Search This Blog

Tuesday, May 11, 2010

Perceraian PM Itali hampir dimuktamadkan



ROM 10 Mei - Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi semakin hampir mencapai persetujuan berhubung syarat penceraian dengan isterinya Veronica Lario selepas pendengaran kes hujung minggu lalu, lapor media Itali semalam.
Berlusconi, Lario dan peguam mereka menghadiri pendengaran kes selama lima jam Sabtu lalu dengan hakim Milan, Gloria Servetti, terutamanya membincangkan berhubung aspek kewangan bagi menamatkan perkahwinan mereka selama 19 tahun.
"Mereka akan mencapai persetujuan tidak lama lagi," lapor media Itali yang memetik seorang wakil yang menghadiri pendengaran kes itu.
Lario, 53, memfailkan tuntutan cerai tahun lalu, selepas pendedahan media bahawa taikun media itu mempunyai hubungan dengan perempuan lain dan menghadiri parti hari jadi ke-18 seorang gadis yang bercita-cita menjadi model dan menggelarnya 'ayah'.
Berlusconi, 73, turut terpaksa menafikan membuat pembayaran mendapatkan perkhidmatan seks selepas seorang pelacur mendedahkan bahawa dia telah bermalam dengannya, merakam perbualan mereka dan bilik tidur Perdana Menteri itu menggunakan telefon bimbitnya.
Selepas pendengaran pertama pada Januari lalu, kedua belah pihak didapati sukar mencapai persetujuan.
Sebagai tuntutan tambahan ke atas vila yang diduduki, Lario turut menuntut bayaran saraan sebanyak 3.5 juta euro (RM14.5 juta), sesuatu yang ditolak oleh peguam Berlusconi kerana 'sangat tinggi' dan menawarkan kurang satu per sepuluh daripada jumlah itu.
Menurut media Itali, Lario bersungguh-sungguh mendapatkan vila itu dalam penyelesaian penceraian, tetapi menimbangkan bayaran persaraan yang lebih kecil daripada tuntutan asalnya.
Lario turut menuntut supaya tiga anak mereka mewarisi harta sama seperti dua anak Berlusconi daripada hasil perkahwinan pertamanya, sesuatu yang dijanjikan Berlusconi kepada lima orang anaknya Februari lalu.
Setelah syarat itu dipersetujui, ia mungkin akan mengambil masa tiga atau empat tahun untuk mahkamah mengesahkan penyelesaian itu dan memuktamadkan penceraian.
Dengan kekayaan dianggarkan AS$6.5 bilion (RM21 bilion), Berlusconi merupakan orang kedua terkaya di Itali dan menduduki tangga ke-70 di dunia, menurut senarai majalah Forbes 2009. - AFP

No comments:

Post a Comment