Search This Blog

Wednesday, June 30, 2010

Tak sempat sarapan


15/7
MELAKA: Hasrat seorang warga emas menemani sahabatnya bersarapan pagi di sebuah gerai di seberang jalan berhampiran rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah, Alor Gajah, dekat sini, berakhir tragedi apabila dia maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika melintas jalan, awal pagi semalam.
Lebih tragis kira-kira dua jam sebelum itu, mangsa yang juga bekas pemandu teksi dikatakan bersama-sama isteri, anak dan menantunya baru pulang menziarahi ahli keluarga mereka di Pulau Pinang selepas hampir dua tahun arwah tidak ke sana.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 pagi itu, mangsa Waid Katon, 63, dikatakan sedang melintas dari kanan ke kiri jalan di Batu 19, Kampung Londang, Masjid Tanah sebelum dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira dipandu seorang anggota tentera, Mohd Amin Zahari, 26, dari Taman Sri Aman.
Timbalan Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Abdul Rahman Jid berkata, siasatan awal mendapati anggota tentera terbabit dalam perjalanan dari arah Pekan Masjid Tanah ke arah Pengkalan Balak dan ketika tiba di tempat kejadian dia dipercayai hilang kawalan dan terlanggar mangsa.
Akibat kemalangan itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka (HM) untuk bedah siasat.
Bagaimanapun kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kemalangan dan saksi diminta menghubungi cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) di talian 06-5563222 bagi membantu siasatan, katanya.
Sementara itu, isteri mangsa, Zahilah Pakwan Chik, 49, ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat HM berkata, sebelum kejadian beliau bersama arwah, anak dan menantu baru pulang dari Pulau Pinang kerana menghadiri majlis perkahwinan.
Kami tiba di Melaka Sentral kira-kira jam 4 pagi dan menyewa teksi dipandu sahabat arwah. Kami semua selamat tiba di rumah dan sahabat suami tadi bercadang menunggu hari cerah untuk pulang ke bandar memandangkan dia terpaksa memandu sendirian.
Tidak lama kemudian sahabat arwah mengajaknya pergi bersarapan di sebuah gerai berhampiran rumah sebelum terbabit kemalangan. Saya difahamkan, arwah melintas dulu sebelum dirempuh kereta itu dan dia diseret beberapa meter.
Kejadian berlaku di depan mata rakan arwah menyebabkan dia tergamam dan amat terkejut, katanya yang tidak dapat menahan sebak.
Zahilah berkata arwah suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum terbabit kemalangan.
Cuma saya terkilan bila teringat arwah suami pernah berkata, jika dia ikut ke Pulau Pinang, dia dapat melihat semua saudara di sana sebelum meninggal dunia dan begitu juga saudara di sana.
Sebenarnya antara arwah suami dan menantu di sana (Pulau Pinang) ada berlaku masalah kecil dan tidak bertegur. Jadi arwah suami dah hampir dua tahun tak ke sana, katanya.
Zahilah janda beranak tiga sebelum berkahwin dengan arwah suaminya yang turut mempunyai empat anak hasil perkahwinan pertama. Namun mereka tidak dikurniakan anak hasil perkongsian hidup.
Sementara itu, seorang saksi, Norzilah Mohamad, 43, yang juga sepupu si mati berkata dia mendengar dentuman sebelum melihat seorang lelaki tercampak di atas jalan di hadapan sebuah gerai di situ.
Saya sedang menunggu untuk membeli roti canai dan ketika peniaga sedang menebar roti canai, tiba-tiba terdengar dentuman kuat. Saya menoleh untuk melihat apa berlaku dan lihat seorang lelaki dalam keadaan seperti duduk tahiyat akhir.
Ketika itu saya tidak perasan lelaki itu sepupu saya dan orang ramai membantu mengangkatnya ke tepi jalan untuk mengelak dia dilanggar kereta lain, katanya.
Suasana di perkarangan Jabatan Forensik dan Bilik Mayat HM hiba apabila ahli keluarga mangsa tidak dapat menahan kesedihan sebelum jenazah arwah dibawa menaiki ambulans milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk dibawa ke rumahnya sebelum dikebumikan.
Sumber : Harian Metro

Wanita bantu 2 lelaki tolak motosikal disamun



KUALA LUMPUR: Sikap murah hati seorang wanita berusia awal 20-an untuk membantu dua lelaki yang menolak motosikal bertukar tragedi apabila dia disamun lelaki terbabit, petang kelmarin.
Difahamkan, mangsa menyangkakan kedua-dua lelaki terbabit dalam kesusahan sebelum memberhentikan keretanya di bahu jalan untuk menghulurkan bantuan.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 petang di Jalan Ipoh, di sini, mangsa diugut salah seorang daripada suspek berusia lingkungan 20-an dengan pisau sebelum mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga.
Menurut sumber, mangsa yang ketakutan selain bimbang dicederakan bertindak menyerahkan dompetnya yang mengandungi wang tunai RM500, telefon bimbit dan beberapa dokumen penting.
Malah, seorang daripada suspek sempat mentertawakan mangsa yang masuk ke dalam perangkap mereka, katanya.
Sumber berkata, mangsa kemudian diugut supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada polis.

Polis tahan 13 rakyat asing dan rampas dadah

IPOH: Polis menahan 13 rakyat asing termasuk seorang wanita serta merampas hampir setengah kilogram dadah jenis heroin dalam serbuan di sebuah rumah di Hutan Melintang, Teluk Intan, kira-kira 100 km dari sini semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Muhamad Zaki Harun berkata, mereka ditahan di sebuah rumah kira-kira jam 4.30 petang.
"Ketika polis mengadakan serbuan di rumah itu, seramai 13 orang warga Myanmar termasuk seorang wanita sedang menonton televisyen dan mereka yang terkejut dengan kehadiran polis cuba melarikan diri tetapi berjaya di tahan.

"Polis kemudian menemui satu kotak yang mengandungi tujuh paket plastik lutsinar berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin seberat 555 gram," katanya ketika dihubungi hari ini.

Muhamad berkata, polis menemui satu alat penimbang eletronik yang dipercayai diguna untuk menimbang dadah sebelum diisi dalam paket kecil untuk dijual.

Beliau berkata, siasatan pihaknya mendapati dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran tempatan khususnya kawasan Hutan Melintang, Bagan Datoh serta Teluk Intan manakala anggaran harga pasaran dadah yang dirampas itu adalah dalam lingkungan RM12,000.

"Siasatan juga mendapati kesemua suspek berusia antara 18 hingga 40 tahun itu tiada dokumen perjalanan yang sah dan mereka dikatakan bekerja sebagai nelayan di sekitar Hutan Melintang," katanya.

Kesemua mereka kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan, katanya.

-Bernama

Penunggang motosikal maut dirempuh kereta


30/06/2010 5:17pm

SEREMBAN 30 Jun - Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Seremban-Kuala Pilah, Ampangan dekat sini, hari ini.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, Khairul Na’im Nor Yusof, 21, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 pagi itu.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang menuju ke arah Kuala Pilah dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke jalan bertentangan lalu melanggar motosikal yang ditunggang Khairul yang baru keluar dari sebuah stesen minyak.
Katanya, kereta Perodua Myvi itu kemudian merempuh sebuah kereta Proton Persona yang berada di situ dan pemandu kedua-dua kereta itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Mayat Khairul kemudian dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini untuk bedah siasat. - Bernama

Gempa bumi berkekuatan 6.5 di Mexico


30/06/2010 4:30pm

MEXICO CITY 30 Jun - Satu gempa bumi dengan kekuatan 6.5 pada skala Richter berlaku di bahagian selatan Mexico hari ini, menggoncangkan bangunan sehingga ke Mexico City dan menyebabkan pendudukan bertempiaran keluar dari kediaman mereka dengan berpakaian tidur.
Pusat Kajian Geologi AS berkata, gempa berpusat 41 Km di timur laut Pinotepa Nacional di negeri Oaxaca pada pukul 2.22 pagi ini waktu tempatan (3.22 petang waktu Malaysia).
Gegaran itu mengejutkan penduduk di Mexico City yang hampir 470 Km ke utara, tetap pegawai perlindungan awam di bandar raya itu tidak menerima laporan mereka yang terbunuh atau cedera. - Reuters

Berpelukan dalam selimut




DUNGUN – Rahsia seorang remaja yang menjadikan bilik tidur rumahnya sebagai tempat untuk memuaskan nafsu bersama kekasihnya terbongkar setelah rumah berkenaan diserbu pihak berkuasa pagi semalam. 

Lebih dikesalkan, perbuatan itu dikatakan berlaku sewaktu ibu bapa remaja lelaki berkenaan berada di rumah dan perkara itu mula disedari setelah beberapa anggota polis menyerbu masuk, dan mendapati kedua-duanya sedang berpelukan dalam selimut di atas katil dalam bilik rumah itu. 

Sebaik serbuan dibuat, kedua ibu bapa remaja terbabit hanya terkedu setelah mendapati anak lelaki mereka menjadi buruan polis kerana terbabit dengan penyalahgunaan dadah itu sanggup melakukan perkara terkutuk di dalam bilik tidur sedangkan ketika itu mereka berada di rumah.

Setelah disoal siasat, kedua-duanya didapati tidak mempunyai sebarang hubungan muhrim dan gadis dari Batu Lima itu dipercayai
bertandang ke situ pada malam sebelumnya, lalu bermalam di rumah teman lelakinya yang difahamkan lepasan kolej swasta di Kemaman.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor berkata, hasil risikan mendapati remaja lelaki terbabit dipercayai terlibat dengan penyalahgunaan dadah lalu satu serbuan dilakukan di rumah yang terletak berdekatan Sekolah Menengah (SM) Tengku Intan
Zaharah itu kira-kira jam 11.30 pagi semalam.

“Hasil serbuan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah diketuai Inspektor Wahid itu membawa kepada
penahanan seorang lelaki berusia 19 tahun dan kekasihnya berusia 21 tahun.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis 'meth' dan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala teman wanitanya dibebaskan setelah negatif dadah,” katanya.

Gadis terbabit yang difahamkan anak seorang anggota renjer hutan ketika ditanya Sinar Harian turut mengaku mula menjalinkan hubungan sulit dengan teman lelakinya hampir setahun lalu.

Dia yang hanya mengenakan jeans ketat dan baju T lengan panjang itu mengakui turut melakukan aksi cumbuan dengan teman lelakinya, dan difahamkan perbuatan itu menjadi sebahagian daripada rutinnya setiap kali mengadakan pertemuan sulit dengan kekasihnya.

Pasangan terbabit juga dikenakan tindakan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan berkhalwat yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua- duanya sekali.

Anak saman bapa kerana tanah wakaf




GEORGETOWN - Anak saman bapa kerana langgar wasiat tanah wakaf datuknya. 

Laldin Zainal Abdin dan abangnya, Tajudin Zainal Abidin memfailkan saman terhadap Zainal Abidin Mohd Hanif dan 10 individu lain serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Mainpp). 

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Yap Wern Yian, Ng Lai Fun @ Ng Lai Ai, Yap Wern Kai, Winston Ong Cheng Hock, Yap Swee Liang@ Yap Swee Yong, Tan Liang Chye, Yap Ching Chau, Zabaidah Mohd Hanif, Zainal Abidin Mohd Hanif, Samsudin Mohd Hanif dan Siti Zaleha Mohd Hanif. 

Dalam writnya, dua beradik itu mendakwa arwah datuknya, Md Hanif K Batcha mewasiatkan satu wakaf ke atas hartanah seluas 30 kaki kali 40 kaki untuk mendirikan sebuah surau di Lot 446, Mukim 1 Daerah Barat Daya. 

Bagaimanapun, bapa dan emak saudaranya sebelum ini pemilik berdaftar ke atas tanah itu melalui perintah pembahagian harta pusaka si mati mengabaikan perjanjian dalam surat wasiat mewakafkan hartanah itu. 

“Perkara perwakafan ini tidak sepatutnya diabai defendan kelapan hingga sebelas kerana tercatit dalam wasiat asal ditinggalkan si mati bertarikh 24 November 1985,” katanya. 

Manakala Mainpp turut dinamakan defendan kerana mengetahui dan memaklumkan kepada plantif bahawa mereka tidak boleh berbuat apa-apa dengan perkara perwakafan itu.

Bekas polis ke tali gantung



SEREMBAN – Seorang bekas anggota polis berpangkat Sarjan longlai apabila Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan :hukuman gantung sampai selepas didapati bersalah menembak pekerja kedai emas di Kuala Pilah dalam rompakan bersenjata, dua tahun lalu. 

:Ahli keluarganya yang berada dalam kamar mahkamah turut tidak dapat menahan kesedihan sewaktu hukuman dibacakan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Nasfy Yasin. 

Dalam penghakimannya, Ahmad Nasfy menyifatkan detik hukuman dijatuhkan terhadap :Mazlan Othman, 46, dari Kuala Pilah sebagai episod sedih kepada tertuduh. 

"Kesilapan yang besar ini bukan saja membuatkan tertuduh hilang pekerjaan tetapi turut menghapuskan segala harapan dan cita-citanya, serta menyebabkan keluarga hilang tempat bergantung,” katanya. 

:Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melakukan rompakan bersama rakannya, Allahyarham Zulkifli Ali, 44, di sebuah kedai emas di Jalan Datuk Undang Johol, Kuala Pilah, 9 Oktober 2007, kira-kira jam 3.15 petang. 

Mazlan didakwa menembak Chin Yuen Choon, 29, mengakibatkan mangsa cedera bahagian dada sebelah kiri. 

Mengikut pertuduhan pertama, Mazlan yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur dituduh melepaskan tembakan daripada pistol jenis Steyr dengan niat mengakibatkan kecederaan kepada mangsa. 

Mazlan yang diwakili peguam, Jamal Abbas didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. 

Mazlan turut dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara bermula tarikh ditangkap dan dua sebatan kerana didapati bersalah atas tuduhan merompak barangan kemas dari kedai emas terbabit. 

Serangan ganas di sempadan Gaza




GAZA - Seorang pemuda Palestin terbunuh manakala t:iga lagi cedera apabila tentera Israel melakukan serangan menggunakan kereta perisai di sempadan Gaza. 

:Doktor di Hospital al-Awda di Beit Lahiya, bahagian utara Genting Gaza mengesahkan Bassam Badwan, 32, dari Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP) terbunuh dan dua daripada tiga yang cedera kini berada dalam keadaan serius. 

Jurucakap tentera Israel berkata, sekumpulan pemuda dari PFLP melepaskan tembakan roket buatan sendiri ke arah tentera yang bertugas di kawasan berkenaan, lalu dibalas dengan tembakan oleh tentera rejim berkenaan.

Mangsa Lubuk Gua




KULIM - Hari ini, Mohd Haikal Nor Mohamad, 17, sepatutnya melapor diri untuk mula bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang. 

Tetapi semalam, remaja itu mati lemas ketika berkelah bersama rakan-rakannya di Rekreasi Arus Deras Sungai Sedim, kira-kira 32 kilometer dari sini. 

Seorang rakan mangsa, Mohd Izwan Mohd Nizam, 17, berkata, Mohd Haikal terjatuh di Air Terjun Lubuk Gua, Sedim, kira-kira jam 1.45 petang, lalu hanyut dibawa arus ke dalam lubuk berhampiran.Mayatnya dijumpai kira-kira tiga jam kemudian. 

Mangsa yang tinggal bersama keluarga di Lunas, dekat sini, pergi berkelah bersama 11 rakannya menaiki dua kereta. 

“Kira-kira jam 1.45 petang, Mohd Haikal mengajak saya turun ke air terjun itu. Dia sempat berpesan kepada saya supaya tolong tengokkan dia nak mandi. Sebabnya, dia tak tahu berenang. 


Ketika berada di tepi sungai itu, dia tiba-tiba terjatuh, saya cuba capai tangannya tapi tak sempat. Dia terus dibawa arus,” kata Mohd Izwan.

Mohd Izwan berkata, beberapa pengunjung lain yang berada di tempat kejadian, cuba membantu menyelamatkan Mohd Haikal.

“Ada yang menyelam ke dalam lubuk. Anggota Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kulim yang dipanggil juga turut membantu. 

Hanya selepas tiga jam, barulah mayat rakan saya itu ditemui,” katanya.

Menurut penduduk kampung berhampiran, sebelum ini, sudah ada pengunjung lain yang temui ajal di lubuk itu.

Apa yang paling membuatkan Mohd Izwan sedih, sebelum itu, dia ada berselisih faham dengan mangsa.

“Namun tidak lama sebelum dia terjatuh dan hilang, kami bermaafan. Dia juga bersikap sangat baik dan sempat bergurau senda dengan saya,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan dikebumikan selepas Isyak malam tadi.

Operasi mencari diperhebatkan



ULU JEMPUL - Masyarakat Islam sekitar sini diminta melakukan solat Hajat dan tahlil serta doa agar seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tapah, Perak, Mohd Azhar Azizan yang dikhuatiri lemas di Hutan Lipur Lubuk Yu pada Sabtu lalu dijumpai. 

Pegawai Agama Islam Daerah Jengka, Bunyamin Abdul Ghani berkata, selain usaha semua pihak dalam mencari mangsa dilakukan, sebagi umat Islam kita perlu meletakkan keyakinan kepada Allah SWT. 

Menurutnya, kemudian disusuli dengan tawakal dan memohon petunjuk dari Yang Maha Esa agar kita menemui jalan keluar kepada usaha itu. 

“Jika ditakdirkan mangsa sudah meninggal dunia, mohonlah supaya jasadnya ditemui. Kita dituntut untuk melakukan solat Hajat ketika menginginkan sesuatu yang baik. 

“Semuanya adalah ketentuan Allah SWT dan tiada kuasa lain yang dapat menandingi -Nya, maka kita perlu menerima ketentuan Ilahi dengan reda serta percaya pada Qada dan Qadar,” katanya kepada Sinar Harian. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejadian yang menimpa Mohd Azhar Azizan, 28, apabila dikhuatiri lemas ketika mandi bersama empat rakannya ke pusat perkelahan itu. 

Bagaimanapun, mangsa masih tidak ditemui sehingga jam 7 petang, semalam. 

Dua maut, enam cedera dalam dua kemalangan


30/06/2010 3:51pm

KUANTAN - Dua maut manakala enam lagi cedera dalam dua kemalangan di Pahang semalam, kata Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim.
Beliau berkata dalam kejadian pertama di Kilometer 34 Jalan Kuantan-Maran, dekat Jerantut kira-kira pukul 4.15 petang, Mansor Md Diah, 60, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas kereta yang dinaikinya terlibat dalam satu kemalangan.
Katanya, dalam kejadian itu, kereta Proton Iswara yang dipandu Mansor yang sedang dalam perjalanan dari Kuantan menuju ke Maran itu dikatakan terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta Nissan yang datang dari arah bertentangan.
Menurutnya, pemandu kereta Nissan bersama empat orang penumpang kereta Proton itu hanya mengalami kecederaan ringan.
Mohamed Fauzi berkata, dalam kemalangan kedua pula Abd. Mubin Azman, 69, yang memandu kereta Proton Wira, maut selepas keretanya dilanggar oleh sebuah pikap Toyota Hilux dari arah belakang di Kilometer 147.5 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, dekat Jerantut.
Beliau berkata, Abd. Mubin meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang dan pemandu pikap itu hanya mengalami cedera ringan dan dirawat di Hospital Jengka.
Menurutnya, kejadian berlaku semasa Abd. Mubin sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Jerantut, pada kira-kira pukul 2.30 petang. - Bernama

Peniaga bebas dari tuduhan miliki VCD tanpa sijil


30/06/2010 3:46pm

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga hari ini dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini daripada tuduhan memiliki 125 keping VCD ceramah agama pelbagai tajuk tanpa kelulusan Lembaga Penapisan Filem, empat tahun lepas.
Majistret Aina Azahra Arifin membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Junaidi Osman, 47.
Junaidi didakwa memiliki 125 keping VCD berkenaan tanpa sijil “B” di No 5-C, Jalan Daud, Kampung Baru, di sini, pada jam 2.15 petang, 13 April 2006.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 (3) Akta Penapisan Filem 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 18 (5) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Junaidi diwakili peguam Ab Kadir Ismail manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya P. Vikneswaran. - Bernama

Warga Mynmar didakwa terima wang tebusan RM28,000


30/06/2010 3:54pm

KUALA LUMPUR - Seorang warga Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menerima wang tebusan sebanyak RM28,000 daripada seorang peniaga tempatan, awal bulan ini.
Aye Min Win, 30, seorang tukang kebun, didakwa menerima wang itu daripada Lim Sim Wei, 36, di Restoran Mandalay, No 47, Jalan Tun Tan Siew Sin, Dang Wangi, di sini, pada pukul 9.30 malam, 9 Jun lalu.
Aye didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 5 Akta Culik 1961 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Terdahulu itu, Timbalan Pendakwa Raya, Rozana Husin memohon supaya tiada jaminan dikenakan berikutan tertuduh bukan warga Malaysia.
Bagaimanapun, majistret Siti Shakirah Mohtaruddin membenarkan Aye diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 22 Julai ini sebagai tarikh sebutan kes.
Majistret juga memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan dia perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.
Majikan tertuduh kemudian telah membayar wang jaminan tersebut. - Bernama

16.5 juta saman lalu lintas bernilai RM2.7 bilion gagal dikutip


30/06/2010 2:37pm

KUALA LUMPUR - Kira-kira RM2.7 bilion daripada 16,529,848 saman tertunggak lalu lintas gagal dikutip kerajaan antara tahun 2000 dan 2008, kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri.
Daripada jumlah itu, majoriti adalah saman polis sebanyak 15,220,358 manakala yang lain melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebanyak 470,983 dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebanyak 838,507 saman.
"Bagi saman yang dikeluarkan tahun lepas sehingga kini, ia adalah saman aktif yang masih menjadi saman kitaran semula,” katanya.
Abdul Rahim berkata, bagi memastikan saman tertunggak tersebut dikutip, beberapa pendekatan termasuk menyekat urusniaga seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu berdasarkan peruntukan Seksyen 115, Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pemandu yang tidak dapat dikesan. - Bernama

Polis India kurangkan kawalan keselamatan 78 selebriti


30/06/2010 2:42pm

NEW DELHI - Dalam usaha mengurangkan kos menjaga keselamatan beberapa warga India yang terkenal, polis Mumbai bertindak mengurang dan menarik balik kawalan ke atas 78 orang termasuk pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan.
Pada kebiasaanya beberapa ahli politik dan selebriti diberi perlindungan oleh polis berdasarkan ancaman terhadap nyawa mereka, dan langkah itu menelan belanja yang tinggi setiap tahun.
Berikutan keputusan tersebut, anggota polis yang ditugas menjaga keselamatan Khan telah dikurangkan kepada dua orang berbanding empat sebelum ini, demikian lapor akhbar Times of India.
Laporan itu juga menyebut, polis menarik balik kawalan keselamatan bagi lima selebriti Bollywood iaitu penerbit filem, Karan Johar, aktor Vivek Oberoi, penyanyi, Himesh Reshammiya, Firoz Nadiawala dan Pritish Nandy.
Akhbar itu juga mendedahkan pihak berkuasa membelanjakan RM1,259sebulan bagi setiap anggota polis yang ditugas melindungi personaliti tersebut. - Bernama

Pengarah bomba bebas tuduhan rasuah


30/06/2010 3:18pm

SHAH ALAM - Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Wilayah Persekutuan, Mohammad Hamdan Wahid hari ini dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerima suapan RM925,000, tujuh tahun lalu.
Hakim Mat Ghani Abdullah membuat keputusan tersebut setelah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohammad Hamdan, 47, dari Bandar Baru, Sri Petaling, Kuala Lumpur.
Pada 23 Februari lalu, Hamdan, selaku Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan, Penyelidikan dan Pembangunan JBPM, Putrajaya, ketika itu, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan tersebut daripada kontraktor, Zainudin Su”ut, yang juga pengurus Erakristal Sdn. Bhd.
Wang tersebut adalah sebagai dorongan mendapatkan sokongan JBPM kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi cadangan pembangunan dan pembinaan bangunan pejabat dan bengkel JBPM di atas Lot 2312 dan 2313, Salak Land District, Samariang, Petra Jaya, Kuching, Sarawak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kenderaan, Kondominium North Point One, Ampang Avenue, Jalan Ampang Utama 2/2, Hulu Langat, Ampang, di antara pukul 4 dan 6 petang, 1 Ogos, 2003.
Dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. - Bernama

Dipenjara 14 hari kerana 'duit kopi' RM100



MEOW BOON (menutup muka) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu semalam atas dakwaan cuba memberi 'duit kopi' kepada seorang sukarelawan polis November tahun lalu.


KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'duit kopi' RM100, seorang jurujual dihukum penjara 14 hari serta denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Jika gagal membayar denda itu, tertuduh, Chew Meow Boon yang bekerja di sebuah syarikat di Kampung Merbau Patah dekat sini terpaksa menjalani hukuman penjara selama enam bulan lagi.
Keputusan itu dibacakan hakim, Che Mohamad Zulkifly Jusoh selepas tertuduh mengaku salah cuba merasuah seorang sukarelawan polis pada 21 November tahun lalu di Stesen Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
Mengikut fakta kes, Meow Boon telah memasuki laluan bas yang tidak dibenarkan untuk kenderaan lain di stesen bas itu kira-kira pukul 2.10 petang dan dia ditahan seorang sukarelawan polis, Koperal Alias Mohamad yang meronda bersama tiga lagi rakannya yang lain.
Bagaimanapun, ketika kompaun sedang ditulis, Meow Boon telah meletakkan dua keping wang kertas bernilai RM50 di atas meja di hadapan Alias dan apabila ditanya, tertuduh memberitahu itu adalah 'duit kopi' untuk membatalkan saman.

Hutang nyaris ragut nyawa



NAM SOON (dua dari kiri) menceritakan masalah yang dihadapi kepada Cher Puk (kanan) sebaik turun dari bangunan tiga tingkat di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU - Kejadian terjatuh bangunan ekoran putus cinta atau kecewa dengan hidup biasa didengar tetapi semalam lain pula ceritanya di Bandar Baru Permas Jaya dekat sini.
Apa tidaknya, seorang juruelektrik membikin gempar apabila mengugut untuk terjun dari sebuah bangunan tiga tingkat di sini selepas cubaannya untuk berbincang mengenai rumahnya yang hendak dilelong gagal.
Tepat pukul 10 pagi, orang ramai yang melalui kawasan itu gempar apabila lelaki yang dikenali sebagai Yeo Nam Soon, 37, itu menjerit dalam bahasa Mandarin menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap layanan yang diterima.
Lebih membuatkan dia marah apabila mendakwa tidak menerima notis dari pihak bank untuk melelong rumahnya jenis apartmen di Taman Tan Sri Yaakob, Skudai yang dibeli dengan harga RM75,000 pada 1990.
Difahamkan, dia membuat pinjaman dengan bank tersebut dan notis lelongan itu telah dihantar tetapi ia tidak sampai ke tangan Nam Soon sebelum ia dipulangkan semula kepada pihak bank.