang berhampiran itu tahun ini.
Pegawai Operasi Bahagian Narkotik IPK Kedah Cif Inspektor Mohd Shaharan Tarmizi berkata, operasi kira-kira jam 12.30 tengah hari itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Pihak polis sudah membuat empat kali serbuan di kedua-dua rumah itu sepanjang tahun ini dan kali terakhir serbuan dibuat pada bulan Mei lalu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, tiga daripada enam yang ditahan itu adalah anak-beranak dan saudara dengan seorang daripada mereka pernah ditahan dalam tiga serbuan sebelum ini manakala tiga lagi adalah pelanggan.

"Dalam operasi itu, polis merampas 350 bungkus air ketum yang diproses, lima kilogram daun ketum, dua tong gas, dua dapur masak dan dua periuk besar yang kesemuanya bernilai lebih RM10,000," katanya.

Mohd Shaharan berkata, kegiatan mereka itu aktif sejak dua tahun lepas dan pokok ketum juga ditanam di belakang sebuah daripada rumah yang diserbu itu.

"Kesemua mereka dibawa ke IPK dan akan menjalani ujian air kencing. Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih empat tahun dan denda tidak lebih RM10,000," katanya.-Bernama

No comments:

Post a Comment