Search This Blog

Sunday, June 27, 2010

Sindiket pemerdagangan manusia tumpas


BEBERAPA wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berjaya diselamatkan di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, semalam.


PETALING JAYA 26 Jun – Satu sindiket pemerdagangan manusia yang didalangi oleh warga Afrika dan Filipina tumpas ekoran penahanan seorang ibu ayam dan seorang lelaki dalam dua serbuan berasingan di Bandar Sunway dan Puchong, dekat sini tengah malam tadi.
Dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah malam itu, seramai 10 wanita warga Filipina yang disyaki menjadi mangsa sindiket tersebut berjaya diselamatkan.
Serbuan dilakukan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Kontinjen Kuala Lumpur dan Selangor dengan dibantu oleh Unit Anti Pemerdagangan Manusia daripada Jabatan Imigresen dan kastam.
Ketua Operasi, Supritendan Maszely Minhad berkata, dalam serbuan pertama yang dilakukan di sebuah pusat hiburan di Sunway itu, pihaknya berjaya menyelamatkan lapan wanita warga Filipina.
Katanya, turut ditahan empat pekerja wanita warga Myanmar di pusat hiburan terbabit atas kesalahan menyalahgunakan permit kerja.
Menurutnya, susulan serbuan pertama, pihaknya menyerbu sebuah rumah di Taman Wawasan, Puchong dan berjaya menyelamatkan dua lagi wanita warga Filipina.
“Di sana, kita menahan seorang ibu ayam dan seorang lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi, dipercayai menguruskan penghantaran mangsa-mangsa ke tempat pelacuran.
“Kita percaya, ia merupakan sindiket pemerdagangan manusia melibatkan mangsa dari Filipina dalam mengeksploitasi seks.
“Kita percaya ia didalangi oleh warga Afrika dan Filipina kerana kebanyakan pelanggannya terdiri daripada lelaki Afrika,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini malam tadi.
Tambahnya, sejak awal tahun ini seramai 27 mangsa Filipina berjaya diselamatkan daripada sindiket sama dan empat dalang telah ditangkap.

No comments:

Post a Comment