Search This Blog

Sunday, June 27, 2010

1 digantung sekolah, 4 kena tindakan



15/7
KUALA LUMPUR: Seorang pelajar senior Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi di sini, digantung sekolah serta-merta manakala empat rakannya disyaki terbabit membuli seorang pelajar junior sehingga mati Rabu lalu dikenakan tindakan tegas.
Malah, semua mereka kini sudah direman beberapa hari mulai semalam bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mereka juga bakal dikenakan tindakan di Mahkamah Tentera kerana semua mereka adalah pelajar kolej ketenteraan.
Kelima-lima pelajar berusia 17 tahun itu ditahan sepasukan anggota Provost Marshal dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyifatkan tindakan membuli hingga menyebabkan kematian,
Mohamad Naim Mustaqim Mohamad Sobri, 16, sebagai perbuatan jahiliah.
Kami mengambil tindakan serta-merta dengan menggantung seorang pelajar MTD dipercayai dilihat menendang mangsa, manakala empat lagi akan dikenakan tindakan keras.
Selain itu, mereka juga akan dikenakan tindakan di mahkamah ketenteraan kerana mereka adalah putera (pelajar kolej ketenteraan), katanya ketika menghadiri mesyuarat Agung Koperasi Perladangan Kawasan Bagan Datoh, semalam.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat berkata, penahanan semua pelajar terbabit dilakukan bagi menyiasat sama ada mereka terbabit dalam kes membuli mangsa hingga menyebabkan kematian.
Polis tidak menolak kemungkinan punca kematian mangsa disebabkan kejadian buli atau dera.
Kalau dilihat luaran anggota badan mangsa tidak terdapat sebarang luka, bagaimanapun kami akan tunggu keputusan bedah siasat daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk tindakan susulan, katanya selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, semalam.
Abdul Samah berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis daripada keluarga pelajar berkenaan berhubung kejadian itu.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian dan kejadian ini yang pertama berlaku dalam tahun ini, namun tidak dinafikan terdapat laporan mengenai pergaduhan membabitkan penuntut institut pengajian tinggi di ibu negara sebelum ini, katanya.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang pelajar MTD Sungai Besi, meninggal dunia dipercayai dibuli sekumpulan pelajar senior selepas kepalanya terhantuk pada lantai sejurus ditendang pelajar senior sehingga tidak sedarkan diri.
Sumber : Harian Metro

No comments:

Post a Comment