Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Siling runtuh


Sabah & Sarawak: 
Oleh Johary Indan

2010/05/24

Masjid Ubudiyah perlu dibaiki elak bahaya jemaah beribadat

TAMPARULI: "Sampai bila kami harus terus menggunakan Masjid Ubudiyah yang usang dan berbahaya ini? Kami tidak ada jawapan dan pilihan. Sejak siling runtuh dan menjejaskan ruang solat utama di masjid ini pada 9 Februari lalu, tiada sesiapa pun yang tampil mengambil tahu kesulitan kami.

"Kami sedih dengan keadaan ini kerana masjid inilah satu-satunya tempat kami beribadat dan memperkukuh silaturahim sesama umat Islam setiap kali solat fardu dan Jumaat sejak sekian lama."
Itulah yang diluahkan kebanyakan jemaah Masjid Ubudiyah, di sini sejak awal tahun ini berikutan keuzuran masjid yang menyebabkan jemaah terpaksa menghadapi risiko ditimpa runtuhan masjid.
Kejadian siling masjid runtuh bukan setakat memaksa ruang solat utama dalam masjid itu ditutup kepada jemaah, malah kegiatan lain seperti ceramah dan kelas pengajian agama juga tidak mampu dijalankan.

Sejak kejadian itu, anggota jemaah masjid terpaksa menunaikan solat fardu dan Jumaat dalam keadaan kurang selesa di kaki lima masjid dan bawah khemah di perkarangan masjid.

Seorang jemaah, Lokman Abdul Manan, 48, berkata beliau terkilan kerana tiada mana-mana pihak mengambil tindakan membantu menangani masalah berkenaan.

"Walaupun sudah tiga bulan siling masjid runtuh, belum ada mana-mana pihak datang untuk membaiki kerosakan itu, apatah lagi membina masjid baru bagi menggantikan masjid yang sudah terlalu uzur dan berbahaya itu," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.
Masjid berusia lebih 30 tahun itu sepatutnya dirobohkan untuk membolehkan pembinaan masjid baru bernilai lebih RM2 juta tahun ini. Bagaimanapun, setakat ini, masjid baru yang dijanjikan kerajaan itu belum didirikan menyebabkan anggota masyarakat di sini tertanya-tanya mengenai faktor kelewatan pembinaan itu.

Lokman berkata, kelewatan itu tidak menimbulkan masalah besar kepada anggota kariah di kawasan berkenaan tetapi ketiadaan tempat sementara untuk menunaikan ibadat menyebabkan mereka menghadapi kesulitan.

"Kami berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli, Datuk Jahid Jahim kerana prihatin terhadap kejadian itu. Beliau melawat masjid itu beberapa hari selepas kejadian," katanya.

Mohd Faizal Abdullah, 46, mendakwa selepas lawatan Jahid, anggota jemaah masjid sehingga kini belum mendapat sebarang maklumat mengenai kedudukan masjid berkenaan sama ada akan menjalani pembaikan atau sebaliknya.

“Saya kecewa kelewatan pihak berkuasa menangani masalah itu. Jika kerajaan tidak mampu membina masjid baru, jangan beri janji kerana ia membuatkan umat Islam tertunggu-tunggu ia ditunaikan," katanya sambil menjelaskan umat Islam di sini sudah mengumpul tandatangan untuk menggesa kerajaan mempercepatkan pembinaan masjid baru.

Setiausaha jawatankuasa masjid berkenaan, Zulkifli Awang, berkata tandatangan itu akan diserahkan kepada Jahid untuk dirujukkan kepada kerajaan.

"Jika pembinaan masjid baru tidak mampu dilaksanakan dalam tempoh terdekat, kerajaan wajar membaiki kemudahan sedia ada. Kedatangan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi menyebabkan pembinaan masjid itu harus disegerakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment