Search This Blog

Tuesday, July 20, 2010

61 maut kereta api bertembung di India


PASUKAN penyelamat India melakukan pemeriksaan bagi mencari mangsa-mangsa yang masih terperangkap di dalam gerabak kereta api yang rosak teruk dalam pelanggaran di Sainthia, kira-kira 260 kilometer ke utara Kolkata, India, semalam. - AFP


NEW DELHI 19 Julai - Sekurang-kurangnya 61 orang maut, manakala 125 lagi cedera apabila sebuah kereta api penumpang yang bergerak laju merempuh sebuah kereta api lain yang sedang berhenti di sebuah stesen di timur India, awal hari ini.
Kejadian itu merupakan kemalangan besar kedua di negeri Bengal Barat dalam tempoh dua bulan. Pada Mei lalu, lebih 70 orang terbunuh apabila sebuah kereta api tergelincir yang dipercayai akibat perbuatan sabotaj oleh pemberontak komunis.
Pegawai berkata, insiden hari ini dipercayai tidak ada kaitan dengan pengganas tetapi fokus siasatan adalah untuk mengenal pasti bagaimana kedua-dua kereta api itu boleh berada di landasan yang sama.
Nahas itu berlaku apabila Ekspres Uttar Banga merempuh Ekspres Vananchal yang tidak bergerak di stesen Sainthia, Bengal Barat, kata majistret daerah, Saumitra Mohan.
Kekuatan rempuhan dari belakang itu menyebabkan beberapa gerabak terangkat dalam satu timbunan.
"Rempuhan begitu kuat sehingga menyebabkan sebuah gerabak tercampak ke atas sebuah jejambat.
"Kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.15 pagi (4.45 pagi waktu Malaysia). Saya dapat mendengar tangisan dan teriakan mangsa dalam gelap," kata seorang pemungut tiket, Madan Lal kepada televisyen NDTV. - Reuters

No comments:

Post a Comment