Search This Blog

Friday, May 14, 2010

Sorok rantai dalam 'underwear'



KUALA LUMPUR – Setelah hampir lima jam ditahan, seorang suspek kes ragut terpaksa mengaku menyembunyikan dua utas rantai emas termasuk rantai perkahwinan dalam seluar dalam yang dipakainya.

Penahanan dibuat ke atas suspek dan rakannya kira-kira jam 3.45 petang di kawasan Bukit Jalil, Selasa lalu, susulan laporan diterima polis daripada seorang wanita warga emas yang mendakwa diragut tiga lelaki berkereta sehingga menyebabkan telinganya terkoyak dalam kejadian di Jalan Maarof, Bangsar.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang pada 6 Mei itu, mangsa berusia 52 tahun dikatakan berjalan seorang diri sebelum dihampiri tiga suspek lelaki.

Menurutnya, dua daripada suspek itu cuba menarik beg tangan mangsa, namun gagal menyebabkan mereka terus merentap dua utas rantai emas serta sepasang subang yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri.

Katanya, tindakan ganas suspek menyebabkan mangsa cedera di kedua-dua bahagian telinganya sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.

Wan Abdul Bari berkata, hasil risikan yang dijalankan pihaknya memperoleh maklumat sebelum dua daripada tiga suspek, masing-masing berusia 24 dan 30 tahun itu dikesan dan ditahan pihaknya tiga hari lalu.

“Siasatan ke atas dua suspek, kemudiannya membawa kepada serbuan di Jalan San Peng pada jam 5 petang hari sama, sebelum polis merampas sebuah kereta jenis Mazda 606 berwarna putih yang digunakan suspek dalam kejadian ragut pada 6 Mei lalu.

“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan untuk melakukan samun dan pecah rumah antaranya satu alat pemotong besi, gunting besar (1), beg galas (1), tukul besi (1), gergaji (1), playar kecil (1) termasuk segulung tali berukuran lima meter,” katanya pada sidang akhbar semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat selama dua jam yang dijalankan ke atas salah seorang suspek, turut membuahkan hasil apabila polis merampas kembali dua utas rantai emas yang diragut suspek dan disorokkan dalam seluar dalam yang dipakainya.

“Kedua-dua suspek yang disahkan mempunyai rekod membabitkan dadah itu dikenal pasti menjalankan kegiatan samun sejak enam bulan lalu di sekitar Brickfield selain menyasarkan individu yang berjalan bersendirian sebagai mangsa,” katanya.

Wan Abdul Bari berkata, siasatan awal pihaknya menunjukkan suspek hanya menjual barangan kemas yang diragut kepada individu dan tidak digadaikan atau dipajakkan kepada mana-mana kedai pajak gadai.

Menurutnya, kedua-dua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 394 Kanun Keseksaan bermula kelmarin sehingga 18 Mei ini.

Katanya, dengan tertangkapnya dua suspek itu, polis menyelesaikan sekurang-kurangnya 15 kes ragut di sekitar Brickfield dan usaha mengesan seorang lagi suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an sedang giat dijalankan pihaknya.

No comments:

Post a Comment