Search This Blog

Wednesday, June 23, 2010

Dua kanak-kanak mati lemas




KULAIJAYA - Dua kanak-kanak sembilan tahun mati lemas di kolam takungan air Jalan Merpati 3, Bandar Putra, di sini dalam kejadian kira-kira 5.15 petang, semalam. 

Mangsa, Mukris Mat Salleh dari Jalan Jati 1 dan Anuar Hakim Salleh dari Jalan jati 12 kawasan perumahan sama dikatakan pergi ke kolam berkenaan untuk memancing ikan selepas pulang dari Sekolah Agama kira-kira jam 3.30 petang setelah meminta izin daripada ibu bapa masing-masing. 

Kejadian disedari salah seorang penduduk setempat yang kebetulan lalu di kawasan berkenaan apabila ternampak salah seorang daripada sekumpulan kanak-kanak yang mandi di kolam berkenaan menjerit meminta pertolongan. 

Saksi, Mohd Azizan Nazri, 18, berkata, beliau berjaya menyelamatkan salah seorang daripada kanak-kanak berkenaan namun gagal menyelamatkan dua lagi rakan mereka kerana kejadian berlaku begitu pantas. 

“Saya nampak ada lebih kurang enam kanak-kanak mandi di kolam ini dan kemudian salah seorang daripada mereka menjerit minta tolong. 

“Walaupun tidak tahu berenang, namun saya nekad menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya ketika ditemui. 

Mohd Azizan berkata, beliau kemudian bergegas minta pertolongan daripada penduduk setempat yang tinggal berhampiran sebelum menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk menyelamatkan dua lagi kanak-kanak namun gagal. 

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kulaijaya, Masnon Idris berkata, anggota bomba tiba di tempat kejadian kira-kira jam 6.14 petang sejurus selepas menerima panggilan dan berjaya menemui mayat kedua pada 6.30 petang. 

“Kedua-dua mayat berjaya ditemui oleh lima anggota yang ditugaskan dengan bantuan tiga penduduk tempatan kira-kira jam 6.30 petang,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Hospital Sri Maharaja Temenggong Ibrahim, Kulaijaya untuk bedah siasat manakala siasatan dijalankan di bawah laporan mati mengejut. 

Katanya, kedalaman takungan air kolam berkenaan dianggarkan kira-kira 20 kaki.

No comments:

Post a Comment