Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Petugas AIM kena ragut selepas kutip pinjaman





2010/05/13

Mangsa dapati RM19,720 hilang sebaik tersedar dari pengsan 
KUALA KRAI: Seorang petugas Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang dalam perjalanan pulang mengutip bayaran pinjaman daripada 140 ahlinya di sekitar jajahan ini, menjadi mangsa ragut dua lelaki yang melarikan beg tangannya berisi wang tunai RM19,720.
Kejadian kira-kira jam 2 petang Ahad lalu itu berlaku ketika Noraini Mohd Sabri, 22, yang menunggang motosikalnya sendirian dalam perjalanan pulang ke pejabat selepas menemui kumpulan Sahabat AIM itu di pusat Sungai Sok, Low Machang dan Peria.
Noraini berkata, ketika melalui Jalan Kuala Krai-Gua Musang dekat Bukit Akil, dia dihimpit dua motosikal dinaiki tiga lelaki.

Katanya, kejadian itu menyebabkan motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan pengsan sebelum dibantu pemandu kereta yang melalui jalan terbabit.

“Ketika melalui kawasan yang agak sunyi, secara tiba-tiba dua motosikal dinaiki tiga lelaki terbabit menghampiri motosikal saya.

“Satu daripada motosikal itu menghimpit, menyebabkan saya hilang kawalan dan jatuh atas jalan raya lalu pengsan dengan kecederaan di muka dan lutut.
“Ketika dibantu orang awam selepas itu, saya dapati beg tangan yang disandang di sebalik jaket yang dipakai sudah hilang,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noraini yang sudah setahun bertugas dengan AIM di Kuala Krai, berkata berikutan kejadian itu, beliau menerima rawatan di Hospital Kuala Krai, di sini.

Katanya, selain wang tunai, beliau turut kehilangan kad pengenalan, kad bank, lesen memandu dan sebuah telefon bimbit yang turut berada dalam beg tangan yang dilarikan itu.

Jurucakap AIM Kuala Krai, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes sudah dilaporkan kepada polis Kuala Krai pada hari sama.

“Kumpulan Sahabat AIM yang sudah membayar kepada petugas AIM berkenaan tidak perlu bimbang, kerana kerugian itu ditanggung oleh insurans,” katanya.

No comments:

Post a Comment