Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

CCTV rakam penunggang motosikal maut dilanggar lori di lebuh raya Lekas


GAMBAR kiri dari rakaman CCTV menunjukkan sebuah lori pick-up dan beberapa buah motosikal melalui lebuh raya di Kilometer 11.5 Lebuhraya Kajang - Seremban (Lekas) arah Selatan, kira-kira pukul 8 pagi Jumaat lalu.


Gambar memaparkan penunggang motosikal yang berada di belakang jatuh dipercayai dilanggar oleh lori tersebut yang berlalu pergi. Penunggang motosikal itu maut.


KUALA LUMPUR 19 Julai – Polis meminta orang ramai supaya tampil membantu siasatan kes kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Kilometer 11.5 Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas), arah selatan, dekat sini Jumaat lalu.
Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Beranang, apabila motosikal mangsa, G. Balan, 37, dirempuh dari belakang oleh kenderaan terbabit.
Balan kemudian diseret sejauh beberapa meter mengakibatkan mangsa yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Pemandu lori itu bagaimanapun tidak berhenti dan melarikan diri setelah menyedari kejadian tersebut.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar ketika dihubungi hari ini berkata, sehingga kini, pemandu lori terbabit masih tidak membuat sebarang laporan.
Beliau berkata, ketiadaan laporan pemandu lori dan saksi yang tampil menyalurkan maklumat menyukarkan siasatan kes berkenaan.
Katanya, siasatan kes tersebut dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai sehingga menyebabkan kematian.
“Kita minta pemandu lori tampil membuat laporan manakala orang ramai yang melihat kejadian itu membantu memberi maklumat,” katanya,
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik Kajang, Inspektor Kazurawati Ali dengan menghubungi talian 03-87362222 sambungan 206.

No comments:

Post a Comment