Search This Blog

Thursday, June 17, 2010

Hanya sempat pakai tuala



KUALA KANGSAR – Tiga keluarga tinggal sehelai sepinggan apabila rumah mereka di Simpang Penaga, di sini, musnah dalam satu kebakaran kira-kira jam 2.20 petang, kelmarin. 

Bukan sahaja gagal menyelamatkan barangan berharga dan dokumen penting, dua mangsa hanya sempat melarikan diri dengan hanya memakai tuala dan kain pelekat. 

Seorang mangsa, Mustafa Yeop Ahmad, 75, berkata, ketika kejadian, dia bersama isteri sedang berehat sebelum menyedari terdapat kepulan asap keluar dari rumah sebelah. 

Menurutnya, api marak terlalu cepat sehinggakan dia hanya sempat menyelamatkan selaras senapang patah dan melarikan diri tanpa memakai baju. 

“Api datang dari sebelah atas rumah dan semua barang-barang lain termasuk wang tunai RM12,000, barangan antik, barang kemas serta dokumen penting musnah. Empat motosikal milik anak dan menantu turut terbakar. 

“Anggaran kerugian melebihi RM200, 000 dan yang saya sempat selamatkan ialah selaras senapang patah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian. 

Seorang lagi mangsa, Mustafa Mohd Jais, 78, berkata, semasa kejadian berlaku, dia sedang mandi dan terkejut apabila isterinya mengetuk pintu dari luar. 

“Saya lari bersama tuala mandi dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa pun. Api datang dari bahagian atas rumah dan merebak dengan cepat. 

“Isteri saya cedera ringan di bahagian kaki sewaktu kami cuba menyelamatkan diri. Saya rasa kami kerugian lebih daripada RM100,000,” katanya. 

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Kuala Kangsar, Dollah Saminokoromo berkata, angin kencang dan jarak pili bomba yang agak jauh menyukarkan kerja-kerja memadam api dilakukan. 

Bagaimanapun katanya, dengan kekuatan 10 anggota bomba bersama dua jentera, kebakaran dapat dikawal dalam masa 10 minit 

“Kita menerima panggilan kira-kira jam 2.28 petang dan tiba lima minit selepas itu, tetapi faktor cuaca menyebabkan api marak dengan begitu cepat. 

“Tiga rumah dua tingkat separa papan musnah dalam kebakaran itu. Bagaimanapun anggaran sebenar kerugian dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya. 

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Padang Rengas, Zainun Mat Nor berkata, bantuan segera sudah diserahkan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka. 

“Bantuan diberikan di bawah peruntukan Parlimen Padang Rengas dan jika ada sebarang kecemasan sumbangan segera akan diberikan. Ia bukan ganti rugi tetapi sekadar membantu dan sebagai tanda keprihatinan kami kepada mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment