Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Tentera Britain bersalah



LONDON 16 Jun – Media Britain hari ini menyambut baik permohonan maaf kerajaan berhubung kejadian orang awam ditembak mati di Ireland Utara pada hari yang dikenali sebagai Bloody Sunday atau Ahad Berdarah pada 1972, tetapi menggesa agar askar yang terlibat dalam pembunuhan itu tidak diheret ke mahkamah.
Perdana Menteri, David Cameron memohon maaf semalam berhubung pembunuhan 13 orang oleh askar Britain pada satu perarakan hak sivil di Londonderry pada 1972, selepas laporan yang sudah lama dinanti-nantikan mengenai insiden itu disiarkan.
Beliau menyifatkan pembunuhan tersebut sebagai ‘tidak wajar dan tidak boleh diwajarkan’ dan akhbar Guardian memuji beliau kerana ‘kata-katanya yang sangat bernas, menyentuh perasaan dan sangat wajar’.
Inkuiri tersebut mendapati tiada seorang pun mangsa semasa perarakan itu membawa senjata, askar melepaskan tembakan tanpa amaran dan kejadian itu membawa ‘malapetaka’ kepada Ireland Utara kerana keganasan meningkat selepas itu.
Bagaimanapun beberapa pengulas berkata, untuk mendakwa askar yang terlibat dalam pembunuhan itu adalah langkah yang keterlaluan dan tidak selaras dengan maksud proses damai wilayah bergolak tersebut.
Ramai anggota Tentera Republikan Ireland (IRA) yang menentang pemerintahan Britain dibebaskan dari penjara di bawah perjanjian yang membantu Ireland Utara mencapai perdamaian yang goyah sejak sedekad yang lalu.
Akhbar The Sun menggambarkan Ahad Berdarah sebagai ‘hari memalukan bagi tentera’ tetapi menambah, tiada apa-apa yang akan dicapai dengan mengheret askar ke mahkamah setelah 38 tahun berlalu.
“Kita mengosongkan penjara daripada anggota IRA yang terlibat dalam pembunuhan sebagai harga perdamaian berikutan Perjanjian Good Friday 1998 yang menamatkan sengketa di Ireland Utara.
“Bagaimana kita boleh memenjarakan askar selepas membebaskan anggota IRA yang didapati bersalah melakukan pembunuhan?” menurut The Sun. – AFP

No comments:

Post a Comment