Search This Blog

Thursday, May 13, 2010

Perogol kanak-kanak terima padah



KOTA BHARU – Kekejaman seorang pemuda yang merogol kanak-kanak berusia 11 tahun pada 2 Disember dua tahun lalu akhirnya menerima padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam. 

Hakim Zainal L. Saleh menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh, Muhd Hafiz Saibi, 23 dari Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok itu membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dihadapinya. 

Berdasarkan pertuduhan yang dihadapi Hafiz, bertempat di kawasan kebun getah Kampung Gong Pak Ghani Binjai, dekat sini telah merogol dengan menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak berusia 11 tahun 8 bulan kira-kira jam 3.30 petang. 

Atas kesalahan itu, tertuduh didapati melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit bersalah boleh dijatuhi hukuman penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan. 

Menurut fakta kes yang dikemukakan, mangsa bersama adik dan seorang lagi rakannya bersiar-siar di sekitar kampung berdekatan tali air di kampung tersebut. 

Semasa di tengah jalan, tertuduh menarik tangan kanan dan mengheret mangsa menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong dan adik serta rakan mangsa sempat melarikan diri untuk meminta pertolongan. 

Tertuduh kemudian mengeluarkan pisau dan meletakkannya di leher mangsa serta mengugut akan membunuhnya sekiranya dia menjerit. 

Mangsa cuba melawan tertuduh yang bertindak membawanya ke kebun getah tetapi tidak berdaya lalu menjerit tetapi tertuduh bertindak menumbuk mulut menyebabkannya bengkak dan hidung mangsa turut berdarah. 

Tertuduh terus menarik dan merogol mangsa. 

Semasa prosiding dijalankan, Zainal memberi peluang kepada tertuduh yang tidak diwakili mana-mana peguam bela untuk mengemukakan rayuan, bagaimanapun tertuduh hanya menggelengkan kepalanya beberapa kali. 

Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman memohon kepada mahkamah untuk mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan tertuduh bertindak merogol kanak-kanak yang masih di bawah umur serta menggunakan kekerasan. 

“Tindakan tertuduh menyebabkan kecederaan fizikal dan menjadi trauma kepada mangsa,” katanya. 

Zainal kemudian bersetuju dengan hujah pihak pendakwaan dan berkata pengakuan tertuduh mengaku bersalah tidak memadai untuk beliau mengenakan hukuman ringan terhadap kesalahan yang dilakukan. 

“Saya mengambil kira kejadian yang menggunakan kekerasan dan senjata yang memberatkan lagi hukuman yang dikenakan terhadap kamu. 

“Gunakan tempoh menjalani hukuman ini untuk merenung kembali kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi kesilapan sama,” katanya semasa menasihati tertuduh. 

Tertuduh turut dikenakan pengawasan pihak polis selama setahun.

No comments:

Post a Comment