Search This Blog

Thursday, July 15, 2010

4 pistol, 89 peluru

SHAH ALAM: “Kalau nak ingat anak, biarlah sebelum melakukan kesalahan. Bukan selepas melakukan jenayah dan mengganas,” kata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Asmabi Mohamad.
Hakim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan terhadap ahli geng penjenayah yang bersalah atas dua pertuduhan memiliki empat senjata api dan 89 peluru, enam tahun lalu.
Asmabi menjatuhkan hukuman itu terhadap Too Wah Lim, 49, yang kumpulannya aktif dalam kira-kira 20 rompakan bersenjata dan mengarahkan hukuman penjara berjalan mulai semalam.

Bekas pemilik restoran itu didapati bersalah atas pertuduhan pindaan pertama memiliki dua pistol semi-automatik Colt .38 Auto, Colt .48 Auto dua Revolver .38 Special Smith dan Wesson. Bapa kepada empat anak itu juga didapati bersalah atas tuduhan kedua iaitu memiliki 89 peluru hidup dan tiga kelongsong peluru.

Bagi tuduhan pertama, dia didakwa bersalah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan maksimum enam kali. Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) dan Akta Senjata Api 1960 (Akta 206) dan boleh dihukum mengikut akta sama. penjara tujuh tahun, denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Asmabi dalam penghakimannya berkata, mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman kerana tertuduh sangat berbahaya jika berdepan dengan masyarakat.

“Kesalahan ini serius. Bukan satu atau dua, tetapi ada 89 peluru dimiliki tertuduh yang digunakan dalam aktiviti merompak,” katanya.

Terdahulu ketika rayuan terhadap hukuman, peguam bela mewakili tertuduh, Richard Ho, berkata keluarga anak guamnya mengalami kesulitan hidup selepas Too meringkuk dalam penjara sejak Februari 2004.

Katanya, ini menyebabkan anak sulung tertuduh terpaksa mengambil alih peranan bapanya dalam mencari rezeki sekeluarga.

“Justeru, anak guam saya memohon hukuman penjara paling minimum yang bermula dari tarikh tangkap dan jika dikenakan sebatan, dia memohon pelaksanaannya dipercepatkan.

“Ini bagi membolehkan Too menyertai program dalam penjara seterusnya meraih pendapatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment