Search This Blog

Monday, May 24, 2010

Polis selamatkan lapan wanita, tahan dua lelaki



JOHOR BAHRU 23 Mei - Kecekapan polis berjaya menyelamatkan lapan wanita warga Kemboja dan Indonesia daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia dengan penahanan dua lelaki malam tadi.
Kejayaan itu diperoleh pada pukul 8.30 malam, hasil serbuan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman dan kontinjen Johor di dua buah pusat urut di Jalan Pingai, Taman Pelangi di sini.
Ketua Operasi, Asisten Supritendan Nordin Ibrahim berkata, kesemua wanita berusia 20-an terdiri daripada tujuh wanita warga Kemboja dan seorang rakyat Indonesia.
Beliau berkata, selain itu, pihaknya turut menahan lima wanita warga Thailand dan dua wanita China berusia 21 hingga 42 tahun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1953/1967.
"Dua lelaki yang ditahan itu berusia 28 dan 58 tahun. Siasatan mendapati, premis tersebut menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menawarkan khidmat 'tambahan' kepada pelanggan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini malam tadi.
Nordin berkata, siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak lima bulan lalu.
Katanya, kedua-dua lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun.
Beliau berkata, kedua-duanya turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1953/1967 kerana mengambil pekerja asing tanpa permit sah dan Seksyen 55E akta sama kerana memberikan perlindungan kepada warga asing.

No comments:

Post a Comment