Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Sindiket perdagang gadis tumpas



JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan pemerdagangan manusia di dua pusat urut yang terletak sebelah menyebelah di Jalan Pingai, Taman Pelangi, di sini, semalam.

Dalam serbuan yang dijalankan pukul 8.30 malam oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan polis Kontinjen Johor itu juga berjaya menyelamatkan tujuh wanita Kemboja dan seorang wanita Indonesia berusia 20-an dipercayai mangsa kegiatan terbabit. 

Ketua Operasi, Asisten Superintendan Nordin Ibrahim berkata, pihaknya turut menahan lima wanita warga Thailand, dan dua wanita warga China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1953/1967.

“Kedua-dua lelaki berusia 28 dan 58 tahun itu dipercayai menggunakan wanita warga asing berkenaan untuk menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perniagaan mengurut,” katanya di lokasi serbuan semalam.

Polis juga menemui paket-paket kondom dan kondom terpakai di kedua-dua premis tersebut yang dipercayai menjalankan kegiatan terbabit sejak lima bulan lalu.

Siasatan awal mendapati, bagi mendapatkan perkhidmatan ‘ekstra’, pelanggan perlu tawar-menawar dengan wanita berkenaan.

Kedua-dua lelaki tersebut kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Mereka juga turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit yang sah dan Seksyen 55E akta yang sama kerana memberikan perlindungan kepada warga asing.

No comments:

Post a Comment