Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Woods, isteri cerai di Sweden?

WOODS, Elin tak mahu pembahagian harta dicatat dalam dokumen mahkamah.
WOODS, Elin tak mahu pembahagian harta dicatat dalam dokumen mahkamah.

FLORIDA: Bintang golf Amerika Syarikat (AS), Tiger Woods dan isteri, Elin Nordegren boleh memutuskan untuk bercerai di Sweden demi merahsiakan butiran terperinci perceraian mereka, terutama mengenai pembahagian harta.

Woods dilapor mendapatkan khidmat peguam pakar dalam penyelesaian hak jagaan anak antarabangsa.
Elin dipercayai akan pindah ke Sweden terutama selepas beliau mengubah suai rumah dan beliau boleh memfailkan perceraian di negara asalnya.

Isu utama perceraian ini pastinya hak penjagaan dua anak bagi memastikan mereka boleh bertemu Sam, 3, dan Charlie, 14 bulan.

Elin dan Woods dijangka bersetuju bersama-sama menjaga anak dan tidak mahu perceraian itu menjadi satu sengketa buruk.

Elin turut dipercayai bakal menerima AS$300 juta (RM955.8 juta) tapi mereka bertekad merahsiakan seluruh maklumat perceraian dan memastikan jumlah pembahagian harta tidak dinyatakan dalam sebarang dokumen mahkamah.

Hidup Woods musnah selepas beliau didedah melakukan hubungan sulit dengan lebih 10 wanita November lalu. Beliau kemudian memilih untuk berhenti seketika daripada lapangan golf dan menjalani kaunseling.

Februari lalu, beliau muncul di televisyen untuk meminta maaf terhadap kelakuannya yang dianggapnya bodoh dan mementingkan diri sendiri.

Beliau kembali beraksi di Kejohanan Masters di Augusta, Georgia bulan lalu dan menduduki tempat keempat.

Elin bagaimanapun tidak hadir di kejohanan itu kerana menganggap Woods terlalu awal kembali aktif dalam sukan itu.

Sejak itu, Elin dilapor sering sendirian keluar negara. Rakannya pula mendakwa beliau ingin melupakan apa yang berlaku dan meneruskan hidupnya.

Bagaimanapun, hingga kini tiada dokumen perceraian rasmi difailkan dan berita mengenainya hanya spekulasi daripada rakan rapat mereka. - Agensi

No comments:

Post a Comment