Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Ugutan bunuh: Saiful buat laporan polis



KUALA LUMPUR 12 Mei - Saksi utama perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan petang ini membuat laporan polis mengenai ugutan bunuh yang diterimanya, dipercayai ada kaitan dengan perbicaraan yang sedang berlangsung.
Ini merupakan laporan polis kedua yang dibuat berhubung ugutan bunuh yang diterima beliau sepanjang perbicaraan bermula sejak Februari lalu. Laporan pertama dibuat pada 9 Februari.
Bekas pembantu Anwar itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini kira-kira pukul 5.20 petang.
Laporan dibuat terhadap seorang lelaki yang mendaftar dirinya atas nama Badrul Hisham di laman sosial, Facebook.
Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan berbunyi ugutan bunuh dalam satu mesej yang dihantar kepada Mohd. Saiful Bukhari pada pukul 12.47 petang ini melalui laman sosial itu.
Justeru, Mohd. Saiful Bukhari bertindak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.
Beliau dalam laporan itu memberitahu, ancaman dalam Facebook itu diketahuinya ketika dia memeriksa mesej dalam laman sosial itu melalui telefon bimbitnya.
Ketika itu, beliau berada di Mahkamah Jalan Duta selepas menghadiri perbicaraan kes liwatnya.
Dalam laporan itu, Mohd. Saiful Bukhari memberitahu, profil individu tidak dikenali itu hanya memaparkan gambar sebuah kereta serta gambar keluarga.
"Saya pasti mesej ini dihantar kerana individu terbabit tidak berpuas hati dengan keterangan berhubung kes liwat yang sedang berjalan," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan itu.
Beliau berkata, siasatan akan dibuat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan.

No comments:

Post a Comment