Search This Blog

Wednesday, June 2, 2010

Pukulan anak derhaka

AMPANG: Hanya kerana tidak mahu memperlahankan bunyi televisyen, seorang bapa cedera di kepala dan badan selepas dibelasah menggunakan topi keledar oleh anak lelakinya.
Difahamkan, kejadian berlaku Sabtu lalu kira-kira jam 9 malam ketika dua beranak terbabit berada di ruang tamu di rumah mereka di Pandan Indah di sini.
Ketika itu, mangsa yang berusia 40-an menonton televisyen dengan bunyi yang dipasang agak kuat menyebabkan anaknya menegur perbuatannya.

Menurut sumber, anak mangsa yang berusia 19 tahun terbabit meninggikan suara meminta bapanya memperlahankan bunyi televisyen itu.

“Mangsa yang tidak berpuas hati menegur sikap anaknya yang dianggap biadab. Tindakan itu menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Dalam pertengkaran itu, anak lelakinya tiba-tiba naik marah lalu memukul kepala dan badan mangsa menggunakan topi keledar berkali-kali. Pergaduhan dua beranak itu hanya berakhir selepas anak mangsa keluar dari rumah.

“Mangsa yang cedera di kepala dan badan pergi ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Susulan laporan itu, polis menahan anak lelaki mangsa dan kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata pihaknya menahan anak lelaki terbabit sebaik laporan kejadian itu dibuat bapanya dan remaja terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati remaja terbabit dengan sikap bapanya yang gemar memasang bunyi televisyen dengan kuat apabila menontonnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment