Search This Blog

Saturday, June 26, 2010

Warga Nepal dibunuh kejam


SUNGAI PETANI 25 Jun – Dua pekerja warga Nepal ditemui mati dibunuh dengan kejam berdekatan Kuil Hindu Muneswaran, Bandar Puteri Jaya, dekat sini awal pagi ini.
Mangsa, P. Narayan, 26, dan L. Doral, 35, dipercayai dibunuh beberapa jam sebelum ditemui oleh rakan serumah mereka kira-kira pukul 3 pagi.
Mayat kedua-dua pekerja sebuah pasar raya besar itu dijumpai dalam keadaan menyayat hati dengan isi perutnya terburai dan leher dikelar.
Rakan mangsa, Lal Prakand, 30, berkata, Doral dan Narayan sepatutnya pulang ke rumah mereka di Taman Puteri Jaya selepas tamat waktu bekerja kira-kira pukul 11 pagi.
“Namun, selepas mendapati kedua-dua mereka tidak pulang sehingga pukul 12 tengah malam, saya dengan bantuan majikan kemudian keluar membuat laporan polis.
“Pada masa sama, kami juga keluar mencari dengan mengikut jalan yang biasa digunakan mereka,” katanya.
Prakand berkata, kedua-dua rakannya itu akhirnya ditemui berdekatan kuil terbabit yang jaraknya kira-kira satu kilometer dari tempat kerja.
“Saya hairan dengan kematian mereka kerana kedua-duanya tidak mempunyai musuh dan sudah bekerja di sini lebih setahun,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd. Zakaria Ahmad yang mengesahkan kes tersebut berkata, polis masih mengenal pasti motif pembunuhan mangsa.
Katanya, setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk dibedah siasat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di talian 04-4212222 untuk membantu siasatan.

No comments:

Post a Comment