Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Warga emas maut jatuh bangunan



KUALA LUMPUR – Seorang wanita warga emas ditemui mati tertiarap serta berlumuran darah dipercayai terjatuh dari tingkat 10 Pangsapuri Mutiara Magna, Kepong, dalam kejadian awal pagi, semalam. 

Dalam kejadian dipercayai berlaku antara jam 8 hingga 8.20 pagi itu, mayat mangsa berusia 50-an tanpa identiti itu ditemui oleh penduduk di bawah bangunan 14 tingkat terbabit, sebelum kejadian dimaklumkan kepada polis. 

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya terus bergegas ke lokasi kejadian sejurus selepas menerima maklumat itu. 

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memakai seluar panjang berwarna coklat serta berbaju corak belang biru dan kuning itu, cedera parah di bahagian muka dan kepala akibat terjatuh dari tingkat 10 bangunan terbabit. 

“Polis bagaimanapun buat masa ini mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat bagi memastikan sama ada wujud sebarang unsur jenayah dalam kematiannya,” katanya ketika dihubungi semalam. 

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa yang berbadan sederhana serta berketinggian kira-kira 150 sentimeter itu, tidak menemui sebarang dokumen peribadi, dompet atau barang emas. 

“Soal siasat ke atas penduduk setempat juga mendapati tiada siapa yang mengenali mangsa dan kita (polis) percaya, mangsa bukan penduduk tetap di pangsapuri terbabit,” katanya. 

Zakaria berkata, sehubungan itu pihaknya memohon mana-mana individu yang mungkin kehilangan ahli keluarga atau kenalan untuk tampil segera ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, 03-26102222 bagi membantu siasatan. 

Beliau berkata, polis sangat memerlukan bantuan daripada orang ramai terutamanya ahli keluarga mangsa bagi mengenal pasti identitinya termasuk motif sebenar kejadian berlaku.

No comments:

Post a Comment