Search This Blog

Wednesday, June 2, 2010

Dua nenek nahas

KANGAR: “Sebelum bertolak ke Napoh, saya dan isteri sempat membuat dodol ditempah pelanggan kerana kami berdua menjalankan pekerjaan membuat kuih tradisi ini lebih 10 tahun lalu.
“Saya meminta isteri menyimpan hasil jualan dodol RM3,000 selalu dibawanya, tetapi ditolak dengan alasan tidak selamat selepas bersungguh-sungguh hendak menemani cucu mengambil birasnya,” kata Saad Said, 74, suami kepada warga emas Chik Mat, 69, yang maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya berhampiran Mengkuang Layar, Utan Aji, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, warga emas itu bersama birasnya, Ishah Hasan, 60-an menaiki kereta dipandu cucunya yang terbabas sebelum melanggar pokok jati.

Dalam kemalangan itu, Ishah parah dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, manakala cucu mereka, Mohd Akhmal Yusof, turut dimasukkan ke HTF selepas cedera di lutut dan tangan.

Saad berkata, isterinya mengambil keputusan menemani Mohd Akhmal untuk mengambil Ishah di Napoh, sebelum mereka melawat anaknya, Yusof Saad, iaitu bapa Mohd Akhmal yang menerima rawatan di HTF.

“Mereka dalam perjalanan pulang selepas menziarahi anak di HTF dan saya dimaklumkan kejadian oleh rakan yang melihat kemalangan itu malam kelmarin,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bunga Emas, di sini semalam.

Chik yang parah di kepala dan badan meninggal dunia selepas tiga jam menerima rawatan di HTF, kira-kira jam 10 malam.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan, Rosli Yahaya, berkata kereta Kancil dipandu Mohd Akhmal hilang kawalan ketika melalui selekoh sebelum terbabas dan melanggar pokok jati.

“Kami percaya remaja yang membawa dua neneknya memandu laju, tambahan pula hujan ketika kejadian hingga menyebabkan selekoh licin dan berbahaya.

“Keluarga berkenaan dalam perjalanan dari arah Kangar ke Simpang Empat untuk pulang ke rumah di Kampung Bunga Emas, sebelum kenderaan terbabit terbabas,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata, Chik yang juga nenek sebelah ibu kepada Mohd Akhmal di sebelah pemandu parah di kepala dan badan akibat hentakan kuat pada dinding kereta Kancil yang remuk di bahagian depan.

No comments:

Post a Comment