Search This Blog

Wednesday, June 2, 2010

Tiga peminta sedekah dicekup JKM




KOTA BHARU – Bukan sahaja dipukul tetapi seorang peminta sedekah ini mendakwa dia menghadapi gangguan seksual dilakukan oleh seorang lelaki yang dikenali dengan panggilan ‘Abe Mat’. 

Itulah dakwaan nasib malang Alya Muhamad, 20, ketika ditanya berhubung sejarah hidupnya sepanjang menjadi peminta sedekah. 

Alya yang dikatakan tinggal dekat Salor, dihantar oleh lelaki berkenaan dengan menaiki bas untuk menadah tangan meraih simpati ramai di sekitar bandar ini. 

Semalam, dia ditahan oleh sepasukan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Jajahan Kota Bharu kira-kira jam 11 pagi berdekatan sebuah pasar raya ketika Ops Pengemis. 

Alya yang mengalami masalah penglihatan itu dikatakan terpaksa menadah tangan mengharapkan simpati orang ramai kerana Abe Mat sering meminta wang daripadanya. 

Ketika ditahan, Alya duduk di kawasan panas terik berbekalkan bekas menadah wang dan ranting pokok dipercayai digunakan sebagai tongkat. 

Alya antara tiga yang ditahan dalam operasi melibatkan 14 penguat kuasa dan pegawai selama tiga jam semalam di sekitar Kota Bharu bermula jam 10 pagi. 

Sementara itu, seorang lagi yang ditahan di hadapan sebuah syarikat telekomunikasi iaitu, Che Mah Salleh, 63, berkata, anaknya tidak mengetahui kegiatannya ini kerana dia tinggal sendirian di rumahnya dekat Jalan Minyak Gas, di sini. 

Warga emas itu memberitahu, dia terpaksa meminta sedekah untuk menampung perbelanjaan hidupnya kerana dakwanya anak-anaknya tidak pernah mengambil tahu tentang hidupnya. 

“Mak cik tahu, empat anak mak cik akan marah jika dia orang tahu, tapi makcik buat ni sebab tak cukup duit, dia orang tak selalu bagi duit pada makcik. 

“Makcik juga ambil upah basuh baju dan cuci pinggan mangkuk di kedai-kedai dan bukannya selalu mengutip derma,” katanya raih simpati supaya tidak ditahan oleh penguat kuasa JKM semalam. 

Operasi berkenaan diketuai oleh Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Kota Bharu, Mohd Al-Hafiz Hamzah.

No comments:

Post a Comment