Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Penternak ayam laga didakwa bunuh bapa

SHAH ALAM: Seorang penternak ayam laga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan membunuh bapanya yang berusia 68 tahun pada Ogos tahun lalu.
Lim Kim Huat, 45, didakwa bersama-sama dua orang lagi, yang masih bebas, membunuh Lim Giek Poh, seorang ahli perniagaan di alamat No: 12, Jalan Anggerik Oncidium 31/ 78 A, Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini, antara pukul 10 malam, 20 Ogos hingga jam 3.30 pagi, 21 Ogos 2009.
Tertuduh yang ditangkap pada 4 Jun lalu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Kim Huat mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah. Tiada pengakuan direkodkan.

Timbalan Pendakwa Raya R Hemavthi memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Gerard Lazarus, yang mewakili tertuduh, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan representasi berhubung tuduhan terhadap anak guamnya.

Majistret Hafizah Abdul Rajak kemudian menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes.-Bernama

No comments:

Post a Comment