Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Sarjan British dirompak

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai polis berpangkat sarjan dari England terkilan apabila menjadi mangsa kes kecurian di Terminal Pengangkutan Awam Larkin, di sini, pada Jumaat lalu.
Anggota polis Diraja Britain, Tracey Bugiel, 31, terbabit dalam kejadian yang berlaku pada hari pertama dia tiba ke bandar raya Johor Bahru selepas kira-kira seminggu mengunjungi Melaka.
Menurutnya, kejadian itu berlaku dalam sekelip mata hingga tidak disedarinya mahupun beberapa ahli lain yang mewakili Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England (Daerah 1210) untuk mengikuti rombongan lawatan sambil belajar bersamanya selama seminggu di sekitar bandar raya ini.

“Kejadian berlaku ketika saya duduk di tempat duduk di terminal itu dan apabila saya pandang sebelah, beg yang mengandungi komputer riba dan beberapa barangan lain sudah tiada.

“Saya bernasib baik tidak kehilangan dompet mahupun pasport kerana diletakkan di beg berbeza,” katanya ketika ditemui dalam rombongan Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England di pejabat Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di sini, semalam.

Tracey berkata, dia bagaimanapun menganggap kejadian itu sesuatu yang biasa kerana pernah menimpanya ketika rombongan di beberapa negara lain sebelum ini.

“Keseronokan berada di sini dan sikap mesra penduduk berbilang bangsa menyebabkan saya hampir melupakan peristiwa pahit itu.

“Saya juga berharap dapat melancong ke Johor Bahru pada masa depan,” katanya.

Lima peserta Kumpulan Rotary Antarabangsa dari England mengadakan lawatan sambil belajar selama tujuh hari di sekitar bandar raya ini. Kumpulan berkenaan turut mengadakan lawatan di beberapa tempat di daerah ini menerusi pimpinan Rotary Antarabangsa daerah 3310 (Johor Bahru).

Pengerusi Kedutaan Biasiswa Daerah 3310, Ir John Cheah Kam Loong, berkata pihaknya menyediakan sagu hati pada peserta yang kehilangan barangan berkenaan selain ahli kumpulannya melakukan laporan polis mewakili wanita berkenaan pada hari kejadian.

Menurutnya, lawatan disertai lima ahli dari Rotary Antarabangsa England bermula 7 Mei hingga semalam berjalan dengan lancar.

“Antara tempat dilawati termasuklah ke Tanjung Piai, MBJB, IPK Johor, Rumah Berkat, Muzium dan Pertubuhan Pemulihan Kawasan Johor (JARO).

“Pihak Rotary Antarabangsa berbesar hati memimpin kumpulan ini dengan harapan dapat mempromosi pelancongan Malaysia kepada negara lain,” katanya.

No comments:

Post a Comment