Search This Blog

Wednesday, May 19, 2010

SPRM Tahan 24 Orang Kerana Kes Rasuah Dalam Tempoh Empat Bulan




PULAU PINANG, 19 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri ini menahan 24 orang termasuk seorang penjawat awam kanan kumpulan profesional bagi membantu beberapa kes rasuah dalam tempoh hampir lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah SPRM negeri Datuk Latifah Md Yatim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 13 orang telah didakwa di mahkamah kerana tuduhan rasuah.

Katanya 15 orang daripada mereka yang ditahan itu adalah penjawat awam dan disiasat kerana menerima rasuah manakala sembilan orang lagi ialah orang awam yang disiasat kerana memberi rasuah.

Beliau berkata, bagi tempoh yang sama, SPRM negeri ini telah menerima 321 maklumat mengenai kes rasuah dan suruhanjaya itu telah membuka 26 kertas siasatan.

"Kita menjangkakan jumlah tangkapan dan maklumat mengenai rasuah pada tahun ini akan meningkat berbanding tahun lepas kerana jumlah maklumat yang diterima adalah tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lepas," katanya kepada pemberita ketika menyampaikan taklimat kepada media di pejabatnya di sini hari ini.

Latifah berkata, SPRM juga meminta kerjasama media massa agar menyampaikan maklumat mengenai kesedaran kesalahan memberi rasuah kepada penjawat awam.

"Kita kini sedang memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa rasuah juga berpunca kerana adanya pemberi dan kita mahukan media turut membantu kita untuk menjayakan usaha membanteras rasuah," kata beliau.

Katanya, SPRM juga tidak dapat menyalurkan maklumat awal kepada media jika berlakunya sesuatu tangkapan berkaitan rasuah kerana ia boleh mengganggu siasatan seperti untuk mendapatkan bukti-bukti mengenai rangkaian mereka yang terbabit menerima rasuah dengan orang yang ditahan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment