Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Skandal tipu guna e-mel

DUBAI: Orang awam digesa supaya tidak mendedahkan maklumat peribadi melalui e-mel bagi mengelak diri mereka menjadi mangsa penipuan.
Polis Dubai baru-baru ini membongkar kes penipuan seumpama itu yang membabitkan rangkaian yang beroperasi di dalam dan luar negara.
Sehubungan itu, 25 suspek ditangkap, sebahagian besarnya tinggal di negara itu secara haram kerana menjual kredit telefon yang dicuri dengan memindahkan wang daripada akaun bank mangsa,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Dubai, Khalil Ebrahim Al Mansouri.

Kes itu membabitkan penghantaran e-mel kepada pengguna yang mendakwa daripada syarikat terkenal seperti bank dan meminta mangsa mengemaskinikan maklumat peribadi seperti kata laluan kad kredit dan nombor akaun bank.

Polis menggesa orang ramai tidak melayani e-mel seperti itu dan sentiasa mendapatkan pengesahan daripada bank masing-masing.

Mereka digesa berhubung dengan pihak bank sekiranya berlaku pengeluaran wang daripada akaun mereka secara tidak sah.

“Suspek menggunakan logo bank dan nama untuk mendakwa melakukan kerja mengemaskini sistem mereka,” kata Khalil.

Seorang warga Asia baru-baru ini menjadi mangsa penipuan itu yang menyebabkan dia kerugian kira-kira 50,000 dirham (RM44,000) Seorang warga Bangladesh yang dikenali sebagai MS, 50, dan anaknya, MMS, 25, ditahan bersama kira-kira 20 buruh pendatang haram dalam operasi membanteras penipuan itu.

Si bapa dan anak mengaku bekerja dengan seorang suspek warga Afrika yang tinggal di luar negara.

Warga Afrika itu bertanggungjawab menghantar e-mel kepada mangsa dan memindahkan maklumat peribadi mangsa kepada suspek Bangladesh untuk menggunakan akaun bank bagi memindahkan wang daripada akaun mangsa. - Agensi

No comments:

Post a Comment