Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Lelaki maut ketika membelok



BATU MENUNGGUL – Seorang lelaki warga emas, maut dalam kemalangan di Jalan Kota Sarang Semut ke Pendang dekat Kampung Batu Menunggul di sini, apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah motosikal lagi yang datang dari arah bertentangan, petang semalam. 

Mangsa, Abdul Aziz Ismail, 71, berasal dari Kampung Menunggul, maut pada jam 6 petang ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pendang. 

Dalam kejadian itu, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna biru bernombor pendaftaran KBA 6630, bertembung dua penunggang yang menunggang motosikal Yamaha jenis 135 LC berwarna oren bernombor pendaftaran PGM 3390. 

Seorang saksi, Azwan Abu Hassan, 16, yang bekerja mencuci kereta berdekatan tempat kejadian berkata, dia terkejut melihat kejadian berkenaan yang berlaku pada jam 5.55 petang. 

“Ketika kejadian, saya sedang mencuci kereta dan melihat sebuah motosikal yang ditunggang seorang lelaki dan wanita dari arah Pendang ke Kota Sarang Semut, memotong sebuah kereta dari arah yang sama di hadapannya. 

“Motosikal itu bertembung dengan mangsa ketika sedang memotong dan ketika itu mangsa berhenti di tengah garisan untuk membelok ke kanan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian. 

Azwan berkata, ketika kejadian, bunyi dentuman yang kuat akibat pelanggaran bertentangan. 

Dua mangsa lain mengalami kecederaan teruk dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk mendapatkan rawatan. 

Sementara itu, polis Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis daerah Pendang memaklumkan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk dibedah siasat.

No comments:

Post a Comment