Search This Blog

Saturday, July 31, 2010

Laman sosial punca cerai



SHAH ALAM- Ketagihan melayari laman sosial kini berpotensi menjadi punca keretakan sesebuah institusi kekeluargaan. 

Pengerusi Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Mohamad Isa Abdul Ralip berkata, perkara ini berlaku seiring dengan kepesatan kemajuan teknologi maklumat dan kegilaan masyarakat sehingga lalai dan lupa peranan dalam keluarga. 

Menurutnya, kewujudan laman sosial membantu merapatkan hubungan luar termasuklah kehadiran ‘individu ketiga’ antara kedua pasangan suami isteri. 

:“Saya pernah mengendalikan sebuah kes di mana si isteri mengadu si suami terlalu leka melayan Facebook sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadapnya. Kes tersebut berakhir dengan penceraian. 

:“Tidak mustahil apabila melayari laman sosial itu, si suami akan bertemu dengan bekas teman wanita, manakala si isteri pula bertemu dengan bekas teman lelaki. Situasi kian parah apabila cinta lama berputik kembali,” katanya kepada :Sinar Harian:, semalam. 

:Sehubungan itu, melayari laman sosial perlu mempunyai had tertentu dan tidak terlalu leka sehingga tanggungjawab sebagai suami dan isteri terabai. 

Katanya, berdasarkan pemerhatian, penceraian juga boleh berlaku, antaranya, kerana tidak memahami pendidikan agama dan batas pergaulan sosial, suami tidak bertanggungjawab dalam memberikan nafkah, kehadiran orang ketiga dan hubungan intim yang hambar. 

“Sebelum berkahwin dan dalam tempoh perkahwinan, pasangan suami isteri perlu faham dengan jelas konsep perkahwinan dan ajaran agama Islam supaya hubungan harmoni sesebuah rumah tangga dapat diselamatkan, sekali gus mengelakkan risiko penceraian,” katanya. 

Beliau berkata, antara tempoh usia kerap berlaku penceraian ialah pasangan seawal usia 25 hingga 35 tahun iaitu dalam tempoh 10 tahun selepas berkahwin. 

“Tempoh 10 tahun ini dipanggil waktu ‘panas’ kerana dalam tempoh ini berbagai dugaan akan hadir dalam sesebuah rumah tangga. Selepas tempoh ini, kebanyakan risiko penceraian kerap berlaku dalam tempoh 15 hingga 20 tahun. Ia berlaku secara berperingkat-peringkat. 

“Bagi mengelak berlakunya perkara tidak diingini ini, dalam hubungan suami isteri, kedua-duanya perlu saling bertolak ansur dan memahami antara satu sama lain supaya setiap permasalahan dapat diselesaikan dengan cara baik,” katanya.

Dua beradik maut dirempuh kereta



TEMERLOH - Dua beradik perempuan dalam perjalanan ke perpustakaan desa untuk mengulangkaji pelajaran maut apabila motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta kira-kira 100 meter dari rumahnya di Kilometer 15 Jalan Temerloh Jerantut di sini, semalam. 

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 petang sebaik mangsa Nurhidayah Rumel, 14, dan adiknya, Siti Zaleha Rumel, 11, keluar dari simpang untuk ke perpustakaan desa kira-kira 500 meter dari rumah mangsa di kampung Seri Ketumbit Kerdau. 

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Asisten Superintendan Mohd Hamzah berkata, Nurhidayah pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau dan Siti Zaleha murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Paya Ara. 

Menurutnya, sebaik tiba di simpang itu, mereka dirempuh sebuah kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki dari arah Temerloh. 

“Pemandu kereta tidak sempat mengelak lalu merempuh motosikal mangsa,” katanya. 

Mohd berkata, akibat rempuhan itu, kedua mangsa tercampak ke tepi laluan bertentangan. Dua beradik tidak memakai topi keledar cedera parah di kepala dan muka meninggal dunia di tempat kejadian. 

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh. Pemandu kereta bagaimanapun selamat dan tidak cedera. 

Sehubungan itu, Mohd menasihati ibu bapa tidak membenarkan anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen walaupun dekat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua cawangan MCA Changkat Keruing mati dibunuh



LUMUT - Ketua Cawangan MCA Changkat Keruing ditemui mati, dipercayai dibunuh dalam perigi di sebuah ladang ternakan ayam di Changkat Keruing, Ayer Tawar dekat sini, hari ini.

Mayat Lim Ping Peng, 49, ditemui pada kira-kira pukul 6 pagi ini oleh anggota keluarga dan pasukan Rela yang mencarinya selepas dia tidak pulang ke rumah sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Mohd Jamil Osman berkata, Lim sebelum itu keluar dari rumah untuk ke ladang ternakan ayam miliknya di Changkat Keruing yang terletak tidak jauh dari rumahnya pada pukul 8 pagi semalam.

"Mangsa yang baru lima hari dilantik sebagai anggota Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bagaimanapun tidak pulang ke rumah seperti biasa sebelum ahli keluarga bertindak membuat laporan polis semalam.

"Selain melaporkan kejadian itu kepada polis, mereka (anggota keluarga mangsa) turut berusaha mengesan mangsa di ladang ternakan ayam itu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohd Jamil berkata, mayat Lim ditemui dalam keadaan kepala di bawah dan kaki ke atas dalam perigi yang mempunyai kedalaman lima meter itu, dan polis percaya lelaki itu dibunuh di tempat lain sebelum mayatnya dicampak ke dalam perigi itu.

Beliau berkata, dua pekerja ladang ternakan ayam itu yang merupakan rakyat Myanmar tidak dapat dikesan dan siasatan awal polis juga mendapati kereta pacuan empat roda milik Lim juga hilang.

Polis masih menyiasat motif kejadian dan sedang mengesan kedua-dua pekerja ladang ayam yang disyaki terlibat dalam kejadian itu, katanya.

Mayat Lim dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat.

Isteri mangsa Ling Mooi Kooi, 47, berkata kira-kira seminggu lepas, dua rakyat Myanmar datang berjumpa suaminya untuk meminjam wang sebanyak RM2,000 tetapi suaminya hanya bersetuju memberikan RM500 dan beliau tidak tahu sama ada wang itu telah diberikan atau tidak.

Beliau berkata, apabila suaminya tidak pulang selepas pukul 6 petang semalam dan cubaan untuk menghubunginya melalui telefon bimbit juga gagal, beliau meminta bantuan anggota keluarga dan pasukan Rela untuk mencari Lim.

"Mayat suami saya ditemui apabila seorang daripada kumpulan mencari ternampak kaki suami saya terkeluar sedikit daripada perigi itu," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ibu bunuh dua anak ke Hospital Bahagia



GEORGETOWN - Seorang ibu yang dituduh membunuh dua anaknya dengan menjerut leher menggunakan wayar seterika tiga tahun lalu, semalam diperintahkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak setelah laporan perubatan mendapati ketika kejadian tertuduh tidak waras. 

Rosniza Ibrahim, 30, dituduh membunuh anaknya, Muhamad Alif Hakimi Idris, 6 dan Muhamad Alif Hazimi, 2, di di rumah No. 7-2-16, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas,kira-kira jam 11 malam 18 Februari 2007. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. 

Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Mohd Zaki Mohd Yasin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Arki Zakri Abdul Kader gagal membuktikan kes prima facie terhadap Rosniza. 

Menurutnya, perbicaran kes itu mendapati tertuduh (Rosniza) menghidap penyakit kemurungan serius dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika melakukan perbuatan itu. 

“Tertuduh melakukan perbuatan jerut leher anak hingga mati tetapi mahkamah mendapati dia tidak bersalah atas alasan ketidakupayaan mental. 

“Tertuduh juga berada dalam keadaan kemurungan serius untuk tempoh 2000 hingga 2007 kerana masalah rumah tangga dan suami berhasrat berkahwin lain,” katanya. 

Mohd Zaki berkata Rosniza, yang juga sentiasa berada dalam keadaan tertekan, selalu mengurung diri, tidak keluar rumah, tidak tenteram, terasa rungsing, fikirannya tercelaru, hilang keyakinan terhadap Allah dan hilang keyakinan diri. 

Selain itu, laporan perubatan Pakar Perunding Forensik dan Psikiatri, Dr Rabiah Mohd Salleh dari Hospital Bahagia Ulu Kinta membuktikan bahawa Rosniza memang berada dalam kemurungan yang serius dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan daripada 2 Mac 2007 hingga 30 April 2007. 

Beliau mengesahkan daripada pemeriksaan ke atas Rosniza bahawa perhubungan antara dia dengan anaknya amat rapat. Akibat mengalami kemurungan serius dia bertindak sedemikian. 

“Tertuduh berada dalam keadaan tidak waras ketika melakukan perbuatan itu, tidak tahu dan tidak sedar bahawa perbuatannya adalah salah di sisi undang-undang,” katanya. 

Mohd Zaki mengeluarkan satu perintah mengikut Seksyen 348(1) Kanun Keseksaan untuk menempatkan Rosniza di hospital itu mengikut perkenan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. 

Rosniza diwakili peguam K Simon Murali.

Mansuh saman ekor




IPOH - Saman ekor perlu dimansuhkan kerana ia hanya memberi bebanan kepada rakyat, kata dua warga bandar raya, Jaswant Singh, 53, dan Lim Chong Tee, 64, yang tidak berpuas hati dengan isu saman berkenaan. 

Jaswant, seorang operator kenderaan dari sebuah syarikat di Negeri Sembilan, menyuarakan rasa kesalnya terhadap pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengeluarkan dua saman terhadapnya serta pihak majikan ketika sedang menukar tayar lorinya di lorong kecemasan lebuh raya. 

“Saya akui saya tidak meletakkan kon segi tiga amaran ketika berhenti, tetapi saya sangat kesal kerana saya disaman atas dua pertuduhan iaitu memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan dan tidak mempamerkan segi tiga kecemasan. 

“Kedua-duanya hanya satu pertuduhan sahaja. Selain itu, pihak majikan turut sama disaman berikutan kejadian berkenaan,” katanya. 

Pendapat Jaswant turut disokong Chong Tee yang mengalami kes kecurian kereta di sebuah pusat membeli belah terkemuka di sini, pada 6 Mei tahun lalu. 

Chong Tee yang bekerja sebagai jurujual berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut, namun sehingga ke hari ini, keretanya masih gagal ditemui. 

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila menerima saman, ketika mahu membuat semakan saman pada 20 Julai lalu, berikutan kesalahan yang dilakukan atas nombor kenderaan yang sama pada 4 Julai 2010 di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. 

“Ini menunjukkan bahawa kenderaan berkenan masih wujud dan masih digunakan pihak lain,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Urusetia Pusat Khidmat Dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, Bahagian Ipoh Barat, Mohd Rawi Abdullah, berkata, kedua-dua insiden berkenaan memerlukan penjelasan terperinci kerana ia dianggap menganiayai rakyat. 

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan mengkaji semula pemansuhan perkara berkenaan kerana sehingga ke hari ini sudah terlalu banyak aduan berhubung permasalahan yang timbul berkaitan isu saman tersebut. 

“Keadaan ini menyukarkan rakyat ketika mahu memperbaharui lesen atau cukai jalan termasuk faktor kenaikan harga barang pada ketika ini,” katanya.

Maut jatuh pangsapuri



GEORGETOWN- Seorang lelaki yang dipercayai pengedar pil khayal ‘mati katak’ apabila terjatuh dari tingkat empat pangsapuri yang disewanya dalam cubaan melarikan diri daripada kepungan polis di Tanjung Tokong malam kelmarin. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, lelaki berusia 32 tahun yang berasal dari Taman Putra, Ampang, Selangor itu ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah. 

“Hasil maklumat orang ramai, satu pemeriksaan oleh polis dari Bahagian Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) ke atas seorang lelaki berusia 29 tahun di tempat letak kereta membawa polis ke pangsapuri yang dipercayai disewa mangsa bersama lelaki yang ditahan itu. 

“Lelaki yang berasal dari Bahau, Negeri Sembilan yang bekerja sebagai penghantar barang itu membawa polis ke pangsapuri tempat tinggal mereka dan ketika berada di luar rumah itu, polis dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki berlumuran darah di bawah pangsapuri itu yang dipercayai cuba melarikan diri setelah menyedari rumahnya diserbu,” katanya. 

Menurutnya, ketika polis memeriksa mayat suspek, dia sudah meninggal dunia akibat kecederaan parah dan hasil pemeriksaan pada badan mangsa, polis menemui satu paket plastik lut sinar yang disyaki syabu, dua keping foil aluminium yang mengandungi dadah jenis Eramin 5 dan paket plastik lut sinar berisi pil ecstacy.

“Hasil pemeriksaan di rumah mangsa, polis menemui alat membuat pil, penukul getah, sealer, alat penimbang, alat mengira wang, bungkusan plastik kosong digunakan untuk membungkus dadah dan beberapa alat menghisap dadah.

“Turut ditemui beberapa unit telefon bimbit dan seorang lagi lelaki berusia 28 tahun yang berasal dari Subang Jaya, Selangor bekerja sebagai penjual baju,” katanya.

Kong Meng berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti tempoh sebenar aktiviti haram itu dijalankan namun polis mempercayai ia sudah beroperasi kira-kira dua bulan lalu dan kesemua barangan yang dirampas dianggarkan bernilai RM56,360.

“Turut ditahan seorang lagi rakan suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pemborong berasal dari Kajang, Selangor kira-kira jam 11 pagi semalam selepas dimaklumkan dia terperangkap dan mengalami kecederaan.

“Kesemua dadah yang dijumpai dipercayai untuk pengedaran dalam negeri dan siasatan lanjut masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti pembabitan kesemua suspek dalam sindiket pengedaran dadah terutama pil khayal. 

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mandatori,” katanya.

Mangsa pegawai JKM palsu




MASJID TANAH – Seorang wanita sanggup menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semata-mata untuk mencuri barang berharga di sebuah rumah milik seorang warga emas, di Kampung Londang, dekat sini. 

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi Selasa lalu, seorang warga emas, Maimunah Sihat, 86, menjadi mangsa apabila didatangi wanita terbabit yang menyamar sebagai pegawai JKM untuk menguruskan bantuan. 

Semasa kejadian Maimunah yang tinggal berseorangan di rumah sedang berkebun di halaman rumahnya sebelum didatangi wanita berusia lingkungan 30-an yang memakai tudung kepala, baju sejuk dan seluar jeans biru, sambil menaiki motosikal jenis Modenas Kriss. 

Maimunah berkata, wanita itu memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM dan memapahnya masuk ke rumah untuk melihat MyKad bagi tujuan bantuan. 

“Pada mulanya, saya memarahi wanita itu ketika dia memperkenalkan dirinya. Namun wanita itu tidak mengendahkan bebelan saya sebaliknya membawa wanita itu masuk ke rumah. 

“Ketika saya disoal jawab, saya seperti terpanggil untuk menurut arahan wanita berkenaan masuk ke bilik, sambil diekori wanita itu dari belakang tanpa disedari saya,” katanya. 

Maimunah berkata, dia sememangnya tidak mengesyaki apa-apa kerana perilaku wanita itu tidak meragukan sehingga wanita itu pulang.
“Masa saya berbual dengan dia, saya susah hendak menatap wajahnya kerana dia sentiasa memalingkan mukanya ke kiri dan ke kanan, mungkin kerana dia takut saya cam muka dia, sehinggalah sampailah dia balik," katanya.

Bagaimanapun, dia menyedari wanita itu menyamar sebagai pegawai JKM selepas mendapati peti kecil yang mempunyai barangan berharga di biliknya, hilang pada sebelah malam.

"Itu pun selepas anak buah saya datang kemudian saya tergerak untuk periksa dalam almari dan terkejut apabila melihat peti kecil sudah hilang," katanya.

Menurutnya, barangan yang hilang adalah seutas rantai leher, seutas rantai tangan, sepasang subang, tiga biji kerongsang dan sebentuk cincin serta barang kemas dibeli di Mekah yang dianggarkan kira-kira RM3,000.

Menurutnya, wanita berkenaan juga sempat mengambil gambar wajahnya sebagai syarat mendapatkan bantuan, serta berjanji akan datang semula selepas ini untuk urusan cop jari.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Suprintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya masih menyiasat kejadian itu.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan mengikut seksyen (170) kanun keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dengan memperdayakan golongan warga emas sebagai sasaran," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan warga emas yang tinggal sendirian supaya berwaspada dan berhati-hati jika didatangi seorang wanita tidak dikenali dan menghubungi pihak polis sekiranya terdapat keraguan.

Saman RM1.37 juta




SHAH ALAM - Sebuah syarikat kontraktor binaan, Resvil Holdings Sdn Bhd memfailkan saman menuntut ganti rugi RM1.37 juta terhadap anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang didakwa menamatkan kontrak melombong pasir seluas 10 hektar secara tidak sah. 

Pengerusi Eksekutif syarikat itu, Datuk Suhaime Saad hadir bersama peguam, Adnan Seman bagi memfailkan saman itu di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil, di sini, semalam. 

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa KSSB (defendan) menamatkan kontrak melombong pasir secara salah dan tidak sah kerana bersandarkan alasan plaintif melantik sebuah syarikat sebagai sub kontraktor bagi menjalankan kerja perlombongan. 

Kontrak melombong pasir yang didakwa itu ialah di atas hartanah Lot 6232, Mukim Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor bagi tempoh setahun dari tarikh perjanjian sub-kontrak ditandatangani serta pada kadar RM6 bagi setiap tan metrik pasir yang siap dicuci. 

Plaintif mendakwa KSSB sememangnya mengetahui kewujudan sub kontraktor itu, Yat Kee Crane Services sebagai sub kontraktor plaintif kerana kerja melombong pasir dijalankan syarikat pihak ketiga itu dengan kehadiran wakil KSSB pada setiap masa material berada di tapak lombong. 

Tambahan lagi menurut plaintif, pelantikan pihak ketiga sebagai sub kontraktor dicadangkan KSSB dan syarikat itu juga didakwa memiliki salinan surat tawaran antara plaintif dan pihak ketiga. 

Akibat penamatan kontrak itu, Resvil mendakwa mengalami kerugian. 

Resvil menuntut pembayaran Bon Perlaksanaan RM360,000, ganti rugi khas RM1.01 juta bagi kehilangan untung, ganti rugi am bagi kemungkiran kontrak, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah. 

Terdahulu, plaintif memperoleh kontrak melombong pasir di mukim itu melalui surat tawaran bertarikh 16 Disember 2008 selepas menandatangani tender pada 1 Januari 2008. 

Plaintif mendakwa mula menjalankan kerja-kerja kontrak melombong itu pada Disember 2008. 

Pada 28 September 2009, plaintif mendakwa menerima sesalinan notis daripada KSSB bertarikh 23 September 2009 berhubung penamatan kontrak itu atas alasan bahawa plaintif melantik pihak ketiga sebagai sub kontraktor bagi kontrak melombong pasir.

Dua remaja diberkas mencuri



TEMERLOH – Polis menahan dua remaja lelaki dipercayai terbabit dan bergiat aktif dengan satu sindiket curi sarang burung walit sekitar bandar Temerloh dan Mentakab sejak beberapa bulan lalu. 

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, kedua-dua remaja berusia 14 dan 16 tahun itu ditangkap ketika sedang leka mencuri sarang burung di sebuah premis di Mentakab beberapa hari lalu. 

Menurutnya, penjenayah terbabit berjaya ditangkap hasil kerjasama rondaan polis dan pengusaha yang memasang penggera dan kamera litar tertutup (CCTV) selepas menerima maklumat kegiataan curi sarang burung berkenaan yang berleluasa. 

“Mereka ditangkap polis dalam premis berkenaan selepas dikepung pengusaha dan orang ramai,” katanya sewaktu ditemui pada program High Profile Policing di bandar Baru Temerloh di sini kelmarin. 

Ahmad Fadzillah berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti pembeli sarang burung curi yang dipercayai satu sindiket dari luar daerah. 

“Polis percaya perbuatan mencuri sarang burung walit ini didalangi satu sindiket kerana pasarannya yang mahal dan kini semakin mendapat sambutan daripada orang ramai. 

“Setakat ini, polis hanya menerima satu aduan sahaja mengenai kes kecurian sarang burung itu tetapi berdasarkan maklumat telah banyak kes kecurian berlaku tetapi pengusaha berkenaan tidak membuat laporan polis,” kata Ahmad Fadzillah. 

Sehubungan itu Ahmad Fadzillah menggesa pengusaha burung walit supaya memasang sistem keselamatan seperti CC TV bagi membendung kes kecurian sarang burung berkenaan. 

Menurutnya, pengusaha burung walit perlu mengeluarkan perbelanjaan memasang sistem keselamatan terutamanya CCTVmemandangkan ternakan burung memperoleh keuntungan yang besar dan kini menjadi sasaran pencuri. 

Beliau berkata, kedua-dua remaja itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan telah didakwa di mahkamah. 

Ahmad Fadzillah memberitahu, sarang burung itu mempunyai pasaran yang tinggi iaitu antara RM4,000 hingga RM5,000 bagi setiap sekilogram sarang yang belum diproses, manakala yang sudah diproses mencecah antara RM6,000 hingga RM7,000. 

“Ternakan sarang burung walit sudah lama bertapak di bandar Mentakab dan saya diberitahu sindiket pencuri berkenaan sudah mahir selok-belok bangunan ternakan dan mereka tahu masa di bangunan mana sarang burung berkenaan sudah matang dan boleh dicuri,” katanya.

Rumah ibu tunggal jadi abu



TUMPAT - Seorang anak terselamat dari rentung apabila berlari keluar menyelamatkan diri sebaik terjaga dari tidur dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Bendang Pak Yong, dekat sini, pagi semalam. 

Dalam kejadian kebakaran jam 9 pagi itu, sebuah rumah ibu tunggal, Mek Dollah, 61, hangus. Turut terbakar ialah sebuah motosikal, barang kemas dan peralatan rumah. 

Mangsa Sabariha Ibrahim, 23, nyaris rentung kerana ketika api marak dia sedang tidur bersendirian di dalam rumah tersebut kerana deman manakala ibunya, Mek keluar ke kuliah agama di surau berdekatan dan adik-adiknya bermain di halaman rumah. 

“Saya tersedar dari tidur apabila terdengar sayup-sayup suara orang menyebut api..api�. Sepantas kilat saya bangkit keluar menyelamatkan diri dan terus mencari adik-beradik yang lain di halaman rumah,” katanya. 

Sementara Mek yang masih terkejut dengan musibah yang menimpanya berkata, dia reda dengan apa yang berlaku walau pun ketika kejadian dia tiada di rumah dan bergegas pulang kerana khuatir berlaku sesuatu yang buruk ke atas anak-anaknya. 

“Baru setengah jam saya tinggalkan rumah ini untuk mendengar kuliah agama di madrasah berdekatan, tiba-tiba satu berita buruk diterima oleh saya. 

“Alhamdulillah, anak-anak saya terselamat dan cukup terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan harta benda di dalam rumah tersebut,” kata Mek yang tinggal bersama lima anak dan seorang cucu di rumah tersebut. 

Seorang saksi yang merupakan jirannya, Ibrahim Abdullah, 62, berkata, ketika kejadian dia sedang bermain dengan cucunya di tangga rumah dan terkejut apabila mendengar satu letupan sebelum diikuti dengan percikan api di rumah Mek. 

“Ia berlaku dengan pantas sekali, selepas percikan api terdengar pula satu letupan di rumah Mek dan tidak sampai 10 minit api merebak dengan cepat. 

“Saya segera berlari keluar untuk menyelamatkan diri sebelum menjerit meminta tolong,” katanya yang turut memaklumkan jiran dan saudara mara turut membantu memadamkan kebakaran. 

Sementara itu, Ketua Operasi dan Menyelamat dari Balai Bomba Pengkalan Kubor, Ahmad Mazdan Jusoh berkata, lapan anggota ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan jam 9.38 pagi. 

“Kami terpaksa guna air tali air berdekatan bagi kawal kebakaran dari terus merebak. Kira-kira jam 10.15 pagi api dapat dikawal,” katanya.

Angkara merenung lelaki cedera teruk dipukul




KUALA LUMPUR – Gara-gara salah faham dan tidak berpuas hati kerana dituduh merenung sekumpulan individu, seorang lelaki dibelasah teruk sehingga cedera parah dalam kejadian di Setapak, Jumaat lalu. 

Lee Kum Mok, 23, mendakwa dipukul enam lelaki bermotosikal dengan topi keledar tanpa mengetahui kesalahan sebenarnya. 

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa baru saja selesai menikmati makan tengah hari bersama empat rakannya di sebuah restoran di Setapak. 

“Ketika di restoran itu, sekumpulan lelaki datang ke meja kami kerana tidak puas hati mendakwa saya merenung mereka namun saya menafikannya,” katanya di Wisma MCA di sini, semalam. 

Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang menunggang motosikal, Kum Mok menyedari dia diekori kumpulan berkenaan menggunakan tiga motosikal.

Pasangan ganas ditahan polis



PANAMA CITY - Pasangan warganegara Amerika Syarikat (AS) diekstradisi dari Nicaragua ke Panama kerana didakwa membunuh dua warganegara AS dan mungkin terlibat dalam kes kehilangan lima individu lain, kelmarin. 

Pihak berkuasa mengenal pasti identiti suspek sebagai William Cortez dan isterinya, Jane yang disenaraikan dalam laman sesawang polis sebagai penjenayah paling dikehendaki di AS kerana terlibat kes penipuan di North Carolina pada 2005. 

Mangsa yang dibunuh dikenali sebagai Cheryl Lynn Hughes, 53, penduduk asal di St Louis, Missouri sejak 10 tahun lalu dan Bo Icelar, pemilik sebuah galeri di Santa Fe, New Mexico. 

Hughes dilaporkan hilang pada Mac lalu, sejurus sebelum Cortez mengambil alih pengurusan hotel milik wanita itu.

Wanita mengaku bunuh 8 bayi



VILLERS-AU-TERTRE - Wanita Perancis yang mengaku membunuh serta menanam dan menyembunyikan mayat lapan bayi sejak sepuluh tahun lalu akan dibicarakan atas tuduhan membunuh. 

Dominique Cottrez, 46, mengaku melahirkan kesemua bayi itu di rumah tanpa bantuan sesiapa sebelum memasukkan mereka ke dalam beg plastik. 

Selepas bayi itu meninggal dunia, wanita itu menanam dua mayat di perkarangan rumah ibunya dan enam lagi disembunyikan di dalam garaj rumahnya. 

"Wanita itu memberi alasan dia ada pengalaman buruk semasa melahirkan anak sulung lebih 20 tahun lalu dan tidak mahu berjumpa doktor selepas itu," kata pendakwa raya, Eric Vaillant, semalam. 

Dominique dan suaminya, Pierre-Marie, ditahan pada Rabu berikutan penemuan dua rangka mayat di dalam plastik di perkarangan sebuah rumah di Villers-au-Tertre. 

Pierre-Marie dibebaskan selepas disiasat kerana dia mengaku langsung tidak tahu isterinya mengandungkan, melahirkan, membunuh serta menanam dan menyembunyikan mayat bayi-bayi berkenaan. 

Bedah siasat sedang dilakukan ke atas kesemua mayat untuk mengesahkan punca kematian.

Isteri Raul sokong suami diusir balik



JAKARTA - Isteri ahli perniagaan Raul Lemos dari Timor Leste, Sechah Salem Sagram menyambut baik desakan sebuah badan bebas tempatan yang mahu pihak berkuasa imigresen Indonesia menghantar pulang suaminya balik ke Timor Leste kerana bercium dengan penyanyi Krisdayanti di sebuah restoran, lapor sebuah akhbar semalam.
Sechah yang turut dikenali sebagai Ata berkata, desakan pertubuhan yang dikenali sebagai Pemantau Polis Indonesia itu yang mahu Raul diusir adalah wajar kerana suaminya bersikap tidak bermoral apabila mencium kekasihnya di tempat awam.
Adegan yang dianggap mempunyai unsur-unsur pornografi itu dilakukan di hadapan sekumpulan petugas media yang membuat liputan semasa sidang akhbar penyanyi itu diadakan di sebuah restoran mewah pada 22 Julai lalu.
"Ya, memang wajar (suaminya diusir) kerana ia (perbuatan mencium itu) dibuat dengan sengaja walaupun dia (Raul) mendakwa perbuatan tersebut tidak disengajakan," katanya dengan nada kesal ketika ditemui di ibu pejabat polis Metro Jaya di sini semalam. - Agensi

Bunuh: Suami isteri dibebas




KHOHARUDDIN bersama Sabariah (kiri) disambut gembira oleh anaknya, Luqman dan isteri keduanya, Che Sham di Mahkamah Tinggi Ipoh semalam.


IPOH - Sepasang suami isteri dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan membunuh seorang lelaki yang sebelum ini didakwa sebagai 'kekasih gelap' kepada si isteri dalam kejadian tujuh tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Dr. Hassan Ab. Rahman memerintahkan Mohd. Khoharuddin Ismail, 48, dan isterinya, Siti Sabariah Ahamad, 44, dibebaskan daripada tuduhan membunuh Mohd. Yusof Ismail, 32, setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Keputusan itu dibuat setelah beliau mendapati keterangan ikut keadaan dan keterangan saksi utama Nordin Yusof, 54, yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan bahawa si mati telah dibunuh oleh kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh yang berasal dari Kulim, Kedah didakwa membunuh Mohd. Yusof di Kilometer 20, Jalan Lepang Nenering, Kampung Lalang, Gerik dekat sini pada pukul 4 pagi 1 Februari 2003.
Mohd. Yusof yang dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan Siti Sabariah, isteri pertama tertuduh, ditemui dalam keadaan tenat dengan hampir 70 peratus badannya terbakar oleh penduduk kampung di tepi jalan.
Bagaimanapun, lelaki itu mati selepas 10 hari menerima rawatan di Hospital Besar Alor Setar.
Mohd. Khoharuddin merupakan Inspektor Kesihatan Pejabat Kesihatan Kulim manakala Siti Sabariah merupakan setiausaha sebuah syarikat pembinaan di Kulim.
Pasangan itu dituduh di bawah Seksyen 302 (a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, keputusan pembebasan Mohd. Khoharuddin dan Siti Sabariah disambut penuh kesyukuran oleh sanak keluarga mereka tersebut termasuk anak bongsu pasangan itu, Luqman Haqeem,10, dan isteri kedua tertuduh pertama, Che Sham Ishak, 46.
"Syukur ini rezeki bulan Syaaban, bulan Allah," kata Mohd. Khoharuddin.

Bangkai buaya gemparkan penduduk Sri Aman



SRI AMAN 30 Julai - Bau busuk daripada bangkai seekor buaya katak yang dihanyutkan arus sungai di bawah jeti Dermaga Perdagangan Sungai Batang Lupar di sini menggemparkan penduduk bandar ini pagi kelmarin.
Ini kerana, bangkai buaya dengan ukuran panjang kira-kira 3 dan 0.4 meter lebar itu telah menimbulkan bau yang kurang menyenangkan kepada pengunjung yang hadir ke kawasan jeti berkenaan.
Menurut sumber, kehadiran bangkai buaya di jeti berkenaan hanya disedari sewal pukul 7 pagi.
Ujarnya, faktor pasang surut sungai telah membawa bangkai buaya berkenaan ke bawah jeti berkenaan.
Tambahnya, apa yang yang membimbangkan ialah bau daripada buaya itu akan mendatangkan perasaan kurang senang kepada orang ramai yang berkunjung ke gerai di jeti berkenaan pada sebelah petang.
Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan melaporkan penemuan bangkai buaya berkenaan oleh seorang petani di Engkilili di sungai berdekatan kawasan kebunnya kelmarin.
Difahamkan, buaya itu dipercayai mati kira-kira lima hari lepas dari kawasan hulu Sungai Batang Lupar sebelum dihanyutkan akibat faktor pasang surut Sungai Batang Lupar.
Buaya berkenaan juga dipercayai pernah menyerang seorang penduduk di Engkilili ketika melakukan urusan perikanan di sungai berkenaan namun berjaya menyelamat diri dengan berpaut pada tunggul pokok di sungai terbabit.

Isteri maut kereta dinaiki terbabas



KUANTAN 30 Julai - Seorang wanita terbunuh apabila kereta yang dipandu suaminya terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di Kuala Lipis, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang, mangsa, Halimah Hamat, 57, bersama suami dan anak saudaranya yang menaiki kereta jenis Proton Pesona dalam perjalanan menghala ke Seremban, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Daerah Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa yang bekerja sebagai kakitangan am di sebuah sekolah di Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Menurutnya, kejadian berlaku di Kilometer 81, Jalan Kuala Lipis-Merapoh apabila mangsa bersama ahli keluarganya mahu menziarahi saudara mereka di negeri itu.
"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu suami mangsa gagal dikawal sebelum terbabas ke kanan dan merempuh besi penghadang jalan.
"Berikutan kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera teruk di kepala dan dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Tambah Abdul Razak, suami mangsa, Che Yusuf Che Hamid, 54, hanya cedera ringan manakala anak saudaranya, Muhamad Nuraiman Azahar yang berusia 7 tahun tidak mengalami kecederaan.

Aktiviti edar dadah lumpuh



BUKIT MERTAJAM 30 Julai – Polis menahan enam lelaki dipercayai terlibat dalam aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dalam satu serbuan di sebuah rumah di Sungai Semambu semalam.
Ketua Polis Daerah SPT ACP Azman Abd Lah berkata kesemua mereka yang berumur antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam serbuan pada kira-kira pukul 8 pagi di rumah yang dimiliki salah seorang suspek.
Beliau berkata hasil pemeriksaan, polis menemui 33 paket kecil dadah jenis heroin, satu paket kecil ice, selain 120 pil khayal yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM7,000.
“Selain dadah, turut dijumpai adalah peralatan untuk memproses dadah seperti pita dan alat penimbang untuk membungkus dadah di dalam rumah itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Katanya antara yang dirampas dalam serbuan itu ialah tiga komputer riba serta pengecas, satu kamera video, serta pemutar skru, dan menurutnya polis turut menemui sebatang pokok ganja di belakang rumah salah seorang suspek.
“Siasatan juga mendapati kumpulan ini terlibat dalam kes curi motosikal dan ragut di sekitar daerah ini. Kami turut rampas satu pistol mainan dan dua motosikal yang nombor enjin dan chasisnya didapati dikaburkan,” katanya.
Azman berkata kesemua mereka kini direman bagi membantu siasatan. – BERNAMA

Kakak juara tinju diburu polis



Gambar fail merakamkan Manny Pacquiao (kanan) bergambar bersama adik lelaki Ruel (kiri) dan kakak Isidra Paglinawan di General Santos City. - AFP


GENERAL SANTOS, Filipina 30 Julai - Polis sedang memburu kakak kepada juara tinju batamweight, Manny Pacquiao kerana disyaki terlibat menjalankan kegiatan perjudian haram, selepas 25 orang ditahan dalam satu serbuan di bandar ini.
Skuad polis pencegegah maksiat menahan suspek dan merampas bukti, termasuk peralatan perjudian dan wang tunai dalam serbuan yang dijalankan di rumah Isidra Paglinawan, kakak Pacquiao, kata Ketua Inspektor, Leo Sua.
Pacquiao, juara batamweight dunia tujuh kali yang memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya negara ini pada Mei lalu, turut berada di rumah itu ketika polis menggeledah rumah tersebut, namun berjanji tidak akan campur tangan dalam siasatan polis.
Serbuan itu dilakukan sebagai sebahagian tindakan tegas polis terhadap sebuah permainan nombor ekor yang dikenali di sini sebagai "masiao", namun kakaknya, 34, tiada di rumah ketika serbuan itu, kata Sua kepada wartawan.
Katanya, mereka yang ditahan adalah penerima pertaruhan dalam perjudian tersebut.
Polis turut merampas wang pertaruhan berjumlah 33,000 pesos (RM2,307), kata Sua yang mengetuai serbuan tersebut.
Beliau berkata, polis akan meminta pendakwa negeri untuk memfailkan tuduhan terhadap Paglinawan dan 25 suspek yang lain.
Pacquiao memberitahu wartawan hari ini, dia sedang menghadiri majlis sambutan hari jadi bapanya ketika polis menyerbu rumah kakaknya yang terletak bersebelahan rumahnya.
Ujarnya, dia akan meminta polis menyiasat samada kakaknya memang pengendali "masiao".
"Saya tidak akan masuk campur. Biar undang-undang memainkan peranannya," kata raja tinju itu. - AFP

Pekerja industri pakaian Bangladesh merusuh



POLIS Bangladesh mengguna belantan bagi menyuraikan beribu-ribu pekerja industri pakaian yang merusuh dalam tunjuk perasaan setelah kerajaan negara itu menolak tuntutan kenaikan gaji golongan pekerja industri itu di tengah Dhaka, semalam. - AP


DHAKA 30 Julai - Beribu-ribu pekerja industri pakaian Bangladesh menyekat laluan lebuh raya, menyerang kilang dan merampas barangan di kedai-kedai di ibu negara ini, hari ini selepas kerajaan menolak kenaikan gaji mereka.
Dianggarkan 5,000 pekerja pakaian untuk jenama Barat menyekat laluan utama di bandar ini, Tejgoan dan menyerang berpuluh-puluh kilang pakaian berhampiran dengan batu, menurut sub Inspektor polis, Abdul Quddul kepada AFP.
Sekurang-kurangnya lebih 5,000 pekerja merusuh di kawasan kedai-kedai mewah di Dhaka, kawasan yang menempatkan pejabat-pejabat kedutaan dan kumpulan bantuan asing.
Selasa lalu, kerajaan mengumumkan akan menaikan gaji minimum pekerja industri pakaian daripada 1,662 taka (RM78), gaji industri terendah di dunia, kepada 3,000 taka (RM137).
Beberapa kesatuan menuntut kenaikan gaji minimum sebanyak 5,000 taka (RM229).
Satu lagi tunjuk perasaan turut berlaku di bandar Mohakhali di mana beribu-ribu pekerja menyekat laluan di jejambat utama. - AFP

Cuaca panas, Rusia dilanda kebakaran hutan



MOSCOW 30 Julai - Setakat ini, 29 orang dilaporkan maut dalam kebakaran hutan di bahagian tengah negara ini yang berpunca daripada cuaca panas melampau.
Dalam kejadian itu beratus-ratus rumah kayu di beberapa buah perkampungan dilaporkan musnah dijilat api.
Tiga daripada mereka yang terbunuh dalam kebakaran di kawasan Voronezh, tengah negara ini, sejak semalam adalah anggota bomba sementara 21 dimasukkan ke hospital, kata perkhidmatan kecemasan, hari ini.
Perdana Menteri, Vladimir Putin terbang ke kawasan Nizhny Novgorod dan bertemu dengan penduduk kampung yang mengalami kemusnahan apabila lebih daripada 300 buah rumah di kampung itu dijilat api.
Putin menjanjikan pampasan berjumlah 200,000 rubles (RM21,055) untuk setiap mangsa, lapor agensi berita ITAR-TASS, selepas kesemua 341 rumah di kampung Verkhnyaya Vereya musnah terbakar dan menyebabkan penduduk kehilangan tempat tinggal. - AFP

Gerakan cari kotak hitam



Anggota tentera Pakistan mengangkat serpihan pesawat Airbus A321 milik syarikat penerbangan swasta negara itu yang terhempas di kawasan tanah tinggi dekat Islamabad kelmarin mengakibatkan kesemua 152 orang penumpangnya terbunuh. - AP


ISLAMABAD 30 Julai - Pasukan penyiasat hari ini meneruskan gerakan mencari kotak hitam sebuah pesawat penumpang Pakistan yang terhempas dekat ibu negara ini yang menyebabkan kesemua 152 orang di dalamnya terkorban.
Operasi mencari mayat dihentikan setelah semua mayat ditemui dan kebanyakannya diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing untuk dikebumikan, kata polis.
Jet penumpang Airbus milik syarikat penerbangan Airblue itu terhempas lalu terbakar di kawasan hutan Bukit Margalla berhampiran Islamabad kelmarin, ketika cuba mendarat dalam hujan lebat selepas penerbangan dari Karachi.
"Kami sudah membawa keluar semua mayat dan cebisan mayat mangsa. Kini fokus kami tertumpu kepada siasatan dan kami sedang mencari sebarang petunjuk yang dapat membantu kami," kata pegawai kanan polis Islamabad, Bani Amin.
Hujan monsun menjejaskan gerakan mencari dengan memberi tumpuan kepada kotak hitam yang boleh memberi maklumat penting mengenai punca nahas pesawat Airbus 321 berusia 10 tahun yang dipandu seorang juruterbang berpengalaman. - AFP

Korban banjir Pakistan lebih 400



PESHAWAR 30 Julai – Angka kematian ketika banjir di Pakistan masuk hari ketiga kini mencecah lebih 400 orang hari ini ketika air sungai melimpahi tebing, perkampungan ditenggelami air dan berlaku kejadian tanah runtuh di banyak tempat.
Pertambahan jumlah korban akibat hujan monsun itu menunjukkan kelemahan infrastruktur Pakistan di mana petugas penyelamat yang tidak cukup peralatan berhempas pulas untuk sampai ke kawasan pedalaman.
Wilayah barat laut merupakan kawasan paling teruk terjejas dan Menteri Penerangan, Mian Iftikhar Hussain menyifatkan ia sebagai banjir terburuk sejak 1929.
Lebuh raya yang menghubungkan Peshawar dengan Islamabad juga ditutup selepas beberapa jambatan roboh, kata anggota perkhidmatan penyelamat Yayasan Edhi, Mujahid Khan.
Di wilayah Kashmir di bahagian Pakistan, sekurang-kurangnya 22 disahkan maut semalam akibat banjir.
Angka korban dijangka meningkat kerana ramai mangsa masih hilang.
Di Lembah Swat, penduduk terpaksa mengharungi air di paras lutut setelah jalan-jalan raya di lembah itu digenangi air.
Sebahagian binaan baru sebuah empangan di daerah Charsadda juga runtuh.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima laporan bahawa sebanyak 5,000 buah rumah ditenggelami air dan kira-kira 400,000 penduduk yang lain terperangkap di beberapa perkampungan di bahagian barat laut negara ini.
“Operasi menyelamat menggunakan helikopter tidak dapat dijalankan kerana cuaca buruk dan hanya ada 48 buah bot penyelamat boleh digunakan,” kata Mian. – AP

Feri karam 140 dipercayai maut



KINSHASA 30 Julai – Sebuah feri karam di Republik Demokratik Congo menyebabkan sekurang-kurangnya 140 mati lemas selepas feri itu didakwa membawa terlalu ramai penumpang.
Feri itu dilaporkan karam pada Rabu lalu di Sungai Kasai, pecahan daripada Sungai Congo di wilayah Bandundu, barat negara ini, setelah melanggar beting pasir, kata pegawai, semalam.
Seorang pegawai tempatan di pejabat gabenor Bandundu berkata, sekurang-kurangnya 140 terbunuh, manakala Menteri Komunikasi, Lamber Mende berkata, seramai 80 orang maut, sementara 76 lagi selamat.
Menurutnya, terdapat 180 penumpang berdaftar berada di atas feri itu, dan beberapa orang lagi menaiki feri itu secara rahsia.
Satu lagi sumber tempatan berkata, hanya dua kanak-kanak terselamat dalam tragedi tersebut.
Feri itu membawa bilangan penumpang dan barangan yang tidak diketahui jumlahnya dari Mushie, kira-kira 30 kilometer dari Bandundu, bandar utama wilayah itu.
Kemalangan berlaku apabila ia terlanggar beting pasir di Mangutuka, pinggir Bandundu, kata Mendeke lagi.
Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menstabilkan Congo (MONUSCO) dan Pasukan Palang Merah tidak mempunyai maklumat mengenai nahas itu. – AFP

Ibu jerut dua anak dengan wayar seterika bebas



PULAU PINANG 30 Julai - Seorang suri rumah dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah didapati tidak bersalah atas tuduhan menjerut leher dua anak lelakinya sehingga mati kerana berada dalam keadaan tidak sedar dan menghidap penyakit kemurungan serius ketika melakukan perbuatan itu, tiga tahun lalu.
Rosniza Ibrahim, 32, dari Kuala Kurau, Perak bagaimanapun diperintahkan oleh Hakim Datuk Mohd. Zaki Mohd. Yasin menjalani rawatan mental di Hospital Bahagia, Hulu Kinta, Perak selama yang diperkenankan oleh Yang Dipertuan Negeri Pulau Pinang.
Hakim Mohd. Zaki dalam penghakimannya memutuskan demikian setelah berpuas hati bahawa tertuduh tidak menyedari perbuatannya itu disebabkan keadaannya yang tidak waras dan tidak mengetahui dia telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang.
''Memang jika dilihat secara keseluruhan, tidak dapat dinafikan tertuduh ialah orang yang telah menjerut kedua-dua anaknya menggunakan wayar seterika sehingga mati.
''Namun, keadaan rumahtangga yang bergolak sejak 2000 sehingga 2007 akibat keinginan suaminya berkahwin lain telah memberi tekanan kepadanya sehingga dia sentiasa mengurung diri, keliru, tidak keluar, tidak bercakap dengan jiran, hilang keyakinan diri dan sehingga hilang keyakinan terhadap Allah SWT.
''Tekanan yang terlalu kuat ini menyebabkan dia juga sanggup memukul dirinya dengan getah paip yang tidak mungkin sanggup dibuat oleh mereka yang sedar,'' kata Hakim Mohd. Zaki.
Menurutnya, mahkamah turut menerima keterangan Pakar Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang memberitahu bahawa Rosniza telah mengalami tekanan perasaan yang kronik dengan fasa kemurungan serius.
Beliau berkata, pakar tersebut yang merawat Rosniza selama dua bulan pada 2007 juga menjelaskan bahawa mereka yang mengalami penyakit ini berkecenderungan untuk membunuh diri sendiri dan orang lain.
''Di samping itu, mahkamah mengambil kira keterangan suami Rosniza, Idris Saidin yang mengesahkan isterinya itu seorang yang penyayang, tidak pernah menyeksa atau mencederakan anaknya sebelum itu serta selalu menolong menjaga anak-anak jiran.
''Begitu juga tindakan tertuduh yang tidak menyembunyikan atau cuba melupuskan senjata yang digunakan untuk membunuh anak-anaknya, malah dia sendiri memberikan barang-barang itu kepada polis. Semua keterangan ini memihak kepada tertuduh,'' katanya.
Rosniza yang berbaju coklat dan seluar sukan biru gelap serta bertudung hitam tenang pada awalnya di kandang tertuduh sebelum dilihat mengurut dada sambil menangis serta memeluk anggota polis wanita yang berada di sebelahnya sebaik sahaja keputusan itu selesai dibacakan.
Suasana pilu turut menyelubungi keadaan mahkamah apabila beberapa ahli keluarganya yang berada di galeri awam dilihat berlari dan memeluk Rosniza sambil menangis.
Mengikut pertuduhan, Rosniza didakwa membunuh Muhamad Alif Hakimi, 6, dengan cara menjerut leher anak sulungnya itu sehingga mati menggunakan wayar seterika kira-kira pukul 11 malam, 18 Februari 2007 di rumah mereka di No. 7-2-16, Taman Indah, Lebuh Batu Maung 8, Bayan Lepas dekat sini.
Tertuduh yang diwakili peguam bela, K. Simon Murali turut didakwa membunuh anak bongsunya, Muhamad Alif Hazimi, 2, kira-kira 15 minit kemudian dengan cara yang sama di rumah tersebut.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Arik Zakri Abdul Kadir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, ibu kepada dua beradik malang itu dikatakan mengalami tekanan perasaan kerana mengesyaki suaminya menjalin hubungan dengan wanita lain.
Sebelum kejadian, tertuduh dikatakan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada suaminya sambil mengugut hendak membunuh dua anak mereka jika suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori itu tidak pulang ke rumah sebelum pukul 11.30 malam.
Bagaimanapun apabila SMS itu tidak berbalas, kemarahan isteri semakin tidak terkawal lalu menjerut leher kedua-dua anaknya sehingga mati.
Kejadian itu cuma disedari oleh seorang jiran keesokan harinya setelah wanita terbabit memberitahu yang dia telah membunuh kedua-dua anaknya.

Pengalaman cemas ibu muda, bayi 55 hari diacu pisau



KUALA TERENGGANU 30 Julai - Seorang ibu muda hanya mampu melihat anaknya berusia 55 hari diacu dengan sebilah pisau oleh seorang lelaki yang merompak rumahnya di Taman Desa Baru, Tok Jiring di sini semalam.
Kejadian mencemaskan itu berlaku kira-kira pukul 1.30 petang ketika wanita tersebut yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai kakitangan sebuah institusi pengajian tinggi keluar ke ampaian di luar rumahnya bagi mengambil baju.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan K. Manoharan berkata, penjenayah itu dipercayai masuk ke rumah berkenaan ketika wanita berkenaan masih berada di ampaian.
"Sebaik sahaja wanita itu masuk ke dalam rumah, dia terkejut apabila mendapati seorang lelaki berada dalam rumahnya sambil mendukung dan mengacu pisau di leher bayinya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar penutup penuh itu bertubuh kurus, tinggi dan berkulit gelap mengarahkan mangsa menyerahkan barang berharga kepadanya.
"Wanita itu tanpa berfikir panjang mengikut arahan itu dan memberikan dua utas gelang emas bernilai RM5,000 kepada suspek.
"Suspek yang tidak berpuas hati lalu menolak wanita itu sebelum menyelongkar almari dalam salah sebuah bilik rumah tersebut," katanya.
Manoharan berkata, suspek kemudian mencampakkan bayi itu di atas katil dan melarikan diri selepas mendengar bunyi hon dari arah depan rumah itu.
Beliau memberitahu, bayi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
"Polis kini sedang mengesan suspek dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata," katanya.

Budak 5 tahun maut terjatuh dari meja



TELOK KEMANG 30 Julai - Akibat dibiarkan berseorangan di dalam bilik, seorang budak perempuan maut selepas dipercayai terjatuh dari meja di rumahnya di Taman Springhill dekat Lukut di sini malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.40 malam ketika Long Sok Xian, 5, dikatakan berada dalam biliknya seorang diri sebelum dia dikatakan terjatuh dari meja setinggi hampir satu meter.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Baljeet Singh (gambar) memberitahu, mangsa yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik itu tiba-tiba menjerit kesakitan membuatkan bapanya bergegas ke bilik anaknya untuk melihat apa yang berlaku.
"Selepas menyedari anaknya terjatuh, bapa mangsa segera menghantarnya ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban untuk mendapatkan rawatan.
"Bagaimanapun, bapa mangsa dimaklumkan oleh pihak hospital anaknya itu meninggal dunia pukul 9.45 malam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di sini hari ini.
Tambah Baljeet, berikutan kejadian itu, bapa mangsa yang berusia 33 tahun dan bekerja sebagai mekanik membuat laporan di IPD Port Dickson kira-kira pukul 10.25 malam.
Ujarnya, berdasarkan laporan bedah siasat yang dikemukakan oleh pihak hospital, kecederaan yang dialami oleh mangsa adalah konsisten iaitu pendarahan dalam otak akibat objek tumpul.
"Kita akan mendapatkan maklumat daripada semua pihak termasuk keterangan ahli keluarga dan jiran mangsa bagi membantu siasatan.
"Sehingga kini, kita belum mendapat sebarang maklumat lanjut namun polis percaya maklumat berkenaan akan diperoleh," katanya.
Tambahnya, siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu, suasana suram menyelubungi bilik mayat HTJ di mana beberapa ahli keluarga mangsa kelihatan menunggu mayat dalam keadaan sedih kerana tidak menyangka kejadian itu.
Mayat kanak-kanak itu dituntut oleh keluarganya pada pukul 3.15 petang.
Salah seorang ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, mayat Sok Xian dibawa ke Pusat Pembakaran Mayat Sendayan untuk urusan pembakaran petang ini.

Anak angkat turut jadi mangsa





KUALA LUMPUR 30 Julai - Pemandu van yang ditahan kerana merogol seorang kanak-kanak 10 tahun di Jalan Othman, Petaling Jaya pada Isnin lalu sememangnya gila seks.
Dia dipercayai pernah merogol anak angkat perempuannya beberapa kali sebelum ini. Mangsa yang berusia 9 tahun merupakan salah seorang daripada dua kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa keganasan seksual lelaki berusia 51 tahun itu.
Seorang lagi mangsa berusia 11 tahun.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Arjunaidi, pihaknya kini menyambung reman suspek sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.
Kata beliau, perbuatan terkutuk suspek itu terbongkar hasil soal siasat yang dijalankan pihak polis.
"Untuk itu, kita memerlukan masa untuk melengkapkan siasatan kes tersebut dan menyiasat sejak bila suspek melakukan perbuatan terkutuk itu.
"Suspek berkemungkinan membawa mangsa ke satu kawasan sebelum merogol mereka selain mengugut supaya tidak memberitahu kejadian itu kepada sesiapa," katanya di sini hari ini.
Semalam, Arjunaidi memaklumkan suspek mengaku pernah merogol dua mangsa lain sebelum ditahan selepas merogol mangsa terakhir yang menaiki vannya di Petaling Jaya.
Pada Isnin lalu, suspek yang melakukan perbuatan terkutuk pada pukul 1.40 petang itu terbongkar apabila dilihat oleh seorang guru tadika yang melalui tempat kejadian.
Guru itu cuba menyelamatkan mangsa sehingga berlaku pergelutan. Kejadian itu disedari oleh dua anggota polis yang meronda lalu menahan suspek.
Menurut Arjunaidi, suspek kemudian berjaya ditahan ketika masih berada di dalam van tersebut, hasil maklumat orang ramai.
Tambah beliau, pihaknya akan menyiasat sekolah tempat mangsa belajar bagi mengesan jika terdapat murid perempuan lain yang pernah menjadi mangsa nafsu buas pemandu van berkenaan.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Pelajar Asasi Sains UM maut jatuh asrama





KUALA LUMPUR 30 Julai - Seorang pelajar Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya maut setelah terjatuh dari tingkat lima bangunan asrama Kolej Kediaman Dr. Nazrin Shah (Kolej Kediaman ke-12) di kampus itu di Lembah Pantai, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang, mangsa, Zulkhairi Azmi Md. Bukhari, 19, dikatakan cuba memanjat untuk menyeberangi bilik seorang rakannya yang berkunci kerana ingin mengambil telefon bimbit dan dompetnya yang tertinggal di situ.
Tindakan pelajar itu bagaimanapun membawa padah apabila dia terjatuh dari tingkat lima yang menempatkan bilik rakannya, menyebabkan dia cedera parah di kepala dan badan. Allahyarham Zulkhairi Azmi meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, Allahyarham yang tinggal di tingkat tiga bangunan asrama yang sama, telah naik ke bilik rakannya itu malam tadi dan tidur di situ.
Apabila pulang ke biliknya semula, dia menyedari telefon bimbit dan dompetnya tertinggal. Mangsa kemudian pergi semula ke tingkat lima untuk mendapatkan kedua-dua barang berkenaan.
Ketika sampai, rakannya tiada di bilik dan pintunya berkunci. Allahyarham mengambil keputusan menyeberangi bilik tersebut menerusi bilik seorang rakan di sebelahnya.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.
Sementara itu, seorang rakan Allahyarham yang enggan identitinya dikenali berkata, Allahyarham sepatutnya pulang ke kampungnya di Mersing, Johor kerana sedang bercuti.
"Dia bagaimanapun tidak berbuat demikian kerana bakal menghadapi peperiksaan dalam dua minggu lagi, jadi dia tinggal untuk mengulangkaji pelajaran," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.
Kes seperti ini bukan pertama kali berlaku kerana dua kes sebelum ini pernah membabitkan pelajar universiti di Lembah Klang.
Pada 13 Julai tahun lalu, seorang penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mohd. Khalis Zulkifli, 19, maut ketika cuba memanjat masuk ke biliknya di tingkat empat melalui tingkap.
Kejadian berlaku di Blok C, Kediaman Kedua Siswa Jaya UTM di Jalan Rejang 4, Setapak Jaya.
Allahyarham mengambil tindakan itu selepas rakan sebiliknya tidak menyedari bunyi ketukan pintu.
Kira-kira sebulan sebelum itu, pada 23 Jun, seorang mahasiswi Sarjana Sains Kimia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditemui mati di tempat letak kereta Kolej Kediaman Pendeta Za'ba, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mangsa, Wan Siti Farihan Wan Mohamed Hassan, 23, yang berasal dari Kelantan, maut selepas terjatuh dari biliknya di tingkat empat.

Guru agama koma dirempuh kereta



KUALA TERENGGANU 30 Julai - Kebiasaannya, pada setiap pagi, seorang guru al-Quran, Mohd. Redha Mohd. Rosli, 21, menuju ke sekolah tempatnya bertugas di Dungun dengan menaiki kereta milik bapanya.
Namun semalam, rutinnya itu tiba-tiba berubah apabila dia meminjam motosikal rakannya untuk ke Sekolah Menengah (SM) Imtiaz Dungun dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari situ.
Rupa-rupanya, perubahan itu adalah petanda buruk kerana dia akhirnya terbabit dalam nahas jalan raya apabila motosikal yang ditungganginya dilanggar sebuah kereta dari belakang menyebabkan mangsa tercampak ke pagar sekolah.
Kemalangan yang berlaku pukul 8.30 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan sehingga kini masih koma.
Ketika ini, mangsa dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas dipindahkan dari Hospital Dungun semalam.
Menurut abangnya, Azuhuri Mustaqim, 33, Mohd. Redha masih belum sedarkan diri dan hasil pemeriksaan, doktor mendapati adiknya itu mengalami pendarahan dalaman di otak.
"Buat masa ini, dia masih koma dan diberi rawatan rapi di HSNZ, hasil pemeriksaan mendapati otaknya pecah. Kami sedih dengan kejadian yang menimpanya tapi tetap reda dan berdoa agar dia cepat pulih," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Azuhuri yang merupakan seorang eksekutif di Permodalan Nasional Berhad (PNB) berkata, Mohd. Redha adalah anak kelima daripada sembilan beradik dan bertugas sebagai guru al-Quran di SM Imtiaz Dungun.
"Biasanya, pada setiap pagi dia ke SM Imtiaz Dungun menaiki kereta bapa, tapi semalam tingkah lakunya agak pelik dan kelam kabut sebelum dia ke sekolah dengan menunggang motosikal kepunyaan seorang rakannya.
"Tak sangka pula kejadian buruk menimpanya pagi semalam dan dia sehingga sekarang masih koma," ujarnya sambil menambah, adiknya itu turut menjadi imam di kampung mereka di Dungun.
Dalam pada itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun ketika dihubungi petang ini mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.