Search This Blog

Wednesday, July 28, 2010

Bekas pensyarah, dua rakanbebas tuduhan edar dadah


KUANTAN 27 Julai - Seorang bekas pensyarah dan dua rakannya terlepas hukuman mati di tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar ganja seberat 511 gram, hujung tahun lalu.
Wan Isbullah Wan Mohd. Daud, 28; Mohd. Hasrol Hashim, 24; dan Syahrizan Jemaan, 24, dibebaskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Akhtar Tahir selepas beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa mengedar dadah tersebut di rumah No. 22, Lorong Permatang Badak, di sini kira-kira pukul 2 pagi, 3 Disember 2009.
Tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan ketiga-tiga tertuduh masing-masing diwakili oleh peguam Richard Bong, Harmizi Mat dan Bob Arumugam.
Sementara itu, Wan Isbullah yang ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia amat bersyukur dengan keputusan pembebasannya.
''Saya rasa seperti mati hidup semula selepas keputusan yang menyatakan saya dibebaskan daripada tuduhan tersebut.
''Saya amat berterima kasih kepada ibu bapa kerana tidak jemu-jemu melawat dan memberi sokongan kepada saya ketika ditahan di Penjara Penor selama hampir lapan bulan,'' katanya yang merupakan tenaga pengajar vokasional di sebuah kolej di sini.
Dia yang berasal dari Felda Tekam Utara, Jerantut mengakui kejadian tersebut banyak memberi pengajaran dalam hidupnya.
''Bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang, saya perlu lebih berhati-hati dalam memilih kawan pada masa hadapan.
''Saya amat simpati kepada keluarga kerana sepanjang saya ditahan, mereka menghadapi pelbagai dugaan antaranya dihina dan dipulaukan jiran sekampung,'' katanya.
Sementara itu, ibunya, Zainab Awang Nik, 58, berkata, dia sering berdoa agar anak bongsunya itu bebas daripada tuduhan mengedar dadah yang cukup membuatkan mereka sekeluarga tertekan.
''Sepanjang anak saya ditahan, kami sekeluarga sering ditohmah dan dipulaukan oleh orang kampung.
''Namun Alhamdulillah dengan keputusan ini, ia dapat membersihkan nama anak saya dan keluarga daripada terus dicerca,'' katanya.

No comments:

Post a Comment