Search This Blog

Saturday, July 17, 2010

396 mangsa ribut dibantu





Noridah Ishak (duduk) dibantu beberapa saudaranya membersihkan rumahnya yang sudah tidak berbumbung akibat diterbangkan ribut di Kampung Seberang Alor, Kuala Perlis, kelmarin.


KANGAR 16 Julai - Kerajaan negeri akan membantu lebih 100 keluarga mangsa ribut di Kuala Perlis petang semalam, secara berperingkat-peringkat menerusi bantuan pemulihan mangsa bencana alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berkata, bantuan itu akan disalurkan kepada kumpulan sasar berdasarkan kelayakan sebagaimana rekod bancian yang dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan.
"Berdasarkan maklumat yang direkodkan sehingga pukul 11 malam, bilangan yang menjadi mangsa ribut ialah 101 keluarga melibatkan 396 orang mangsa.
"Mereka yang terlibat ialah dari Taman Seberang Jaya, Kampung Seberang Alor, Kampung Pulau Ketam, Taman Bukit Kubu, Kampung Padang Cina, Kampung Belakang Kilang dan Taman Kediaman Universiti Malaysia Perlis (Unimap)," ujarnya.
Sebahagian besar daripada mangsa kata beliau, bermalam di rumah jiran dan keluarga sementara empat keluarga lagi dengan 20 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai di sini.
Beliau berkata demikian kepada para pemberita ketika melawat pusat pemindahan sementara bersama Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Hal Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Tugas-Tugas Khas Perlis, Mansor Jusoh di SK Seberang Ramai di sini malam semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Perlis, Mat Hassan turut memberikan taklimat ringkas kepada Md. Isa berhubung ribut yang melanda kawasan berkenaan selama hampir sejam yang berlaku pada pukul 3.15 petang itu.
Md. Isa berkata, sehingga kini beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih merekodkan jumlah sebenar mangsa bencana itu untuk diberi bantuan yang merangkumi ganti rugi bagi pakaian sekolah.
Berdasarkan rekod yang dicatatkan oleh JKM sehingga pukul 12 malam semalam, ribut itu menyebabkan 146 rumah rosak melibatkan 65 keluarga di Taman Seberang Jaya, 26 keluarga di Kampung Seberang Alor, dua keluarga di Kampung Pulau Ketam dan masing-masing satu keluarga di Taman Bukit Kubu, Kampung Belakang Kilang dan Kampung Padang Cina.
Turut terlibat 47 rumah yang didiami 147 mahasiswa Unimap.

No comments:

Post a Comment